March 7, 2016

Faridat Al-Fara`id Fi `Ilm Al-`Aqa`id Karangan Shaykh Ahmad Al-Fatani


BBB, 26 Jamadil Akhir 1437 = 06 Mac 2016 (Ahad):


Kitab di atas adalah dihasilkan oleh Shaykh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad al-Fatani (1271-1315H./1856-1908M.). Mendapat pendidikanm di Fatani dan kemudian meneruskan  pengajian dengan ramai guru di Makkah. Beliau adalah antara pelajar Melayu terawal yang menyambung pengajian  di Mesir. Pada zaman beliau percetakan telah wujud sama ada di Makkah atau di Mesir. Beliau mengarang kitab-kitab di samping berkhidmat sebagai pentashih di percetakan di Makkah dan Mesir. Beliau mengarang sebanyak 23 buah karangan, 13 buah dalam bahasa Melayu dan 10 buah dalam bahasa `Arab yang mencakupi bidang usuluddin, fiqh, tasawuf, bahasa, sejarah, perubatan, sains dan sastera. Beliau adalah antara ilmuan Melayu-Fatani di Makkah yang pada masa itu di bawah kerajaan Turki `Uthmaniyyah.
Faridat al-Fara`id fi `Ilm al-`Aqa`id adalah salah sebuah daripada karangan-karangan beliau yang banyak. Karya Shaykh Ahmad al-Fatani disusun dan dibuat rumusan dan diterbit kembali oleh Abdul Ghani Jabal al-Maraqi, kota Bharu , sejak 2006 dan telah mengalami 5 kali ulang cetak (terakhir 2014). Turut diterbitkan di dalam edisi rumi (2015). Ini menandakan bahawa kitab ini begitu popular dan mendapat sambutan pengaji-pengaji hingga kini.
Dari segi pendekatan kitab Faridat al-Fara`id fi `Ilm al-`Aqa`id, di samping membawa pendekatan tradisi di dalam ilmu akidah, beliau membawa pembaharuan dan penambahan di dalam bidang akidah.
Shaykh Ahmad bertolak pembicaraan dengan ta`rif-ta`rif mengenai tauhid, agama dan Islam sebelum masuk membicarakan tentang rukun Islam, rukun Iman dan konsep Ihsan. Menurut Shaykh Ahmad:
``Ilmu tauhid itu adalah umpama himpunan perkara-perkara yang dii`tiqadkan dari segi agama yang diambil daripada dalilnya yang diyakini. Ilmu ini membicarakan tentang Dhat Allah Ta`ala sekadar yang wajib, yang mustahil bagiNya dan yang harus bagiNya. Demikian juga pada sekalian rasul dan pada segala perkara yang didatangkannya seperti hari kiamat dan lain-lainnya, dan faedah bagi yang mengetahui ilmu ini, ialah mendapat kemenangan dan keberuntungan selama-lamanya.
Manakala ta`rif agama kata Shaykh Ahmad:
``Agama itu adalah ibarat daripada himpunan segala hukum, yang dihantarkan oleh Allah Ta`ala kepada sekalian hambanya yang mukallaf atas lidah rasulnya, yang membawa kebajikan yang berkekalan kepada mereka.
Shaykh Ahmad sebagaimana pengarang-pengarang yang lain sama menyenaraikan tentang rukun iman dan Islam yang tak perlu diulang, tetapi beliau juga membawa konsep tentang ihsan sebagai lanjutan dari rukun Islam dan rukun Iman. Tentang konsep Ihsan kata Shaykh Ahmad:
``Ihsan ialah berbuat baik, dengan cara seseorang itu mengikhlaskan dalam segala ketaatannya, iaitu kita beribadat kepada Allah Ta`ala seolah-olah kita melihatNya. Maka tidak patut kita berpaling kepada yang lain daripadanya sama ada cara zahir atau batin, sedangkan kita mengetahui bahawa Allah Ta`ala sedang melihat kita. Ketika itu sepatutnya kita akan malu, kerana kita lalai dalam beribadat kepadaNya.
Shaykh Ahmad membicarakan tentang kewajipan bagi setiap yang mukallaf, hukum akal – wajib, mustahil dan harus serta konsep dalil. Dibicarakan sifat-sifat yang wajib bagi Allah  dan lawannya (mustahil) dan harus beserta dengan dalil-dalil, juga konsep ta`alluq.
Juga dibicarakan pecahan dan kategori bagi kelompok sifat-sifat kepada nafsiyyah, salbiyyah, ma`ani dan ma`nawiyyah.
Shaykh Ahmad mengingatkan:
Dalil bagi semua  sifat ma`nawiyyah, bagi pula yang menyabitkannya, adalah diketahui daripada segala dalil sifat ma`ani yang telah lalu. Segala sifat ini dinamakan sifat ma`nawiyyah kerana dinisbahkan kepada perkataan ma`ani, kerana segala sifat ini melazimkan (sentiasa bersama) sifat ma`ani.
Diperingatkan juga mengenai `al-kawn` bagi sifat ma`nawiyyah seperti `al-kawn qadiran, `al-kawn muridan` dan `al-kawn `aliman` hingga akhirnya, sekaliannya itu thabit dengan tiada khilaf. Maka ia wajib bagi Allah Ta`ala dengan ijma` mazhab Ahli Sunnah, Mu`tazilah,, mazhab `ulama` yang methabitkan ahwal dan `ulama` yang menafikannya.
Shaykh Ahmad membicarakan tentang perbuatan hamba yang ikhtiariyyah. Menurutnya:
Dan setengah daripada mumkinat itu segala perbuatan hamba yang ikhtiariyyah dalam hal ini ada tiga mazhab.
1)      Mazhab Ahli Sunnah: Tiada bagi hamba pada perbuatan ikhtiari itu, melainkan usaha jua, ia tidak dipaksa pada perbuatan itu seperti yang dikatakan oleh puak yang dinamakan Jabariyyah, dan hamba itu tiada menjadikannya seperti yang dikatakan oleh Mu`tazilah.
2)      Mazhab Jabariyyah: Bagi hamba tiada apa-apa usaha, bahkan ia dipaksa seperti sehelai bulu yang terapung-apung di udara ditiupkan angin ke mana jua sekehendaknya
3)      Mazhab Mu`tazilah: Hamba itu menjadikan segala perbuatan dirinya yang ikhtiari dengan qudrat yang dijadikan Allah Ta`ala pada dirinya..
Shaykh Ahmad seterusnya membicarakan sifat-sifat wajib (empat), mustahil dan harus bagi Rasul.
Juga dibicarakan tentang pemecahan kepada istighna` dan iftiqar. Kemudian dihimpunkan di awah La ilaha illa Allah dan juga sifat-sifat di bawah Muhammad Rasulullah
Seterusnya dibicarakan tentang beriman dengan mala`ikat, kitab, tentang sirah Nabi Muhammad dan keluarga dan turunan Baginda.
Rasulullah yang namanya Muhammad berbangsa `Arab, berketurunan Quraisy. Baginda adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin  Murrah bin Ka`b bin Lu`ai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Nadar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma`adh bin Adnan.
 Manakala sebelah pihak ibunya  Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zahrah bin Kilab bin Labin daripada Abdul Manap pada pihak bapa Nabi Muhammad s.a.w.
Kewajipan bagi setiap mukallaf
Mengerjakan setiap yang difardukan ke atasnya dan menjauhkan dari yang dilarang
Memelihara akan  keutamaan  yang enam
1)      Memelihara agama
2)      Memelihara diri daripada perkara yang membinasakan
3)      Memelihara akal dari perkara yang merosakkan
4)      Memelihara nasab – menjauhi dari zina
5)      Memelihara kemaluan misalnya memeliharanya dari terkena tuduhan
6)      Memelihara harta – Tidak menggunakannya pada yang dilarang shara`.
Pada dasarnya ruanglingkup yang dibicarakan oleh Shaykh Ahmad bin Zainal Abidin meluas. Ianya tidak terhad kepada pembicaraan tentang sifat-sifat Allah dan Rasul, tetapi juga melibatkan pengangan  dan amalan harian..
Kitab Faridat al-Fara`id adalah antara kitab akidah yang lengkap di dalam bahasa Melayu (Jawi).

Sekian.




No comments:

Post a Comment