March 23, 2016

Iman Boleh Bertambah Atau Berkurang: Perbezaan Pendapat Antara Ash`ariDan Maturidi


BBB, 13 Jamadil Akhir 1437 = 22 Mac 2016  Selasa):


Perkara yang menarik di dalam Sharah bagi Matan Jauharat al-Tauhid oleh Sharih yang berasal dari Sambas ini, bahawa ianya banyak menimbulkan pendapat-pendapat dan perbezaan pendapat antara Imam Ash`ari dan Maturidi dua `ulama aqidah Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah, sehingga memberi lebih kefahaman kepada kita tentang dua aliran dominan di dalam aqidah ini, baik dari segi persamaan dan perbedaan, juga dengan pendapat imam-imam yang lain. Berhubung dengan iman kata Shaykh Ibrahim al-Laqani di dalam matan gubahannya:
Dirajihkan boleh bertambah iman  *   Dengan bertambah ketaatan insan
Dan berkurangnya dengan kurang  *  Dikatakan tidak, tapi ada  kelainan
Definisi iman, ialah tasdiq kepercayaan ke peringkat maksimim. Ditambah dengan iqrar dengan lisan dan amal dengan arkan.
Implikasi dari takrifan bahawa:
·         Iman  yang sempurna ialah iman yang penuh – maksimum
·         Jika tidak penuh. Iman dipersoalkan. Kurang.
·         Iman sempurna, tiada ruang pertambahan – tetap penuh maksimum
·         Logiknya tiada pertamabahan iman ?
·         Adalah bercanggah dengan realiti kehidupan.
Point-point ini dapat dipadankan dengan ungkapan dalam matan nazam di atas.
 Kandungan bagi dua bayt di dalam matan di atas, bahawa iman boleh bertambah dan boleh berkurang dengan bertambah dan berkurangnya amalan. Ini adalah pendapat Ash`ari yang dikira pendapat yang rajih – kuat.
Ini merupakan realiti kehidupan. Contoh seorang yang mengalamai kemalangan atau kematian orang yang dikasihi, boleh menjadikannya insaf dan lebih menjadikannya lebih taat dan mendekati diri kepada Ilahi. Kualiti ketaatan pasti bertambah.  Apakah bererti sebelum berlaku keinsafan bererti dia tidak beriman ? Tentu tidak dan tidak wajar dihukum sedemikian. Sedang seorang yang mengakhiri hidupnya dengan dua kalimah shahadah dia dikira beriman. Di dalam hal ini adalah wajarnya pendapat Ash`ari dan pengikut-pengikutnya yang berpendapat bahawa iman itu boleh bertamabah dan berkurang dengan bertambah dan berkurangnya amalan. Ini adalah realiti yang dihadapi. Juga realiti kualiti orang Islam yang kita boleh tanggapi dan membuat kesimpulan. Misalnya antara seorang `ulama` dengan seorang muslim biasa, maka kita membuat kesimpulan bahawa ulama berkenaan tentulah lebih tinggi keimanan berbanding orang biasa.
Namun kita lihat pendapat kedua, iaitu pendapat Abu Mansur al-Maturidi dan disokong oleh Abu Hanifah radiya Allah `anhuma, bahawa:
``Dan kata Imam Abu Mansur dan Abu Hanifah radiya Allah `anhuma . .. dan iman itu tiada boleh bertambah dan tiada boleh berkurang, kerana bahawa sesungguhnya hakikat iman itu recana daripada i`tiqad yang jazam lagi sampai kesudah-sudahan jazam.``
Pendapat ini melihat yang dikatakan iman i`tiqad yang penuh beserta jazam. Peringkat ini adalah peringkat rasul dan anbiya`, tetapi bolehkah kita katakan selain dari mereka tidak beriman ? Realitinya mereka beriman, walaupun tidak sampai pada martabat rasul, nabi dan awliya.`.
Di dalam hal ini Ash`ari melihat:
``Shahadan kata jumhur Ash`ari erti iman boleh bertambah-tambah dan boleh berkurang itu tiada menilik kepada sifat yang tertentu.``
Yakni bukan pada ukuran penuh atau tidak penuh, lantaran antara baik dengan lebih baik dan amat baik ada nilai dan jarak kualiti, tetapi semuanya berada di dalam lingkungan dan batas baik. Di dalam hal ini juga boleh dilihat dari aspek kualiti iman yang sebenar memberi insentif dan ruang bagi mereka yang insaf dan sedar untuk memperbaiki dan meningkatkan iman.
Perlu diambil kefahaman bahawa yang kurang iman, bukan bererti tidak beriman. Dia berada di dalam lingkungan keimanan dan tidak timbul bagi mereka tidak beriman.
Selepas daripada ini Sharih masuk membicarakan tentang rukun akal yang tiga (wajib, mustahil, harus) yang biasa dibicarakan oleh kita-kitab lain yang pernah dibicarakan juga di dalam tulisan ini.
Berhubung dengan sifat-sifat Allah ada perbezaan, Ashari menjumlahkan sifat yang wajib diketahui hanya 12 campur wujud sebagai wujud yang Dhatiyyah (`ayn Dhat) . Manakala Abu Mansur adalah sejumlah 20 sifat. Pengelompokan sifat nafsiyyah, salbiyyah, ma`ani dan ma`nawiyyah adalah pendekatan yang dibuat oleh Abu Mansur al-Maturidi.
Di dalam bayt-bayt seterusnya dibicarakan sifat-sifat Allah sebagaimana kata matan:
Bahawa Allah tidak dikait dengan `adam  *  Bercanggah burhan menunjukkan qidam
Berdiri sendiri bersifat  keesaan                 *   Bersih sifat-sifatNya dari bandingan
Sama ada lawan, syirik, penyerupaan        *       Bukan bapa atau anak atau kawan
Qudrat, iradat menjelma kejadian              *  Di dalam ilmu dan reda sebagai ditetapkan
IlmuNya tidak dikata diusahakan                *  Ikut kebenaran dan lontarkan keraguan
Sharih dalam menghuraikan matan di atas menyebut tentang sifat dua puluh dan huraian bagi setiap sifat.  Penulis tidak berhasrat mengulangi perbincagan  perkara-perkara yang sama, kecuali ada kelainan dan merupakan maklumat baharu lebih diberi perhatian. Seterusnya bagi melengkapkan jumlah sifat. Penggubah Matan mengatakan:
HidupNya demikian kalam pendengaran  *   Kemudian melihat sebagaimana  didengarkan
Sifat ini juga diberi huraian sebagaimana sifat-sifat yang lepas dalam jumlah sifat 20.

Sekian.


No comments:

Post a Comment