March 29, 2016

Keimanan Dengan Qadar Dan Qadha`: Soal Melihat Tuhan


BBB, 19 Jamadil Akhir 1437 = 28 Mac 2016 (Isnin):


Persoalan-persoalan di atas antara persoalan yang berat dan perlu ketelitian yang tinggi dari segi pembicaraan untuk kefahaman.
Berhubung dengan keimanan dengan qadar dan qadha`, kata Penggubah Matan  Shaykh Ibrahim Al-Laqani:
Dan wajib keimanan kita dengan qadar   *   Juga dengan qadha` sebagaimana datang dalam khabar
Kata Sharih: ``Ya`ni wajib atas orang yang mukallaf itu percaya dengan qadar dan dengan qadha`, dan erti:
Qadar dan Qadha` pada Mazhab Imam Ash`arI:
Qadar, iaitu recana daripada tentu kejadian makhluk dalam kharijiyyah dan itu baharu kepadanya, manakala,
Qadha`, iaitu pasti Allah A`azza wa Jalla itu sekalian makhluk di dalam azal yang tiada berubah sekali-kali, maka iaitu qadim kepadaNya.
Qadar dan qadha` pada mazhab Imam Abu Mansur al-Maturidi itu:
Qadar Recana daripada pasti Allah Ta`ala akan sekalian makhluknya di dalam azali yang tiada berubah sekali-kali dan iaitu qadim, manakala;
Qadha` Recana daripada kejadian segala  makhluk, halnya muwafakat barang yang pasti ia  dalam azal.
Ada sedikit perbezaan pendapat antara kedua Imam Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.
Imam Ash`ari melihat bahawa qadar adalah manifestasi lahir dari penentuan peringkat qadha` yang bersifat qadim
Manakala bagi Imam Abu Mansur al-Maturidi, bahawa qadar adalah penentuan sekalian makhluk pada azali yang tiada berubah dan qadim, manakala qadha`, penentuan kejadian pada makhluk muwafakat barang yang pasti pada azali.
Ada semacam kebalikan pendapat antara kedua tokoh berkenaan.
Kedua-duanya berpendapat bahawa ada ketentuan pada peringkat azali dan bersifat qadim dan apa yang lahir dan manifestasi pada makhluk adalah menepati dengan ketetapan  pada peringkat awal berkenaan.
Persoalan qadar dan qadha` sebenarnya mempunyai pertalian dengan  persoalan perbuatan manusia dan ikhtiar sebagaimana telah dibicarakan. Dari kenyataan lahir seolah-olah ada semacam kontradik antara segala perbuatan manusia untuk berikhtiar yang pada hakikatnya tidak memberi bekas untuk pertimbangan bagi perubahan qadar dan qadha` yang telah ditentukan. Timbul persoalan di manakah ruang ikhtiar, terutama bila semuanya telah ditentukan mengikut kadar dan qadha`  ? Sekali lagi semua persoalan berkenaan adalah di luar maklumat hamba. Ikhtiar adalah usaha hamba sebagai insentif di dalam tindakan yang hasilnya belum diketahui kecuali sesudah berlaku. Ianya seolah bergerak serentak yang pastinya ketentuan Allah menurut qadar dan qadha` yang pastinya di luar maklumat hamba  hinggalah berlaku. Sebenarnya sebagaimana telah dikatakan seharusnya tidak timbul kerisauan hamba dengan falsafah qadar dan qadha` apa yang harus dilakukan hamba ialah pergerakan dan tindakan dinamik secara ikhtiar hingga terlaksana apa yang ada pada qadar dan qadha`.
Persoalan aqidah adalah himpunan persoalan yang setiap satu seharusnya teratur dan tidak kontradik antara satu sama lain. Ianya merupakan pandangan wujud yang lojik berhubung dengan Allah, kenabian, alam, hamba , alam akhirat dan sebagainya sehingga setiap satu teratur dan selaras dan tidak kontradik dan tidak bercanggah antara satu sama lain. Jika ada perbezaan, ialah perbezaan kecil misalnya berlaku di antara Ash`ari dan Maturidi yang sama mendukung aliran Sunni.
Berhubung dengan kepercayaan terhadap qadar dan qadha` yang merupakan satu dari rukun iman ini kata Sharih:
``Dan percaya kepada qadar dan qadha`. Iaitu supaya menjadi reda ia dengan barang suatu yang maujud di dalam kharijiyyah dan triada mencela ia barang suatu, melainkan jikalau ada shara` menyuruh mencela dia, maka kita mencela dia kerana ittiba` kepada shara` Allah Ta`ala dan inilah barang yang dikata oleh jumhur ahl al-tasawwuf radiya Allah `anhum.
Seterusnya Penggubah Matan  Jauharat al-Tauhid membicarakan persoalan  `Melihat Tuhan`, katanya:
Antara kepercayaan melihat akan Tuhan  *  Tanpa kayfiyat dan tanpa ruang batasan
Bagi orang mukmin harus kemungkinan   *   Oleh dalil thabit  terakam dalam Al-Qur`an
Dalam huraiannya kata Sharih:
``Dan setengah daripada ja`iz kepada Allah Ta`ala pada hukum akal dan wajib percaya pada shara` bahawa melihat akan Allah Ta`al dengan mata kepala dalam akhirat, tetapi tiada dengan kayfiyat yang baharu dan tiada inhisar yakni dihinggakan bagi segala orang yang mu`min kerana dalilnya itu barang suatu yang ja`iz lagi dita`liqkan ia dengan barang suatu yang mumkin. Maka imkan ia wujudnya pada hukum dan wajib tentu adanya ia pada dalil shara` yang wajib dipercayai ia dengan dia, maka yakinkanlah hatimu dengan perkataan itu..
Antara dalil naqal ialah firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Pada hari akhirat itu (muka orang-orang beriman) berseri-seri.  Melihat kepada Tuhan. Dan pada hari itu muka (orang-orang kafur) muram huduh. Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpakan mala petaka (azab seksa) yang membinasakan (Al-Qiyamah: 22-25).
Adapun cara melihat Tuhan dimaksudkan adalah lebih selamat dengan mengatakan.
``Melihat cara yang layak bagiNya`.

Sekian.


No comments:

Post a Comment