BBB, 08 Jamadil Akhir 1437 = 17 Mac 2016
(Khamis):
Berkata
Shaykh Ibrahim al-Laqani selaku Pematan:
Berikut itu maka ilmu sebagai Usul Agama * Perlu berguru mempelajari bagi memahaminya
Konsep `Usul al-Din` di sini lebih menyeluruh
dan tidak terhad kepada ilmu akidah, tauhid atau ilmu al-kalam semata-mata,
tetapi adalah segala bidang yang merangkumi segala keilmuan yang mengukuhkan agama Islam yang memahami
dan mengamalkan dengannya menyempurnakan keilmuan dan amalan. Ini termasuklah
keilmuan yang berhubung dengan Al-Qur`an, Hadith, Fiqh, bahkan boleh dimasukkan
keilmuan-keilmuan moden yang didekati secara perspektif Islam dan memprojekkan
imej Islam sebagai agama yang mempunyai tamadun dan peradaban sendiri, bukan sahaja
bagi masa silam, tetapi juga pada masa
mendatang. Kewajipan mempelajarainya bukan saja sebagai melepaskan tuntutan
kifayah secara individu, tetapi adalah pada tahap keperluan ummah.
Pensharah sendiri, di dalam mengulas terhadap
bayt matan ini, tidak mengkhususkan keilmuan yang wajib dipelajari hanya ilmu
yang berhubung dengan aqa`id, walaupun itulah fokus pembicaraan, tetapi
memaksudkan segala bidang ilmu `keislaman` dalam erti yang lebih luas bagi
kesempurnaan umat.
Kata Sharih:
``Dan kemudian daripada itu, maka menuntut
ilmu `Dengan Pohon Agama`, itu fardhu `ain atas tiap-tiap mukallaf dan demikian
mengajarkan ilmu itu yang berkehendak kepada memubayyinkan (Menjelaskan) dari
pihak sukarnya kepada orang alim.`` Konsep mengajar dan mempelajari ilmu itu,
kedua pihak yang mengajar dan yang belajar mengenal akan sesuatu itu dengan
hakikatnya.
Dalam kata yang lain tugas belajar wajib
kepada pelajar dan tugas mengkaji, menyelidik dan mengajar juga adalah wajib
bagi para ilmuan Islam.
Sharih di dalam mengulas bayt di atas melihat
ilmu terbahagi kepada dua iaitu, Ilmu yang bersifat khabar, atau yang lebih
kita fahami dengan Ilmu Naqli, iaitu dikhabar dan diterima, iaitu Al-Qur`an
yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. secara wahyu melalui Jibril dan
dikahabar dan disampaikan kepada sahabat dan umat Baginda.
Kedua kata Sharih, ialah ilmu yang berasaskan
akal dan penggunaan akal bagi mendapat istidlal. Di dalam konteks kini,
keilmuan yang berasaskan akal ini begitu luas dan banyak, lantaran segala
bidang keilmuan adalah dengan menggunakan akal seperti ilmu sains, matematik,
perubatan, pertanian, industri, komunikasi dan sebagainya. Bahkan ilmu yang
difokuskan di dalam pembicaraan, iaitu ilmu akidah juga berasaskan akal. Bagi
memahami persoalam ketuhanan selain dari dalil naqal, memerlukan perbahasan
yang berasaskan rasional akal seperti penggunaan kaedah logik dengan dalil dan
burhan.
Bidang keilmuan ketiga yang dihurai oleh
Sharih ialah keilmuan yang bergantung pada panca indera yang lima perkara yang
disebutnya, iaitu penglihatan, pendengaran, pengrasaan, penyentuhan dan
pembauan.
Apa yang dapat dihasilkan dari panca indera
yang lima, lebih khusus adalah maklumat
yang bersifat pengalaman yang dapat membantu juga kepada pengukuhan maklimat
dari segi akal.
Satu yang tidak disentuh ialah keilmuan yang
dapat ditanggapi secara hati-rohani bagi mereka yang mempunyai kemampuan penanggapan
dengan hati nurani yang hasilnya juga bersifat sujektif dan abstrak, misalnya
kasih sayang, cinta dan rasa kemanusiaan. Aspek ini tidak kurang penting,
bahkan mengukuh dan mengimbangkan keilmuan dan dapatan yang bersifat keras dan
kaku, tetapi dihiasi dengan rasa kemanusian, mesra, cinta dan rasa kemanusiaan
yang berperanan penting di dalam membina kemanusiaan, tamadun dan peradaban.
Walaupun keilmuan akidah banyak bergantung
perbahasannya pada akal – dan pembukaan bagi keilmuan ini bertolak dari hukum
akal, tetapi keilmuanm yang bersifat rohani dan pengalaman sama penting. Sebagai
contoh mempelajari akidah adalah bagi mengenali Tuhan. Dengan pengenalan
membetulkan persepsi diri terhadap Tuhan. Ini dibawa dan dipraktikkan di dalam
ibadat. Menanggapi ketuhanan tidaklah sahaja secara kefahaman, tetapi di dalam
ibadat perlu ada khusyuk, tawadu`, merasa rendah diri, mengharap dan sebagainya
adalah merupakan elemen kerohanian. Tanpa ada bekalan dan persediaan kerohanian
yang betul berkemungkinan persediaan dalaman tidak sempurna dan mengurangkan
penghayatan di dalam ibadat. Sebaliknya persediaan rohani dengan kefahaman akli
yang sempurna melengkapkan bukan saja tanggapan dan ibadat, bahkan boleh
mencapai peringkat kejiwaan dan kerohanian yang lebih tinggi yang membawa
kepada kasih dan cinta terhadap Ilahi yang menjadikan ibadat mencapai peringkat
kerohanian, kemanisan dan kecintaan. Analogi ini adalah bertujuan untuk
memperlihatkan bahawa kesempurnaan di dalam amal ibadat adalah perlu merangkumi
aspek kefahaman, amalan dan penghayatan yang bersifat jiwa dan kerohanian.
Walau bagaimana fokus utama bagi pembelajaran
di sini ialah terhadap ilmu akidah sebagai satu bidang khusus yang mau
dipelajari, maka tidaklah releven dari peringkat permulaan dicampur aduk dengan
perkara-perkara yang lain yang mungkin boleh mengganggu kefahaman dan
penanggapan, tetapi sebagaimana kata matan ianya memerlukan kepada guru yang
mahir dan berkemampuan untuk memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar. Namun
di dalam mempelajari ilmu akidah khusus ini perlu ada kefahaman di dalam
memahami hakikat ketuhanan, tidak semestinya satu-satunya melalu ilmu aqidah
atau tauhid semata-mata. Persoalan ketuhanan boleh dibicara dan difahami
melalui keilmuan-keilmuan yang lain yang pada puncaknya boleh dirumuskan secara
kefahaman theologi. Katakan bidang matematik yang angka bertolak dari Esa dan
memucak walau sebanyak mana angka adalah hakikatnya esa. Demikian di dalam
keilmuan fizik yang pada hakikatnya, benda fizikal yang wujud pada hakikatnya
adalah tenaga-tenaga yang boleh berkurang, hapus dan binasa. Ia nya pada
hakikatnya kembali melihat sifat Allah yang Tunggal lagi Berkuasa. Demikianlah
dengan perbagai keilmuan yang lain yang dengan kepakaran guru dapat merumuskan
keilmuan secara theologi yang membuktikan ketuhanan. Dalam kata lain theologi
bukan semata bersifat ilmu akidah konvensional, tetapi dapat didekati dengan
berbagai-bagai cabang keilmuan yang lain.
Pada
pengakhiran sharih menggalurkan tentang pembinaan akidah secara Sunni
adalkah berhubung dengan dialog intelektual antara Hasan Basari dengan gurunya, Imam Wasil Ibn
`Ata pendukung Mu`tazilkah dan Al-Juba`i berhubung dengan persoalan `Tempat
Antara Dua Tempat` yang tidak disetujui oleh Hasan Basari yang mengakibatkan
beliau berpisah dari guru Mu`tazilahnya dan mendiri serta mengukuhkan Aliran
Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang
diperkukuhakn sama oleh Imam Al-Maturidi
yang dikatakan sebagai anak murid Hasan Basari.
Sekian.
No comments:
Post a Comment