March 9, 2016

Usul Al-Tauhid Karangan Tuan Hussein Kedah


BBB,  28 Jamadil Awwal 1437 = 08 Mac 2016 (Selasa):


Usul al-Tauhid yang bererti Umbi atau Asal Usul Tauhid adalah karangan  al-Alim al-`Allamah al-Shaykh Hussain Nasir bin Muhammad  Taib al-Mas`udi, iaitu dari turunan Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari pengarang kitab terkenal Sabil al-Muhtadin yang telah membuka Pengajian Pondok terkenal di Kedah yang dikenali dengan `Pondok Tuan Haji Hussein, Kedah yang pengajian ini terus hidup hingga kini.
 Membaca judul kitab Usul al-Tauhid karangan Tuan Hussein Kedah ini mungkin pembaca menyangka bahawa kandungan di dalam kitab ini mengenai akidah tauhid sebagaimana yang dibicarakan oleh kebanyakan pengarang-pengarang kitab akidah Islam yang memberi tumpuan kepada sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan RasulNya, tetapi kandungan bagi kitab Usul al-Tauhid adalah berlainan dari kandungan kitab-kitab akidah yang telah dibicarakan. Usul al-Tauhid yang dimaksudkan oleh Tuan Hussein Kedah ialah `Asal`, `Umbi` atau `Pangkal`  yang dapat membina ketauhidan seseorang yang tidak saja melibatkan orientasi akli (Hukum Akal), tetapi adalah kesatuan dari pegangan akidah keislaman (Akidah), kerohanian (Tasawuf) dan amalan (ibadat-syariat). Lantaran itu kitab beliau tidak boleh dikatakan kitab  Akidah sepenuhnya atau Tasawuf  dan Fiqh, tetapi integrasi dari ketiga-tiga bidang yang disebutkan, lantaran itu diberikan judul `Usul al-Tauhid.`
Kitab ini dapat dipecahkan kepada 14 bahagian.
1)      Muqaddimah –Kepentingan Ilmu, Mengajar dan Menuntut Ilmu
2)      Konsep Tauhid
3)      Fasal Hukum-Hukum Islam
4)      Fasal Mengenai Konsep Agama
5)      Fasal Mengenai Iman
6)      Fasan Mengenai Islam
7)      Fasal Jalan Kepada Allah
8)      Fasal Perkara-Perkara Yang Berhubung Dengan Solat
9)      Fasal Perkara-Perkara Yang Berhubung Dengan Zakat
10)   Ingatan Dan Nasihat
11)   Fasal Tentang Puasa
12)   Rahsia-Rahsia Puasa
13)   Fasal Yang Berhubung Dengan Haji
14)   Kelebihan Haji Dan `Umrah
Dilihat kepada kandungan berdasarkan judul-judul di atas, ketara dilihat kitab Usul al-Tauhid adalah kitab yang membicarakan dua persoalan utama iaitu akidah dan fiqh seperti kitab Al-Jawahir al-Saniyyah oleh Shaykh Daud al-Fatani atau kitab Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn oleh Shaykh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani, tetapi walaupun separuh daripadanya (dari no. 8 – 14) adalah membawa judul-judul yang berhubung dengan bidang fiqh, tetapi pembicaraan tidak membawa pendekatan fiqh per se, tetapi lebih kepada kepentingan, rahsia dan pendidikan yang dibawa oleh bidang-bidang fiqh berkenaan. Bila membicarakan tentang solat tidak dibicarakan rukun solat,  bacaan, perkara-perkara yang membatalkan, sunat-sunat dan sebagainaya. Begitulah dengan bidang-bidang fiqh yang lain. Orientasi sedemikian oleh kerana bahan-bahan rujukan dibuat oleh Tuan Hussein Kedah bukan kepada kitab akidah dan fiqh semata-mata, tetapi juga kepada bidang kerohanian sebagaimana kata Tuan Hussein Kedah seperti berikut:
``Kemudian daripada itu, maka inilah suatu risalah yang kecil pada menyatakan beberapa makna dan beberapa faedah bagi beberapa lafaz yang beredar atas agama Islam yang jadi dengan dia berbeza setengah yang demikian itu daripada setengahnya yang hamba pungut akan dia daripada kitab
1)      Munyat al-Faqir al-Mutajarrid Atas Matan Jurumiah bagi Shaykh Abdul Qadir bin Ahmad al-Kuhti
2)      Kitab Jami` li Usul fi al-Awliya` bagi Shaykh Ahmad al-Kamshakhanawi
3)      Kitab Al-Kibrit al-Ahmar wa al-Iksir al-Akbar bagi Sayyidina  Al-Sayyid Abd Allah  bin Abi Bakr al-`Idrus
4)      Kitab Al-Risalat al-Qushairiyyat bagi Imam Abi al-Qasim `Abd al-Karim bin Hawazin al-Qushayri
5)      Matan Nasafi dan Matn Umm al-Barahin dan beberapa sharh terhadap keduanya.
Melihat kepada sumber-sumber bacaan di atas, Tuan Hussein Kedah sebenarnya lebih banyak membuat rujuk kepada bidang kerohanian atau tasawuf tahap tinggi seperti kitab Jami` al-Usul oleh oleh Shaykh Ahmad al-Kamshakhanawi,  kitab Al-Kibrit al-Ahmad oleh wa al-Iksir al-Akbar oleh Al-Sayyid Abdullah bin Abi Bakr al-`Idrus dan Kitab Al-Risalat al-Qushayriyyat oleh Abu al-Qasim Abd al-Karim bin Hawazin, manakala kitab Nasafi, ialah karangan matan yang dihasilkan oleh Sa`d al-Din Mas`ud bin `Umar al-Taftazani, iaitu kitab akidah yang menurut aliran Al-Maturidi, manakala Matan Umm al-Barahin dihasilkan oleh Al-Imam Abu Abdullah Muhammad bin Yusuf al-Sanusi al-Hasani  pendukung aliran Ash`ari. Tidak disebut rujukan bagi kitab fiqh, walaupun sebahagian yang dibicarakan persoalan yang berhubung dengan fiqh. Walau bagaimana fasal-fasal yang berhubung dengan fiqh akan kurang diberi tumpuan di dalam pembicaraan yang lebih membicarakan soal akidah.
Daripada pemaparan dan perbincagan di atas dapatlah difahami bahawa konsep `Usul Tauhid` Tuan Hussein Kedah adalah lebih dari akidah. Ianya meluas dari merangkumi akidah yang merupakan asas keimanan, dan keimanan lebih luas, selain dari beriman dengan rukun iman yang bersifat keyakinan dan dalaman, tetapi ianya hendaklah dimanifestasi dengan amalan sebagai pernyataan luaran bagi mengukuhkan keyakinan dalam yang terpancar kepada luaran yang bersifat amalan yang lahiri. Satu bidang yang diberi tumpuan oleh Tuan Hussein Kedah di dalam kitab ini yang tercermin di dalam sebahagian rujukan yang dibuat ialah aspek rohani. Bagi Tuan Hussein Kedah akidah yang bersifat  keyakinan dan dalaman dan dimanifestasi secara luaran melalui amalan lahiri akan lebih sempurna bila digandingkan dengan bidang yang bersifat rohani, lantaran keyakinan dalaman yang bersifat rasional dan kepatuhan luaran yang bersifat setia kurang mencapai kemanisan, mesra dan kasih sayang tanpa digandingkan dengan kerohanian.
Pendekatan yang dibuat oleh Tuan Hussein Kedah adalah pendekatan yang ada keselarian dengan maksud Hadith panjang Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Sayyiduna `Umar r.a. tentang kedatangan Malaikat Jibril bertanyakan (bermaksud pengajaran) tentang Iman, Islam dan Ihsan, dalam maksud seolah-olah bahawa kandungan kitab Usul al-Tauhid yang dipersembahkan oleh Tuan Hussein Kedah  adalah merupakan usaha bagi menampilkan ketiga-tiga aspek berkenaan di dalam kitab Usul al-Tauhid.

Sekian




No comments:

Post a Comment