March 27, 2016

I`tiqad Mengenai Al-Qur`an. Persoalan Mustahil, Harus Dan Perbuatan



BBB, 17 Jamadil Akhir 1437 = 26  Mac 2016 (Sabtu):


Mempercayai  akan Kitab adalah salah satu daripada rukun iman yang enam. Mengenai kepercayaan terhadap kitab, khususnya Al-Qur`an berkata Shaykh Ibrahim al-Laqani Penggubah Nazam, Matan Jauharat Al-Tauhid, didahului kata Sharih:
``Wajib atas orang yang mukallaf mensucikan Al-Qur`an daripada segala tanda baharu. Kata Matan:
Bersihkan Al-Qur`an ya`ni kalamnya  *     Daripada baharu waspada dari pertanda
Setiap nas membawa kepada baharu  *   Bawalah lafaz kepada maksud lain dari itu
Sharih memberi takrif tentang Al-Qur`an ialah lafaz dan kalimat yang diturunkan oleh Allah `Azza wa Jalla kepada Nabi s.a.w., halnya bahasa  `Arab dan lisan Jibril `a.s.. Ia adalah Kalam Allah Ta`ala yang nafsi lagi qadim azali, tiada berhuruf dan tiada bersuara yang qa`im kepada Dhat Allah Ta`ala, dan tiada harus mengucapkan itu baharu.
Kata Sharih, ``Dan kata setengah jumhur `ulama` r.`anhum di dalam kayfiyat menurunkan Al-Qur`an yang `Azim kepada Nabi s.a.w. beberapa wajah:
Pertama: Bahawasanya Nabi kita Nabi Muhammad itu berupa ia dengan haykal mala`ikat, dan
Kedua:   Bahawasanya Jibra`il a.s. itu berupa ia dengan haikal manusia. Maka qaul yang kedua ini adalah yang rajih.
Bermula kafiyat (cara) bagaimana Jibra`il membawa Al-Qur`an kepada Nabi Muhammad s.a.w. menurut Sharih adalah dengan tiga cara:
1)      Jibra`il membawa Al-Qur`an secara makna kepada Nabi Muhammad dan Baginda mengibaratkannya dengan bahasa `Arab.
2)      Jibra`il mengibaratkan dengan lafaznya serta maknanya, dan Nabi kita mengibaratkannya dengan demikian itu
3)      Jibra`il mengibarat itu dengan lafaznya, maka Nabi kita Muhammad itu mengibaratkan dengan demikian itu serta maknanya. Menurut Sharih, bahawa kayfiyat yang kedua adalah rajih.
Bagaimana dengan penyusunan ayat-ayat dan surah ?
Kata Sharih:
``Bahawasanya tertib ayat-ayat daripada Al-Qur`an yang Amat Mulia dan tertib surah itu `taufiqiyyah`, bukan ijtihadiyyah atas qaul yang rajih. Tetapi kata setengah`ulama` tertib surah itu ijtihadi.
Menurut Sharih berdasarkan Hadith bahawa tempoh masa penurunan kitab-kitab suci ke langit dunia berbeda-beda:
Taurat diturunkan ke langit dunia bagi Nabi Musa  dalam enam hari pada bulan Ramadhan
Injil diturunkan ke langit dunia bagi Nabi `Isa dalam masa tiga belas hari pada bulan Ramadhan. Ada yang berpendapat dalam tempoh lapan belas hari pada bulan Ramadhan
Zabur ke langit dunia bagi Nabi Daud a.s. dalam lapan belas hari pada bulan Ramadhan
Al-Qur`an pula diturunkan ke langit dunia bagi Nabi Muhammad s.a.w. dalam empat belas hari pada bulan Ramadhan. (Suhuf bagi Nabi Ibrahim diturunkan pada permulaan bulan Ramadhan).
Cara turun kepada Rasul/Nabi juga berlainan kata Sharih:
``Dan bahawasanya sekalian kitab itu diturunkan ia pada ketika sekali-sekali melainkan Qur`an, maka diturunkan ia kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam lebih dari dua puluh tahun.
Selain dari kepercayaan kepada Kitab, berikutnya Penggubah Matan Shaykh Ibrahim al-Laqani membicarakan tentang konsep mustahil katanya:
Mustahil adalah lawan bagi wajib  sifat * Tiada bagiNya seperti berada pada jihat
Jika dibicarakan jumlah dua puluh sifat yang wajib diketahui, maka sifat mustahil bagi Allah juga adalah dua puluh, iaitu lawan bagi sifat-sifat wajib yang adalah mustahil bagi Allah seperti Allah berada pada jihat, Allah baharu dan sebagainya dan tak perlu diulang pembicaraan, kerana telah dibicarakan sebelum ini.
Turut dibicarakan konsep harus bagi Allah. Shaykh Ibrahim al-Laqani menggubah tentang Jaiz:
``Harus pada HaqNya perkara mumkin * mengada atau meniadakan memberi rezeki kepada miskin``
Jaiz yang bererti harus, bahawa Allah bebas dan berhak misalnya untuk menghidup atau mematikan seseorang dan sebagainya.
Berhubung dengan perbuatan kata Pematan:
Dia mencipta hambaNya dan apa yang dibuat * Muwafakat dengan apa yang hamba buat
Dia menghina bagi siapa dikehendaki menjauh *  Membalas janji bagi siapa ditunai sepenuh
Demikian i`tiqad Ahlu al-Sunnah agar pegangan tidak bercanggah. Kata Penggubah Nazam lagI;
Jaya bahagia di sisiNya sejak azali  *  Demikian celaka tidak pindah-berubah sama sekali
Demikian segala perbuatan dijadi oleh Allah, tetapi bagi manusia kata Pematan:
Pada kita hamba usaha  serta    * Tetapi tiada kesan hanya Dia.
Pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah adalah berada di antara dua ekstrim, iaitu Mu`tazilah yang mengatakan bahawa manusia mencipta perbuatannya, manakala Jabariyyah, bahawa manusia tidak ada daya dan usaha melainkan Allah semata-maya mencipta.

Sekian.


No comments:

Post a Comment