Membuka pembicaraan bagi sebuah kitab dengan
konsep ilmu menjadi pendekatan bagi pengarang-pengarang beberapa bidang ilmu.
Contoh kitab Ihya` `Ulum al-Din kitab Tasawuf karangan Al-Imam al-Ghazali
memulakan kitabnya dengan Kitab al-`Ilm. Di dalam bidang Fiqh-Akidah, antaranya
memulakan kitab dengan Fadilat Ilmu
seperti kitab Matla` al-Badrayn wa
Majma` al-Bahrayn karangan Shaykh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani dan juga
bagi kitab Akidah seperti Zahrat al-Murid fi `Aqa`id al-Tauhid oleh Shaykh
Muhammad Ali Kotan. Tuan Hussein Kedah juga memulakan kitabnya dengan Fadilat Ilmu, mengajar dan
mempelajarinya. Fadilat Ilmu mengajar dan mempelajarinya adalah berdasarkan
ayat-ayat al-Qur`an.
Seperti ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Sesungguhnya yang takut akan Allah dari
hamba-hambanya ialah ulama` (Fatir: 28)
Atau ayat yang bermaksud:
``Katakanlah, adakah sama mereka yang berilmu
dengan mereka yang tidak berilmu ? (Al-Zumar: 9).
Dan ayat yang bermaksud:
``Allah mengangkat mereka yang beriman dari kalangan kamu dan
mereka yang diberi ilmu kepada berbagai darajat. (Al-Mujadalah: 11).
Antara Hadith tentang kelebihan mengajar
keilmuan ialah sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
`Satu majlis memahami ilmu lebih baik dari
ibadat enam puluh tahun.`` (Usul al-Tauhid, hlm. 4.)
Dan kelebihan belajar ialah Hadith Rasulullah
s.a.w. bermaksud:
``Sesungguhnya malaikat selagi akan meletakkan
sayap-sayapnya bagi penuntut ilmu lantaran reda dengan apa (ilmu) yang
dituntut.`` (hlm.. 4).
Tujuan ayat-ayat Al-Qur`an, juga Hadith dipaparkan
pada bahagian permulaan ialah bagi menyedarkan pengajar dan pelajar akan
kepentingan ilmu, menggalakkan guru-guru untuk mengajar, lebih-lebih lagi bagi
pelajar-pelajar untuk menunutut ilmu. Apakah keutamaan pengajian yang harus
dituntut ?
Kata Tuan Hussein Kedah, ``Ketahui olehmu,
bahawasanya ilmu yang dikehendaki di sini, iaitu ilmu shara` yang dua bahagi.
Pertamanya:
Ilmu Usuluddin dan ilmu tauhid. Bermula makna ilmu tauhid pada lughah,
iaitu ilmu untuk mengetahui, bahawasanya sesuatu itu esa ia. Bermula maknanya
pada shara`, iaitu ilmu yang membicarakan persoalan mengithbat akan beberapa
akidah keagamaan yang berasaskan dalil-dalil yang yakin. Atau dengan kata yang
lain, Ia adalah ilmu mengesakan yang disembah dengan ibadat dengan
mengiktikadkan keesaanNya pada Dhat, sifat dan af`alNya.
Dan faedahnya ilmu tauhid: Iaitu dapat
mengenal segala sifat Allah Ta`ala dan sifat segala rasulNya dengan dalil-dalil
yang putus dan mendapat keuntungan dan kebahagiaan yang berkekalan. Ilmu ini
asal atau umbi bagi ilmu-ilmu yang lain dan ilmu yang termulia, kerana ianya
membicarakan tentang Allah dan RasulNya.
Tuan Hussein Kedah menyebut bahawa ilmu ini
dikeluarkan dari Al-Qur`an dan Hadith Nabi oleh tokoh-tokoh ilmuan dalam bidang
akidah, iaitu Abu Hasan Ash`ari dan dan Abu Mansur al-Maturidi. Menurutnya ilmu
ini dikenali dengan beberapa nama seperti ilmu tauhid, ilmu usul, ilmu kalam
dan ilmu sifat. Ilmu ini berasaskan dalil
akli dan naqli. Dari segi shara` menuntut ilmu ini adalah wajib `aini ke atas
setiap mukallaf. Menurut Tuan Hussein Kedah ialah melibatkan sepuluh perkara
wajib, mustahil dan lawan serta harus, demikian juga dengan rasul, sebab itu
dikenali sebagai `Mabadi al-`Asharah` - permulaan sepuluh. Adapun dalil wajibnya
mempelajari ilmu tauhid, ialah firman Allah bermaksud:
``Ketahuilah bahawa tidak ada Tuhan melainkan
Allah`` (Muhammad: 19).
Dan ayat bermaksud: ``Katakanlah Allah itu
tunggal (Al-Ikhlas: 1).
Dalam membicarakan persoalan tauhid ini Tuan
Hussein Kedah membawa sama pandangan-pandangan kesufian seperti pedapat
ahli hakikat tentang tauhid, iaitu:
``Mensuci akan Dhat Tuhan daripada barang yang ditasawwur, ertinya barang yang
didapat akan dia pada segala faham dan barang yang terlintas akan dia pada
segala waham. Bahkan beliau memetik pendapat Shaykh Junid seorang tokoh sufi
tentang tauhid:
``Berkesudahan oleh pendapatan akal daripada
segala orang yang berakal pada mengesakan Allah kepada tercengang, maka
iaitulah tauhid.``, bahkan makna tauhid secara intuitif dikemukakan oleh Tuan
Hussein Kedah, ``Bermula tauhid, iaitu makna yang hilang padanya oleh segala
alamat dan hapus padanya oleh segala ilmu dan tinggal Allah Ta`ala``.
Dan bagi tauhid itu ibarat dan makna, maka
bermula ibaratnya ialah kalimah `La ilaha illallah`
Bermula maknanya, iaitu ikhlas hati pada
tatkala zikir akan dia dan pada tatkala berbuat ibadat akan Dia.
Berikutnya Tuan Hussein Kedah menyebut tentang
sifat yang wajib, musahil bagi Allah Ta`ala dan juga harus baginya. Turut
dibicarakan persoalan yang berhubung dengan hukum seperti baik dan jahat, suruh
dan tegah, halal dan haram. Sesungguhnya ternyata pendekatan yang diambil oleh
Tuan Hussein Kedah di dalam kitab Usul al-Tauhidnya adalah pendekatan
integrated antara akidah, fiqh dan tasawuf, suatu pendekatan yang lain dari
pendekatan kitab-kitab akidah umum.
Di dalam membicarakan persoalan ketuhanan dan
kerasulan Tuan Hussein Kedah memberi perhatian terhadap kejadian yang lain,
kata Tuan Hussein Kedah.
``Dan tiap-tiap yang maujud yang lain daripada
DhatNya dan segala sifatNya, iaitu makhlukNya dan hambaNya dan jikalau adalah
mereka itu semulia-mulia makhluk ini sekalipun, iaitu seperti segala anbiya`Nya
dan rasul-rasulNya dan malaikatNya dan auliya`Nya dan raja-raja yang berdaulat
dan panglima dan kesakti dan berahmana yang tiada tolok di dalam dunia ini
sekalipun, sekalian mereka itu hambaNya jua dan di bawah pemerintahanNya jua
dan akhirnya mati dan buruk. Dan dinama akan sekalian mereka itu hamba Allah
dan makhlukNya dan maqdurnya dan maqhurNya dan alam dan mumkin dan ka`inat dan
maujudat yang ja`izat yang bersifat sekaliannya itu dengan baharu dan
kekurangan dan kehinaan dan kelemahan dan kedaifan yang adalah sekalian mereka
itu sentiasa dalam berkehandak dan berhajat dan berubah-rubah ada akhir dan
kesudahannya.
Berhubung dengan ciptaan Allah Tuan Hussein
Kedah menyebutkan bahawa,
``Ketahui olehmu, bahawasanya perbuatan Allah
Ta`ala itu terbahagi ia atas dua bahagi:
Pertamanya:
Perbuatan yang idhtirari, iaitu tiap-tiap perbuatanNya yang dijadikan
akan dia pada hal sunyi ia daripada
usaha hamba dan ikhtiar hamba padanya, iaitu
seperti menjadi Allah Ta`ala akan langit dan bumi dan menumbuh akan
segala tumbuh-tumbuhan dan menjadi segala hewan dan angin dan air dan segala
bukit dan menambah besar segala hewan dan kayu dan batu dan mengeluar akan
segala buah-buahan dan bunga-bunganya dan mempaling akan satu hal daripada satu
hal misalnya daripada tiada kepada ada seperti menumbuhkan biji benih atau
mematikan pokok dan sebagainya.``
Keduanya: Perbuatan ikhtiari namanya, iaitu
tiap-tiap perbuatan Allah Ta`ala yang dizahir akan dia pada sisi-sisi hamba
dengan bahawa dijadi bagi hamba itu usaha dan ikhtiar dan kehendak bagi mengada
itu perbuatan atau bagi hamba itu sebab dan kuat bagi ada itu perbuatan, tetapi
sekalian yang tersebut itu tiada memberi bekas pada yang demikian perbuatan
yang diusaha akan dia dan disebab akan dia. Misalnya hamba berikhtiar
mendirikan rumah, maka Allah menzahirkan akan bentuk rumah yang sudah
ditentukan dia pada azali. Dalilnya ialah firman Allah Ta`ala yang bermaksud:
``Allah mencipta kamu dan apa yang kamu lakukan.``
(Al-Saffat: 96)..
Menurut Tuan Hussein Kedah, bermula yang kedua
daripada dua bahagi daripada ilmu yang wajib atas tiap-tiap mukallaf menuntut
mengetahui akan dia , iaitu ilmu fiqh yang dinama akan dia ilmu furu`, ertinya
cabang daripada ilmu yang pertama, iaitu ilmu usul dan ilmu tauhid. Adapun ilmu
tasawuf dan ilmu hakikat, maka iaitu daripada jumlah ilmu tauhid jua.
Sebagai kesimpulan bagi pembicaraan tentang
ilmu kata Tuan Hussein Kedah,
``Ketahui olehmu bahawasanya pekerjaan yang
dituntut atas tiap-tiap mukallaf, iaitu dua perkara.
Pertamanya; I`tiqad yang jazam yang berbetulan
dengan haqq
Keduanya: Amal yang sah ia pada zahirnya dan
batinnya.
Maka hikmat menurun Allah Ta`ala akan Qur`an dan membangkit Ia akan Nabi
Muhammad salla Allah `alayh wa sallam jadi Pesuruh kerana menyata segala hukum
yang thabit bagi dua perkara itulah.
Bermula ilmu usul dan tauhid iaitu ilmu yang
kembali ia kepada i`tiqad dan ilmu fiqh dan furu`, iaitu ilmu yang kembali
kepada amal. Bermula sekaliannya itu dinama akan dia `Din al-Islam` dan `Din
Allah` dan `Din al-Haqq` dan `Al-Din al-Qayyim`` dan `Al-Sirat al-Mustaqim` dan
`Habl Allah`.
Sekian.
No comments:
Post a Comment