BBB, 11
Jamadil Akhir 1437 – 20 Mac 2016 (Ahad):
``Seawal-awal kewajipan bagi manusia mukallaf
ialah ma`rifat (Mengenal) Allah Ta`ala``. Persoalan yang timbul apakah
seseorang mukallaf itu terus dapat mengenal Allah Ta`ala ? Persoalannya begitu subjektif dan ghaib,
apakah `Ma`rifat` begitu mudah dicapai ?
Inilah yang dibawa oleh Penggubah (Pematan) di
dalam bayt berikut:
Jazamkan bahawa seawal-awal apa yang
wajib * `Ma`rifat`, tapi ada khilaf padanya
berbangkit
Sebagaimana dikatakan dan juga sebagaimana
terkandung di dalam matan, bahawa kewajipan terawal bagi seorang mukallaf ialah
ma`rifat (mengenal) Allah Ta`ala – termasuk juga mengenal Rasul sebagai
komponan bagi dua kalimah shahadah. Tetapi menurut Pematan dan juga Sharih,
bahawa ada khilaf pendapat berhubung dengan `kewajipan awal` bagi mukallaf ini.
Al-Imam Abu Hasan al-Ash`ari sebagai pemimpin
akidah Sunni berpendapat bahawa;
``Permulaan yang wajib atas mukallaf itu
ma`rifat akan wujud Allah dan segala sifat yang bangsa Uluhiyyah dan ma`rifat
akan Rasulnya.`` Menurut Pematan dan Pensharah, ini adalah merupakan pendapat
Jumhur Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Manakala Al-Imam Abu Mansur al-Maturidi Imam
kedua penting yang menegakkan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah berpendapat:
``Permulaan yang wajib itu, iaitu nadzar yang
sahih bagi ma`rifat yang jazim.``
Turut sependapat dengan Al-Maturidi ialah
Al-Ustaz Abu Ishak al-Isfiraini, bahawa perlunya nadzar yang boleh menyampaikan
kepada ma`rifat sebagaimana dipetik oleh Al-Baijuri di dalam Tuhfat al-Murid.
Turut sama dipetik pendapat Al-Baqillani dan Al-Imam al-Haramain yang melihat
perlu kepada nadzar terlebih dahulu sebagai muqaddimah awal sebelum sampai
kepada natijah.
Pendapat Al-Imam Abu Mansur al-Maturidi ada rasionalnya,
lantaran persoalan ma`rifat Allah adalah persoalan yang besar, penting dan
tidak mudah difahami dan tidak mungkin terhasil dengan spontan selepas mukallaf
seseorang, melainkan selepas nadzar.
Nadzar adalah bermakna, perhati, memikir. merenung
dan mengkaji. Semuanya ini boleh dirumuskan kepada makna `Belajar secara
teratur dan berguru`. Dalam maksud Al-Imam Abu Mansur al-Maturidi, seseorang
mukallaf ini perlu belajar atau mengaji secara teratur berhubung dengan
keperluan mengenal Allah dan Rasulnya. Melalui pembelajaran baru dapat difahami
mengenai Allah dan Rasul. Dalam konteks ini ada kewajaran hujjah yang
ditekankan oleh Al-Imam Abu Mansur al-Maturidi dan mereka yang bersependapat
dengannya.
Walau bagaimana khilaf pendapat di atas
hanyalah tentang mana yang lebih dahulu antara nadzar dan ma`rifat, tetapi
tidak khilaf tentang kewajipan ma`rifat, kata Pensharah:
``Dan tiada
ikhtilaf `ulama` Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah bahawasnya nadzar yang
menyampaikan ia ma`rifat akan wujud Allah Subhanahu wa Ta`ala dan Rasulnya itu,
maka iaitu wajib, melainkan yang diikhtilafkan itu pihak yang didahulukannya.``
Contoh ma`rifat dikemukakan oleh Sharih secara
soal jawab:
Soal: Betapa Mengenal kita kepada Dhat Allah
Ta`ala ?.
Jawab: Dengan mengenal yang yakin bahawasanya
Dhat Allah Ta`ala itu tentu wajib adaNya halNya Maha Suci daripada segala
tanda yang baharu, ya`ni Maha Suci Dhat
Allah Ta`ala dan sifatNya daripada segala tanda yang baharu dan tiada dapat
oleh pekerjaan nadzar dan waham, Maha Suci Dhat Allah Ta`ala itu daripada
dihinggakan oleh akal dan khayal dan fikir dan barang sebagainya.
Penggubah Nazam (Pematan) membawa contoh pemerhatian
yang bersifat alamiah dan kaedah logik yang boleh membawa kesimpulan wujud dan
qidamnya Pencipta Allah Subhanahu wa Ta`ala:
Lihatlah kepada dirimu kemudian berpindah * Ke
alam tinggi kemudian turun ke bawah
Kau
dapati ciptaan indah mengkagumkan
* Tetapi padanya ada dalil-dalil
ketiadaan
Tiap
sesuatu yang harus padanya
ketiadaan * Menandakan bukti putus mustahilnya qidam
Konsep nadzar
yang dibawa oleh Penggubah nazam
matan ialah dengan merenung berasaskan ilmu yang dipelajari terhadap yang
paling dekat, iaitu tidak lain dari diri sendiri. Ianya dapat dilihat betapa
Allah Ta`ala menjadikan diri kita sebagai kejadian yang paling sempurna
berbanding dengan kejadian-kejadian yang
lain. Kejadian sempurna tidak lain dari kekuasaan dan ciptaan Allah serta
Rahmat dan RahimNya. Ini membuktikan Allah yang Berkuasa dan Maha Bijaksana.
Dari diri juga dapat dinadzar, bahawa diri, walaupun betapa sempurna, tetapi
tidak yang kekal, semuanya mati dan fana, bila tiba masanya. Ini menandakan
bahawa Allah yang Mencipta bersifat Kekal dan Abadi.
Selain daripada melihat pada diri dapat
dilihat pada alam tinggi dari cakrawala, langit
dan bumi. Planet dan bintang-bintang semuanya bergerak dengan teratur di
atas orbit dan mengikut waktu yang ditetapkan, lantaran itu semua selamat
sejahtera. Sesungguhnya semua aturan ini dan kejadian di langit dan di bumi
tidak berlaku dengan sendiri dan tidak terjadi secara kebetulan. Ini menandakan
ada pengatur yang mengatur hingga semua kejadian berjalan dengan teratur dan
selamat. Maka Pengatur yang Maha Bijaksana ini tidak lain dari Allah Subhanahu
wa Ta`ala.
Daripada perkara yang besar , nadzar berpindah
kepada yang bersifat rendah. Contoh Allah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan
buah-buahan sebagai makanan kepada hidup-hidupan di dunia ini. Ini menandakan
betapa Rahmat Allah terhadap makhluk kejadiannya. Walau bagaimana pada makhluk
kejadiannya terdapat tanda-tanda kerosakan dari gempa bumi, banjir, kebakaran,
ribut-taufan dan sebagainya yang memusnahkan. Ini menandakan ketidakkekalan
alam ini, dan menandakan baharunya alam ini. Sebagai sesuatu yang binasa dan rosak
tidak mungkin kekal. Yang Kekal dan Abadi hanya Allah Ta`ala sebagai Pencipta
Yang Maha Berkuasa.
Sekian.
No comments:
Post a Comment