March 22, 2016

Konsep Iman Dan Islam

BBB,   11  Jamadil Awwal 1437 =  21 Mac 2016 (Isnin):
Selepas membicarakan tentang Nazar dan Ma` rifat Penggubah Matan masuk membicarakan tentang:

Ditafsir iman itu ialah dengan tasdiq   *    mengucap bersalahan pendapat tujuan tahqiq
Ada pendapat syarat sebagai amalan  *    Ada pendapat tidak – cukup sekadar dalaman
Penyataan Islam seperti haji dan  solat   *    Demikian  menunaikan  puasa dan zakat

Penggubah Matan  Shaykh Ibrahim al-Laqani membicarakan kewajipan mukallaf dari segi keimanan dan keislaman. Dalam ungkapan biasa dan terkenal bahawa syarat bagi Iman dan Islam ialah:
``Tasdiq dengan hati, iqrar dengan lisan dan beramal dengan rukun-rukun`
Secara huraiannya kesempurnaan iman ialah membenarkan keimanan terhadap Allah dan Rasul dengan hati dan dizahirkan pembenaran ini secara ikrar dengan lidah dengan bukti pernyataan keislaman ialah  menunaikan segala kewajipan yang difardukan ke atas setiap orang Islam yang mukallaf.
Konsep iman menurut Iman Abu Hasan Ash`ari:
``Erti iman itu Tasdiq yang putus akan wujud Allah Subhanahu wa Ta`ala yang bersifat dengan sifat Uluhiyyah dan Maha Suci daripada sifat naqa`is (kekurangan) dan Nabi Muhammad itu tentu Pesuruh Allah Subhanahu wa Ta`ala yang benar khabarnya lagi kepercayaan dan barang yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu tentu benarnya khabarnya.
Manakala Imam Abu Mansur al-Maturidi berpendapat:
``Erti iman i`tiqad yang putus yang sampai kesudahan putus akan wujud Allah Subahanahu wa Ta`ala dan benar barang yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Disebut syarat iman ialah `Penerimaan` dan``Pernyataan`. Adalah dikira tidak sah tanpa kedua syarat ini. Namun berhubung dengan  pernyataan iqrar terdapat perbezaan pendapat di kalangan  ulama Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Menurut Sharih, Imam Abu Hasan Ash`ari pernyataan  (Iqrar) adalah sebagai syarat bagi kepentingan urusan  di dunia, tetapi bukan sebagai rukun bagi urusan di akhirat.
Tetapi bagi al-Maturidi dan pengikut-pengikutnya. Tidak menjadi syarat itu, tetapi menjadi rukun bagi mahiah iman, yakni tiada sah iman yang bangsa dunia dan iman yang bangsa akhirat melainkan dengan iqrar dua kalimah shahadah, dan jikalau wujud yang tasdiq yang putus sekalipun.
Menurut satu qaul lagi yang dimu`tamad oleh Abu Hanifah r.a., iaitu apabila tasdiq seorang dalam hatinya yang putus halnya, tiada iqrar ia dengan dua kalimah shahadah halnya, tiada munkir ia dengan iqrar jikalau disuruh ia dengan iqrar, maka iaitu mu`min kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala, halnya tiada mu`min kepada manusia, ya`ni kepada hukum shara`.
Sebaliknya barang siapa iqrar ia dengan lidahnya serta tasdiq di dalam hatinya, maka iaitu mu`min kepada shara` dan mu`min kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Pensharah membawa pendapat, bahawa kata jumhur Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah seperti Imam Abu Mansur al-Maturidi, Shaykh Sanusi, Shaykh Muhammad Fanjij. Abdul Salam dan lain-lain, bahawa wajib atas tiap-tiap orang yang mukallaf, iaitu iqrar dengan lidahnya beserta dengan niat dalam hatinya dalam enam perkara:
1)       Iqrar dengan dua kalimah shahadah
2)      Iqrar dengan salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
3)      Mengiqrarkan `A`udhu biil-Llah min  al-shaitan al-rajim
4)      Mengiqrarkan Bism`l-Llahi`r-Rahmani`r-Rahaim
5)      Mengiqrarkan istighfar serta niat taubah daripada dosa besar dan dosa kecil
6)       Mengiqrarkan al-Hamdu li`l-Llah serta niat syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Menurut pendapat ini, setiap mukallaf seharusnya mengiqrarkan dengan yang demikian sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.
Adapun maksud dengan Islam ialah engkau lakukan seperti menunaikan solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menunaikan haji bila berkemampuan dan mengeluarkan zakat bila berkelayakan.
Demikianlah persoalan Iman dan Islam. Iman  adalah bersifat dalaman melibatkan minda dan hati yang berhubung dengan i`tiqad dan membenarkan terhadap Allah dan Rasul. Ianya merupakan hubungan individu muslim secara vertikal terhadap Allah dan Rasul. Iman adalah ikatan keyakinan yang melibatkan `Pandangan Wujud` dan melibatkan sikap, pembawaan dan tindakan di dalam hidup-mati.
Manakala Islam adalah pernyataan lahir bertalian dengan keimanan di atas dan menjadi manifestasi kepada tingkah laku, pembawaan individu muslim. Ia adalah hubungan vertical dan horizontal bagi muslim berkenaan. Vertical sebagai manifestasi keyakinan dan tercermin dalam amalan dengan mematuhi perintah Allah seperti menunaikan solat, puasa, zakat dan rukun-rukun Islam yang lain. Sifat horizontalnya kerana amalan terhadap suruhan antaranya melibatkan interaksi kemsayarakatan. Misalnya ibadat solat secara jamaah yang melibatkan hunbungan dengan kalangan jamaah. Mengeluarkan zakat juga melibatkan masyarakat, begitu juga dari segi amalan haji yang melibatkan hubungan yang lebih luas, iaitu pada pereingkat umat.
Dilihat secara lebih luas, iman dan Islam adalah dua elemen kukuh yang mengikat dan menyatukan umat Islam sebagai umat yang mempunyai kepercayaan yang sama, mengaku tentang keesaan Allah Ta`ala dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan secara sama dan menyeluruh mereka mengamalkan suruhan-suruhan di dalam rukun Islam. Mereka bersatu dari segi keyakinan dan kepercayaan, bersatu dari segi amalan dan nilai yang membentuk nilai murni yang mencirikan tamadun dan peradaban mereka.

Sekian.

No comments:

Post a Comment