March 28, 2016

Persoalan Ikhtiar


BBB, 18 Jamadil Akhir 1437 = 27 Mac 2016 (Ahad):


Beberapa persoalan akidah yang rumit dan perlu berhati-hati dan teliti membicarakannya ialah seperti Al-Qur`an sebagai Kalam Allah seperti telah dibicarakan, persoalan perbuatan – termasuk ikhtiar dan qada` dan qadar.
Menyambung pembicaraan sebelum ini bahawa bagi hamba hanya berusaha yang diberi ikhtiar kepada mereka, tetapi usaha mereka tidak  memberi kesan dan tidak terpisah dari kehendak dan kekuasaan Allah yang memberi bekas terhadap perbuatan mereka. Persoalan yang timbul, ialah sejauhmanakah `perbuatan ikhtiariyyah` hamba yang tidak memberi bekas, melainkan oleh Allah ini berbeza dengan pegangan Jabariyyah yang mengatakan:
``Sekalian perbuatan hamba itu dengan qudrat-iradat Allah jua, tiada sekali-kali menyertai dengan qudrat yang baharu. Wa Allah a`lam``. Demikian huraian Sharih terhadap Matan  Jauharat al-Tauhid.
(Pegangan Qadariyyah dan Mu`tazilah jelas, mereka mengatakan mereka melakukan perbuatan dengan qudrat-iradat pada mereka).
Bagi menjawab persoalan di atas Musannif (Penggubah Matan) menjawab sebagaimana di dalam matan berikut bermaksud bahawa perbutan bagi hamba:
Tidaklah dipaksa  hingga  tiada ikhtiar       *  Tidak keseluruhan sendiri  ikhtiar
Kiranya diberi pahala ganjaran kelebihan *  Jika diazab semata-mata keadilan
Pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah tidak seperti pegangan Jabariyyah yang berpegang bahawa hamba adalah terpaksa melakukan perbuatan – hamba tidak dijabar hingga tiada ikhtiar, tetapi tidak pula seperti Qadariyyah, juga Mu`tazilah yang berpegang bahawa manusia dengan kudrat padanya melakukan  perbutan. Menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah hamba  mempunyai ikhtiar, tetapi yang memberi bekas hanya Allah Ta`ala.
Sesuai dengan pegangan bahawa harus bagi Allah melakukan atau sebaliknya tidak melakukan sesuatu  perbuatan, maka demikianlah i`tiqah Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah, bahawa Allah tidak semestinya memberi ganjaran bagi yang membuat kebaikan dan tidak semestinya menyiksa hamba yang berbuat kejahatan. Ia boleh berlaku secara sebaliknya. Lantaran itu kata Sharih:
``Dan jikalau memberi pahala Allah Ta`ala akan kita, maka sungguhnya dengan fadl Allah Ta`ala. Dan erti fadl itu, iaitu recana  daripada memberi rahmat Allah Ta`ala  akan hambaNya dengan ikhtiar, tiada dengan ijab seperti i`tiqad orang Mu`tazilah. Dan jikalau menyiksa Allah Ta`ala akan hambaNya, sanya dengan adilnya yang khalis dan erti adil itu menjadikan barang suatu dalam tempatnya dan Maha Suci Allah Ta`ala zalim, kerana bahawasanya barang suatu daripada mumkinat samanya itu makhluk Allah Ta`ala. Dan erti zalim itu memerintahkan barang suatu bukan miliknya.
Tindakan yang sewajarnya bagi hamba yang mengetahui pada hakikatnya Allah menentukan kesegalaan dan hamba tidak mengetahui ketentuan mendatang tentang dirinya dan yang lain, dia hendaklah ikhtiar bergerak dengan dinamika makhluk yang terus bergerak dan meneroka ketidaktahuan itu dengan dinamika diri secara ikhtiariyyah, semoga dinamika menyeluruh itu sebahagian dari ketentuan Allah bagi dirinya yang memang diikhtiarnya. Dalam hal ini seharusnya tidak timbul hamba dikuasai (Jabariyyah) atau menguasai (Qadariyyah dan Mu`tazilah). Seharusnya hamba terus berada pada status-quo dinamika berkenaan. Dia boleh jatuh (di luar atau tidak menepati ikhtiariyyah), tetapi tiada halangan baginya bangun bergerak dengan dinamika berkenaan.
Penggubah Matan membawa persoalan salah dan Aslah, katanya:
Kata mereka itu melakukan salah wajib  *  Demikian Aslah juga sama jua wajib
Apakah mereka mengambil ibarat bayi   *  Dan umpama orang tua lambat mati ?
Isu klasik di atas, ialah berkait dengan dialog Abu Hasan al-Ash`ari dengan gurunya Wasil bin At`a (Di dalam Tuhfat al-Murid dikatakan dengan gurunya Al-Juba`i) yang berpendapat Allah wajib melakukan yang baik dan terbaik bagi hambanya. Persoalan ditimbulkan anak mati kecil dibalas syurga, kerana tidak berdosa, dan orang tua berdosa masuk neraka mengadu, tidakkah lebih baik dia dimatikan kecil dapat masuk syurga ? Untuk keadilan Wasil melihat sewajarnya Allah menyediakan satu tempat antara dua tempat, bagi anak kecil yang tidak berdosa. Dengan cadangan ini menyebabkan hamba yang mati tua berdosa menghujah, tidakkan lebih baik bagi dirinya yang mati tua itu mati kecil, sehingga dia tidak tersiksa. Anak kecil juga boleh bertanya mengapa dia tidak dimatikan tus nescaya dia boleh berada disyurga, bukan berada pada tempat antara dua tempat. Pertanyaan ini mematikan hujah Wasil bin `Ata dan menyebabkan Ash`ari keluar dari mengikutinya dan mengukuhkan aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Ertinya tidak wajib bagi Allah menyediakan satu tempat antara dua tempat. Allah berhak menentukan balasan kepada yang dikehendakinya..
Bahkan dalam penentuan, walaupun yang baik dibalas dengan yang baik dan yang jahat dibalas dengan jahat, adalah sewajarnya bagi Allah tetapi Dia berhak melakukan sebaliknya , kerana harus baginya. Demikian  kata Penggubah Matan sebagaimana pendapat di atas::
Harus ke atasNya mencipta kejahatan  * Dan kebaikan demikian Islam kekufuran
Demikian juga harus bagi Allah dan Ianya tidak terikat untuk mencipta kejahatan dan kebaikan menjadikan seorang itu mendapat hidayah menerima Islam atau tidak menerima Islam seperti Abu Talib sebagaimana yang diharapkan oleh anak saudaranya Nabi Muhammad s.a.w. Segalanya adalah hak Allah Ta`ala dan ada hikmatnya yang memang kita tidak ketahui.
Apa yang lebih wajar bagi hamba, jangan mempersoalkan persoalan yang berhubung dengan hakikat tertinggi. Yang perlu adalah memahami kedudukan dan jangan mempersoalkan persoalan. Bagi hamba yang sebagaimana dikata sebenarnya tidak mengetahui apa yang belum terjadi, sebab itu hendaklah dia sentiasa positif dan tafa`ul dengan yang baik dan berikhtiar ke arah itu. Dengan ini manusia seharusnya sebok dengan memperbaiki diri dengan  plan harapan yang ikhtiari sesuai dengan perjalanan masa dan tidak perlu sebok mempersoalkan persoalan-persoalan yang bersifat rahsia dan berhikmah pada hakikat tertinggi.

Sekian.


No comments:

Post a Comment