March 8, 2016

Muhammad `Ali Kotan Pengarang Akidah Dari Kelantan


BBB, 27 Jamadil Awwal 1437 = 07 Mac 2016 (Isnin):


Selepas suku pertama abad 20, Kelantan mulai melahirkan ulama-ulama` yang mereka berpeluang mendapat pengajian di Makkah. Mereka seperti Shaykh Abdul Samad bin Muhammad Salih (Tuan Tabal), Haji Mohd Saleh (Tuk Kenali) dan Tuan Ali Kotan. Tuan Tabal terkenal di dalam bidang tasawuf dan fiqh, Tuk Kenali terkenal di dalam bidang sosial, manakala Tuan `Ali Kotan terkenal di dalam bidang akidah. Fokus pembicaraan ialah terhadap bidang akidah yang dihasilkan oleh Tuan Nuhammad Ali Kotan.
Tuan Ali Kotan yang nama lengkapnya ialah Shaykh Muhammad Ali bin Abdul Rahman bin Abdul Ghafur berasal dari Kotan, Kota Bharu Kelantan. Kitab yang dihasilkan berjudul:
Zahrat al-Murid fi `Aqa`id al-Tauhid bererti Hiasan (Bunga) Murid Pada Akidah Tauhid, iaitu Pada Bicara Ilmu Usuluddin Atas Mazhab Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Kitab ini begitu popular dipelajari di pondok, masjid-surau dan sekolah-sekolah agama. Kitab ini telah mengalami ulang cetak. Cetakan kali ke sebelas (1396). Antaranya dicetak oleh Matba`ah Bin Halabi, Fatani. Ini menunjukkan popularnya kitab ini terutama pada zaman tradisi. Pentingnya pengajaian usuluddin dan kitab ini diungkapkan oleh Nazim:
(Ketahui) olehmu hai sekalian ikhwan            Telah tetapkan kamu Islam dan iman
Bahawa sifat dua puluh wajib atas orang       Dengan belajar dan bilang serta terang
Dua puluh wajib itu bagi Tuhan                       Wajib mengetahui dia  laki-laki perempuan
Hai mereka yang menuntut ilmu al-tauhid    Atas kamu dengan kitab Zahratul Murid
Maka kitab ini asal dituntutnya                       Dan yang lain ini kitab  furu`nya
Kitab ini engkau tuntut dan mengaji              Supaya dapat bagi kamu yang dipuji
Tiadalah sah sembahyang dan puasa            Hingga metauhid akan Tuhan yang Esa
Demikian tiada terima  akan amal dan ibadat   Hingga sendiri akan dalil dan ma`rifat.
Dari nazam pada kulit dalam bahagian depan itu sebenarnya dapat ditanggap  akan kandungan dan isi kitab Zahrat al-Murid fi `Aqa`id al-Tauhid berkenaan.
Shaykh Muhammad Ali Kotan  bertolak pembicaraan mulai dengan hukum akal bagi ma`rifat Allah dari segi konsep wajib, mustahil dan harus dengan takrif-takrif tiap-tiap satu dengan contoh setiap satu yang bersifat daruri (mudah) dan nazari (fikir). Contoh bagi wajib secara daruri seperti wajib mengambil lapang oleh jirim dan nazari misalnya qidam Allah dengan memerhati alam berubah-rubah bererti baharu dan Allah tidak baharu, tetapi qidam. Begitulah contoh daruri dan nazari bagi mustahil dan harus. Pengarang juga membicarakan hakikat ma`rifat iaitu jazam yang menepati kebenaran bersama pengukuhan dengan dalil. Disamping itu dibicarakan konsep jahil kepada jahil biasa dan jahil murakkab,
Dari segi pendekatan format dan pola sifat-sifat Allah dari segi sifat-sifat wajib, mustahil dan harus, begitu juga dengan sifat-sifat yang wajib bagi Rasul, mustahil dan harus adalah menurut pola-pola pembahagian biasa sebagaimana yang dilakukan oleh ulama`-`ulama` usuluddin yang lain, bahawa sifat yang wajib bagi Allah termasuk pendekatan Shaykh Muhammad Ali Kotan adalah 20 (bukan 13 sebagaimana pendekatan Ash`ari) dengan mustahil 20 dan harus satu berjumlah 41, manakala bagi Rasul wajib empat, mustahil empat dan harus satu berjumlah 9, maka penedekatan biasa bahawa di bawah dua kalimah shahadah terhimpun rumusan sebanyak 50 sifat, tetapi bagi Shaykh Muhammad Ali melihat di bawah dua kalimah shahadah ini terhimpun:
`` Dan adapun kata kita Muhammad Rasul Allah itu masuk padanya (Sidq) ya`ni benar segala Rasul dan (Amanah) ertinya kepercayaan mereka itu (dan Tabligh ertinya menyampai mereka itu akan barang yang disuruh sampaikan (dan Fatanah) ertinya cerdik bijaksana mereka itu.
Ini empat dan lawannya empat, jadi lapan dan masuk pula harus satu lawannya, satu jadi dua, maka dihimpunkan dua ini dengan dualapan jadi sepuluh dan masuk padanya percaya dengan sekalian anbiya` dan percaya dengan segala malaikat dan percaya dengan segala kitab dan percaya dengan hari kiamat, kerana Nabi mengkhabarkan dengan demikian itu, maka ini empat dan lawannya empat jadi dualapan, maka dihimpunkan dualapan ini dengan sepuluh yang dahulu jadi dualapan belas akidah yang bergantung dengan hak segala Rasul, maka dihimpunkan dualapan belas ini dengan lima puluh aqa`id yang bergantung dengan hak Tuhan kita Jalla wa `Azza, maka jumlah sekaliannya jadi  enam puluh dua lapan `aqa`id yang terkandung di dalam dua kalimah shahadah itu.``
Shaykh Muhammad Ali Kotan membicarakan tentang kerasulan dengan agak detail dengan menyebut bilangan nabi-nabi yang jumlahnya berlainan pendapat itu, tetapi jumlah Rasul seramai  tiga ratus tiga belas atau tiga ratus empat belas itu. Shaykh Muhammad Ali menyenaraikan jumlah Rasul yang wajib diketahui di dalam bentuk nazam yang popular di tengah masyarakat tradisi yang menjadi hafalan mereka, iaitu:
``Hum Adam, Idris, Nuh, Hud ma`a            Salih, wa Ibrahim kullun muttaba`
Lut wa Isma`il, Ishaq kadha                          Ya`kub, Yusuf wa Ayyub ihtadha
Shu`ayb, Harun, wa Musa wa al-Yasa`        Zulkifli, Daud, Sulaiman ittaba`
Ilyas, Yunus, Zakariyya, Yahya                      `Isa, Taha Khatim da` ghayya
Disebut juga Ulu al-`Azm di kalangan mereka.

Dalam membicarakan Sirah Rasulullah s.a.w. disebutkan, termasuk isteri-isteri Nabi semasa Baginda meninggal (sembilan);
`An tis`i niswat wafat al-Mustafa          Kharun fa ikhtarta al-Nabiyy al-Muqtafa
`Aishah wa Hafsah wa Saudah                Safiyyah, Maimunah wa Ramlah
Hind wa Zainab kadha Juwairiyyah        Li al-Mu`minin ummahat mardhiyyah.
Juga disenaraikan nama-nama malaikat yang wajib diketahui (10 itu), percaya kepada kitab, Rasul, hari akhirat tentang kiamat, tentang shafaat,,  qada` dan kadar baik dan kadar jahat (Antaranya disebut secara sepintas lalu). Karangan diakhiri dengan fadhilat dua kalimah Shahadah.
Sebagai kesimpulan pendekatan kitab Zahrat al-Murid fi `Aqa`id al-Tauhid karangan Shaykh Muhammad `Ali Kotan, tidak lari dari pola dan pendekatan kitab-kitab akidah lain yang menurut pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah di samping ada tambahan-tambahan maklumat yang disertakan.

Sekian.


No comments:

Post a Comment