March 2, 2016

Peranan `Ulama` Fatani Dalam Menghasilkan Kitab-Kitab Akidah DalamTulisan Jawi


BBB. 11 Jamadil Awwal 1437 = 01 Mac 2016 (Selasa):


Selepas dari Bidayat al-Hidayat  (1170H = 1757M..) kitab Akidah Sunni yang dihasilkan oleh Shaykh Muhammad Zain bin Al-Faqih Jalaluddin dari Aceh (Kitab dikarang di Makkah), berdasarkan Matan Umm al-Barahin dihasilkan oleh Muhammad bin Yusuf al-Sanusi (m. 795H.), maka kitab-kitab akidah di dalam tulisan jawi terpenting selepas itu dihasilkan oleh `ulama`-`ulama` Jawi dari Fatani – di samping beberapa yang lain.
Fatani sejak abad ke 19 terkenal sebagai pusat keilmuan Islam. Banyak pengajian pondok didirikan di sana yang melahirkan ramai ulama` yang mereka ini menyambung pengajian di Tanah Suci – Makkah dan Madinah. Semasa di sana dan juga di Fatani mereka menghasilkan kitab-kitab Jawi di dalam berbagai-bagai bidang. Tokoh-tokoh terkenal yang juga pengarang-pengarang terkenal seperti Shaykh Daud bin Abdullah al-Fatani (m. 1847M.), Shaykh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani, Shaykh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani  (m, 1908M.) dan Shaykh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani. Mereka ini di samping mengarang kitab-klitab fiqh, juga mengarang kitab-kitab akidah.
Shaykh Daud bin Abdullah al-Fatani mengarang kitab-kitab lebih dari 30 buah termasuklah kitab-kitab akidah antaranya berjudul :
Al-Durr al-Thamin,  Al-Bahjat al-Saniyyah fi `Aqa`id  al-Sunniyyah, Diya` al-Murid, Jawahir al-Saniyyah dan Sharh Nazam `Aqidat al-`Awwam.
Pengarang-pengarang Fatani lain yang menghasilkan kitab-kitab usuluddin ialah Shaykh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani yang terkenal dengan gelaran Tuan Minal. Beliau menghasilkan karangan usuluddin yang berjudul Irshad al-`Ibad ila Sabil al-Rashad dan kitab Miftah al-Murid fi `Ilm al-Tauhid, Beliau juga mensharh terhadap Matan Umm al-Barahin dengan kitab sharh diberi judul `Aqidat al-Najin. manakala Shaykh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad al-Fatani juga mengarang kitab berjudul Faridat al-Fara`id fi `Ilm al-`Aqa`id dan Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani menghasilkan karangan Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn.
Manakala pengarang-pengarang kitab `aqidah lain dari ulama` Fatani ialah seperti:
Muhammad Zainuddin bin Muhammad al-Badawi al-Sambawi (Indonesia) dengan judul kitab Siraj al-Huda, iaitu Sharh terhadap Matan Umm al-Barahin oleh Muhammad bin Yusuf al-Sanusi.
Muhammad Zain Nuruddin bin Tuan Imam Haji Abbas, Batu Bara (Indonesia) dengan kitab berjudul Fawa`id al-Zayn Ilm `Aqa`id Usul al-Din
Abdul Samad bin Muhammad Salih al-Kelantani (Tuan Tabal) dengan kitab berjudul Minhat al-Qarib al-Mujib.
Muhammad Ali bin Abdul Rahman bin Abdul Ghafur Kutan al-Kelantani dengan kitab berjudul Zahrat al-Murid fi `Aqa`id al-Tauhid.
Muhammad Taib al-Mas`udi dengan kitab `akidah berjudul. Miftah al-Jannah.
Hussain Nasir bin Muhammad Taib al-Mas`udi dengan kitab berjudul Bidayat al-Talibin ila Ma`rifat Rabb al-`Alamin.
Muhammad Mukhtar bin `Atarid dengan kitab berjudul Usuluddin.
Sebuah kitab akidah yang penting baik di dalam bahasa `Arab maupun dalam bahasa Melayu ialah kitab mukhtasar berdasarkan Matan Jauharat al-Tauhid  karangan al-Shaykh Ibrahim al-Laqani. Menariknya kitab ini telah dihuraikan di dalam bahasa Melayu dengan diberi judul lengkap, iaitu:
Sharh `Aqidat al-Iman Dalam Sharh Jauharat al-Tauhid
Walau bagaimana kitab  sharh di dalam bahasa Melayu ini tidak diketahui pengarangnya. Matan Jauharat al-Tauhid ini memang sebuah matan akidah yang penting, Matan ini telah di hashiah di dalam bahasa `Arab oleh Shaykh Ibrahim al-Baijuri Bekas Shaykh Al-Azhar.
Satu konsep kepengarangan kitab akidah di dalam bahasa Melayu adalah disertakan karangan akidah ini sebagai permulaan bagi sebuah kitab yang disertakan bersamanya kitab fiqh sebagai bahagian yang kedua bagi kitab berkenaan. Pandangan ini dipengaruhi faktor-faktor berikut:
1)      Pegangan akidah adalah sebagai keperluan bagi setiap orang Islam. Kesempurnaan keislaman seseorang muslim adalah bergantung pada kesempurnaan akidah. Ilmu fiqh  adalah bagi kesempurnaan ibadat, tetapi kesempurnaan ibadat adalah bergantung pada kesempurnaan akidah, sebab itu maka adalah sesuai disertakan keperluan utama, iaitu  akidah disertakan sebagai bahagian pertama bagi kitab fiqh.
2)      Pengajian fiqh ialah pengajian bagi kesempurnaan bagi amalan yang bersifat lahir dan akidah adalah kesempunaan bagi yang bersifat dalaman. Kedua-duanya sempurna menyempurnakan sebab itu wajar disertakan bersama kedua-dua bidang keilmuan berkenaan.
3)      Pengajian yang berhubung dengan akidah biasanya padat dan ringkas, antaranya tertumpu pada menjelas dan m,enghuraikan intipati pegangan yang terkandung di dalam dua kalimah shahadah dan jika lebih luas melibatkan pembicaraan berhubung dengan rukun iman yang enam, walau bagaimana tidaklah begitu panjang pembicaraan, sebab itu amat sesuai persoalan akidah menjadi sebahagian dari kitab fiqh dan diletakkan pada bahagian pertama.
4)      Rukun Iman dan rukun Islam adalah dua komponan yang berhubung dengan pegangan dan amalan keislaman sebab  itu dengan disekalikan di dalam karangan, melengkapkan panduan bagi mereka yang memerlukan keringkasan maklumat sebagai panduan
5)      Dengan disekalikan bahagian akidah yang ringkas yang antaranya di bawah dari 20 halaman, lebih melengkapkan kitab.
Anatara kitab usuluddin yang disekalikan dengan kitab fiqh termasuklah kitab yang dihasilkan oleh Shaykh Daud bin Abdullah al-Fatani yang berjudul `Al-Jawahir al-Saniyyah` (Permata Berharga). Kitab ini adalah sebuah kitab yang agak besar setebal 282 halaman. Bahagian usuluddin pada bahagian permulaan adalah sebanyak 38 halaman.
Sebuah lagi kitab terkenal dipelajari di masjid – surau dan institusi-institusi pengajaian agama Islam ialah kitab Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn karangan  Muhammad Ismail Daud al-Fatani. Kitab ini setebal 232 hlm (terbitan Nahdi Training) atau 235 hlm. (Matbaat al-Misriyyah al-Kubra, Singapura), daripadanya adalah 13 halaman bahagian akidah bagi kedua-dua terbitan.
Walau bagaimana lebih banyak karya usuluddin dihasilkan secara berasingan, meskipun antaranya begitu ringkas.

Sekian.


No comments:

Post a Comment