March 15, 2016

Risalah Al-Tauhid Jabatan Agama Islam Johor Diguna Meluas Ke Luar Johor


BBB, 05 Jamadil Akhir 1437 = 14 Mac 2016 (Isnin):


Negeri Johor adalah antara negeri yang mewujudkan sekolah agama sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi, selepas negeri-negeri lain meniadakan sekolah agama (biasanya sebelah petang), kerana diintegrasikan dengan Sistem Kebangsaan, Johor masih mempertahankan sekolah agama sedemikian.
Bagi melaksanakan pengajian agama ini negeri-negeri mewujudkan kurikulum pengajian keagamaan masing-masing termasuklah Johor. Bagi pengajian akidah misalnya kitab  Risalah al-Tauhid adalah begitu terkenal dan turut digunakan di sekolah-sekolah agama di luar Johor. Walaupun sekolah-sekolah agama tidak ada lagi, tetapi kitab ini popular dan terus digunakan pada pengajian-pengajian tradisi dan keagamaan.
Kitab Risalah al-Tauhid dimaklumkan pada asalnya diterjemahkan (1325H./ 1907M.) oleh Al-Marhum Yang Berhormat Dato` Haji Abdullah bin Abdul Rahman Mantan Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor dari sebuah Kitab Tauhid Dalam Bahasa Arab yang kitab berkenaan adalah menjadi kitab yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Mesir menjadi kurikulum bagi pengajian akidah di sekolah-sekolah di Mesir.
Adalah didapati bahawa kitab yang telah diterjemahkan oleh Dato` Haji Abdullah bin Abdul Rahman itu, berasal dari karangan  di dalam bahasa `Arab itu ialah karangan  Syeikh Muhammad `Abduh (1849-1905), seorang tokoh intelektual Mesir dan pemimpin pembaharuan dunia Islam yang kesannya sampai ke Malaysia dan juga Indonesia.
Kitab Risalah Tauhid yang dikarang Syeikh Muhammad Abduh yang pernah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Kiyai Haji Firdaus dan diterbitkan Cetakan Pertama 1963 Bulan Bintang, Jakarta adalah panjang (264 hlm.). Dinyatakan bahawa terjemahan yang dilakukan oleh Dato` Hqji Abdullah bin Abdul Rahman pada peringkat awal adalah bersifat matan sahaja dan agak ringkas, lantaran itu pada (1345H./1926M.) beliau telah membuat syarah terhadap matan terjemahan asalnya dan dikenali dengan judul `Sharh al-Risalat al-Tauhidiyyah`. Kitab inilah dipersetujui oleh Jawatankuasa Penasihat Pelajaran Agama Islam Johor menjadi kitab bagi kurikulum akidah bagi sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor. Kitab ini disusun kembali dari segi bahasa dan pemudahfahaman permasalahan oleh Abdul Ghani Yahya dan Umar Yusuf sebagai edisi mutakhir yang telah diterbitkan sejak (1372H./1952M.).
Memang jika dibandingkan dengan teks terjemahan Indonesia, maka kitab Al-Risalah al-Tauhid Johor adalah merupakan intisari dari kandungan kitab Risalah Tauhid yang asal karangan Muhammad `Abduh.
Istimewanya Risalah al-Tauhid Johor, bahawa ianya disusun menurut pecahan-pecahan teratur yang memudahkan fahaman terutama bagi pelajar-pelajar yang baru mula untuk mempelajari ilmu akidah.
Walau bagimana melihat kepada kandungan Risalah al-Tauhid pada dasarnya adalah menurut pola-pola yang sama dengan kitab-kitab tauhid yang beraliran Sunni dari berbagai-bagai kitab yang telah dibicarakan.
Dari segi format dan pendekatan bahawa Risalah al-Tauhid (88 hlm.)  dipecahkan kepada  87 pecahan bertolak pembicaraan mengenai apa itu ilmu tauhid dan bermula dengan prinsip asal bagi ilmu tauhid ialah mengenai `Hukum Akal` dan pecahan-pecahannya, iaitu  wajib akli, mustahil akli dan harus akli.
Selepas membicarakan hukum akal dibicarakan  Bahagian Awal `Mengenal Tuhan dan Mengetahui sifat-sifatNya -  Sifat yang wajib, sifat mustahil dan harus diikuti dengan dalil-dalil akli dan naqli bagi sifat-sifat dua puluh.
Kemudian diikuti pembahagian sifat dua puluh kepada kelompok nafsiyyah, salbiyyah, ma`ani dan ma`nawiyyah dan kemudian dibicarakan tentang ta`alluq bagi sifat ma`ani.
Kemudian dihuraikan mengenai konsep Uluhiyyah dan konsep Istighna` dan iftiqar.
Pada bahagian Kedua dibicarakan tentang Rasul, bermula dengan pengenalan rasul, siapa itu nabi dan siapa rasul, hikmah diutuskan rasul, kepercayaan terhadap rasul, bilangan nabi dan rasul dan kategori-kategori mereka.
Seterusnya dibicarakan tentang sifat-sifat yang wajib bagi Rasul, mustahil dan harus.
Kitab Risalah al-Tauhid membicarakan kesemua yang berkait dengan rukun iman yang enam.  Walau bagaimana tumpuan utama pembicaraan ialah terhadap Allah dan Rasul. Selepas tumpuan utama dibicarakan tentang ketuhanan dan kerasulan dibicarakan tentang:
·         Percayakan kepada kitab dengan jumlah kitab diturunkan. Keistimewaan Al-Qur`an
·         Kepercayaan kepada mala`ikat
·         Kepercayaan terhadap hari kiamat
·         Soal Munkar dan Nakir
·         Syurga dan neraka
·         Kepercayaan terhadap qada` dan qadar
Persoalan-persoalan di atas dianggap sebagai pecahan dari kepercayaan terhadap Allah dan Rasul yang terkumpul di bawah dua Kalimah Shahadah yang dianggap induk utama bagi bidang akidah.
Lantaran itu pembicaraan ditutup dengan `aqa`id yang terkandung di bawah dua kalimah shahadah
`La ilah illa Allah Muhammad Rasul Allah`
Dengan demikian lengkaplah perbicaraan berkenaan dengan aqa`id di bawah dua kalimah shahadah di dalam Risalah Tauhid
Sebagaimana dibicarakan kandungan pembicaraan adalah mengikut pola pembicaraan kitab-kitab akidah  Sunni yang lain. Tapi yang istimewa kitab ini disusun dengan cara teratur yang memudahkan pembelajaran dan kefahaman.
Kitab ini terus releven dipelajari baik pada peringkat sekolah, maupun pada pengajian seperti masjid-surau dan pengajian-pengajian yang lain.

Sekian.


No comments:

Post a Comment