BBB, 14 Jamadil Akhir 1437 = 23 Mac 2016
(Rabu):
Penyusun nazam Shaykh Ibrahim al-Laqani
membawa isu yang tidak biasa diperkatakan di dalam membicarakan akidah yang
berhubung dengan Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kata Pematan:
Adakah bagiNya `Idrak` atau tidak ? *
Ada kaum setuju tawaqquf mengelak
Apakah `Idrak` itu ?
Menurut Shaykh Ibrahim al-Bayjuri yang
menghashiahkan terhadap Matan Ibrahim al-Laqani di dalam Hashiahnya berjudul
Tuhfat al-Murid: ``Idrak ialah tasawwur hakikat suatu yang di idrak (Mudrak=
Kena Dapat ) oleh yang mendapat (Mudrik).``
Sebagai contoh mudah seorang berhasrat minum air bagi menghilangkan
dahaga, maka tatkala dia mendapat meminim air, maka peminum itu yang mendapat
air (Mudrik- Isim Fa`il)) dan air adalah yang kena dapat (Mudrak = Isim Maf`ul)
– terhasil kehendak. Konsep Idrak ini dikaitkan dengan Pencipta sebagai contoh
konsep `Takwin` (Ciptaan). Persoalan yang ditimbulkan ialah adakah keberhasilan
cipta itu dapat dikatakan `Idrak` bagi Pencipta ?
Di dalam menghuraikan terhadap bayt Matan
Nazam di atas, kata Sharih:
``Ya`ni jika ditanyai orang akan dikau, Adakah
mempunyai bagi Allah `Azza wa Jalla sifat Idrak akan barang suatu yang maujud
dengan `Idrak Yang Qadim lagi Azali atau tiada ?``
Berhubung dengan isu yang ditimbulkan ini
terdapat tiga pendapat:
Pertama:
Menerimanya sebagai satu sifat sempurna bagi sifat-sifat sempurna yang
banyak bagi Allah Ta`ala, ianya sebagai sifat ilmu, mendengar dan melihat. Ia
adalah sifat qadim yang berdiri pada DhatNya. Idrik mencerminkan kamal, maka
setiap yang kamal wajib bagi Allah, jikalau Dia tidak bersifat dengannya,
nescaya dia bersifat dengan lawannya, ianya bererti kurang, dan kekurangan bagi
Allah Ta`ala adalah mustahil. Mereka yang berpendapat sedemikian dari pendukung
kuat Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah ialah Al-Qadhi al-Baqillani dan Al-Imam
al-Haramayni dan pendukung-pendukung bagi kedua mereka.
Kedua:
Pendapat yang tidak setuju dengan `Idrak`.Iaitu pendapat golongan yang
tidak diberi identiti dengan jelas. Kumpulan ini berpendapat bahawa, jikalau
Allah bersifat dengan `Idrak` melazimkan dia berhubung (ada konteks berpisah)
dengan yang diidrak sebagai lazim akli, maka adalah tidak kemungkinan tasawwur
sedemikian, maka ia adalah sesuatu yang mustahil dan tidak dapat diterima.
Ketiga: Pendapat untuk mengelak dari
kekeliruan dan memasalahkan perbahasan. Golongan ini berpendapat persoalan
sedemikian hendaklah di tawaqquf dan dihentikan, lantaran ianya lebih baik bagi
semua. Sebagaimana kata Sharih: ``Ikhtilaf kata ulama dan qaul yang rajih,
iaitu tawaqquf kepada Allah Ta`ala``. Sharih menyatakan pendapat yang menerima
adanya Idrak itu sebagai qaul yang daif.
Penggubah Matan bukan sengaja mengemukakan
persoalan `idrak` ini atas inisiatif darinya, sebaliknya ditimbulkan oleh
kerana perkara ini telah dibincangkan oleh tokoh-tokoh besar aqidah sepeti
Al-Baqillani dan Al-Juayni dan pengikut-pengikut mereka. Isu yang dibincangkan
adalah halus dan memang boleh dijadikan persoalan dan ada kewajaran. Idrak
ialah peringkat pengukuh selepas sebelumnya bersifat umum. Sebagai contoh
menyebut `kuasa` ianya menyeluruh, tetapi bila sesuatu yang spesifik dari segi
terhasilnya `kuasa` misalnya mengadakan bangunan, aspek yang dibicarakan
ialah bila terhasilnya bangunan
berkenaan sebagai manifestasi dari kekuasaan sebagai `idrak` bagi kekuasaan.
Namun sebagai kata pihak tidak setuju bahawa isu ini merupakan tambahan
bagi manifestasi qudrat, yang mungkin
ada kewajaran, tetapi sebenarnya lebih baik tidak ditimbulkan. Lantaran dengan
anologi yang ditimbulkan banyak lagi tambahan boleh dibuat yang boleh dikatakan
sebagi cerminan bagi kesempurnaan.
Pendirian tidak setuju ini adalah merupakan pendirian banyak, sebab
itu ianya tidak menjadi topik pembicaraan biasa dan merupakan kewajaran.
Setelah membicarakan sifat-sifat Allah yang
tergolong di bawah sifat nafsiyyah, salbiyyah dan sifat ma`ani, maka
Pematan menggubah nazam selanjutnya
iaitu:
Keadaan
Hidup, Mengetahui Kuasa Berkehendak
* Mendengar Melihat terjadi apa yang dikehendak
Mutakallimun kemudian semuanya adalah
sifat Dhat *
Bukan yang lain dan bukan tambah `ayn Dhat
Sekali lagi disebut bahawa Penulis tidak akan
mengulangi perkara yang telah dibicarakan. Di dalam nazam Matan di atas yang
dibawa Pematan ialah mengenai sifat
ma`nawiyyah. Beberapa catatan berhubung dengannya. Berekata Sharih:
``Sifat Dhati itu ya`ni sifat ma`ani dan sifat
ma`nawiyyah itu tiada lainnya DhatNya dan tiada `ayn Dhatnya. Shahadan
bahawasanya sifat ma`ani dan ma`nawiyyah itu tiada harus dikata lain daripada
Dhat kerana lazim dua qadim dan tiada harus pula dikata bahawasanya sifat itu
`ayn Dhat kerana lazim ia dua Tuhan dan
iaitu muhal (mustahil). Dan jikalau dikata sifat itu lain daripada Dhat, maka
lazimlah baharu sifat, maka menjadi Dhat Allah Ta`ala itu bagi tempat yang baru
dan iaitu muhal. Tetapi i`tiqad yang sahih, bahawasanya sifat DhatNya itu tiada
lain daripada Dhat dalam pihak tiada harus berdirinya dan tiada `ayn Dhat dalam
pihak mafhumnya sifat itu berlainan dengan mafhumnya Dhat. Maka inilah
perkataan yang sahih.``
Adapun hakikat Dhat itu berlainan dari hakikat
sifat:
Hakikat Dhat itu wujud yang Qadim dengan
DhatNya, halnya tiada bersandar bagi lainnya, manakala
Hakikat Sifat itu wujud yang Qadim, sebab
Qadim DhatNya disandarkan bagi Dhat.
Berhubung dengan kaitan antara sifat-sifat
ma`ani dan sifat ma`nawiyyah yang diistilahkan sebagai `illah dan ma`lul Sharih
bagi Matan Jauharat al-Tauhid berkata:
``Erti `illah dan ma`lul pada Haq Allah Ta`ala itu dengan makna mulazamah
antara keduanya.`` Yakni kaitan seperti sifat qudrat dengan kaunuhu qadiran dan
seterusnya sifat-sifat yang lain dari sifat ma`ani-ma`nawiyyah. Konsep
maknawiyah ini bukan tambahan sesuatu bagi Dhat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment