BBB, 10
Jamadil Akhir 1437 = 19 Mac 2016
(Sabtu):
Selepas intro atau muqaddimah pembicaraan Pematan baru mulai masuk kepada
topik keilmuan akidah. Kata Pematan:
Setiap orang ditaklif shara` berkewajipan
* Mengetahui perkara wajib bagi
Tuhan
Demikian yang harus dan juga mustahil *
Begitu juga bagi rasul tanpa takwil.
Dengan masuk kepada persoalan yang wajib bagi
mukallaf ini adalah menandakan pembicraan masuk kepada soal akidah. Kewajipan permulaan
bagi mukallaf mengenal Tuhan dan pra-syarat bagi individu ialah orang yang
berakal. Ini adalah merupakan pendekatan dominan bagi permulaan kitab tauhid.
Di dalam hal ini kata Pensharah:
``Ya`ni wajib atas segala orang yang baligh
lagi `aqil itu mengenal yang yakin kepada barang yang wajib bagi Allah Ta`ala
dan barang yang mustahil bagi Allah Ta`ala dan wajib pula atas orang itu
mengenal yang yakin kepada barang yang wajib dan barang yang mustahil dan
barang yang ja`iz yang bagi Rasul Allah salla Allah `alayh wa sallam.``
Pensharah membicarakan konsep Mengenal atau
lebih tepat `Ma`rifat. Menurut Sharih:
``Syahadan, ma`rifat kepada Allah Ta`ala itu
hendaklah ada ia wujud empat perkara:
1) Hendaklah yakin
2) Hendaklah dengan dalil yang yakin dan, iaitu baharunya alam
3) Hendaklah kekal pada pendirian
4) Hendaklah ada permulaan ma`rifat itu kemudian daripada akil baligh.
Sharih menerangkan, , ``Dan tiada wajib
ma`rifat kanak-kanak sebelum sampai baligh seperti kata al-Imam Abu Hasan
al-Ash`ari sebagai qaul yang rajih di samping kata Imam Abu Mansur al-Maturidi
berkata, ``Dan kanak-kanak sebelum sampai aqil baligh itu wajib ma`rifat akan
Allah Ta`ala, jikalau ada ia mempunyai akal ia dan jikalau mati sebelum
ma`rifat akan Allah Ta`ala, maka diseksa oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala di
dalam neraka dan demikian lagi orang yang mati di dalam zaman `fitrah`. Maka
qaul ini marjuh yakni daif.``
Maksud `Taklif Shara`, iaitu berkewajipan bagi
yang aqil baligh iaitu melazimkan mengerjakan barang yang diwajibkan oleh Allah
Subhanahu wa Ta`ala atau meninggalkan barang yang ditegahkan oleh Allah
Subhanahu wa Ta`ala kepadanya atau i`tiqadkan barang yang wajib itu tentu
wajibnya dan barang yang haram itu dii`tiqadkan haramnya dan barang yang makruh
itu dii`tiqadkan makruh dan barang yang mandub itu dii`tiqadkan mandubnya.
Seterusnya kata Penggubah Matan:
Kerana yang bertaklid pada tauhid *
Imannya tidak sunyi dari berbolak-balik
Pendapat mengenainya bersalahan *
Setengahnya mentahqiq dengan pembuktian
Jika dia jazam dengan yang diikuti *
Memada, jika tidak, tiada sah perlu dibaiki
Maksud orang taklid, ialah pengikut yang tidak
mampu membuktikan kepercayaan dengan dalil dan hujah sendiri yang membuktikan
kefahamannya yang tidak bersifat ikut-ikutan yang dibimbangkan ianya tidak
jazam dan berada di dalam ragu dan syak, maka tiada sah imannya sebagaimana
dirajih dan dinaqalkan daripada pendapat Qadhi al-Baqillani, Imam
al-Haramayn dan jumhur `ulama` radiya Allah `anhum.
Membicarakan ilmu aqidah adalah membicarakan
persoalan ghaib, konsepsi dan tidak bersifat nyata dan tidak berbenda. Jikalau
kita teliti di sana ada beberapa tahap piawaian yang menjadi ukuran tahap yang
bersifat subjektif. Ukuran piawaian ini melibatkan individu seperti baligh dan berakal yang berhubung dengan
ma`rifat. Konsep berakal adalah ukuran dinilai pada individu sebagai piawaian
standard. Sudah tentulah ada perbezaan tahap berakal antara seorang dengan yang
lain yang meletakkan seorang sebagai mukallaf. Tetapi itulah piawaian umum baik
pada syara` atau akidah.
Penilaian yang lebih subjektif lagi ialah
ukuran bagi piawaian beriman sempurna
dan tidak sempurnanya
Sharih menghuraikan perbezaan antara lima
kategori tahap keimanan, iaitu antara ilmu, i`tiqad, zan, syak dan waham.
1) Erti ilmu, iaitu mengetahui
barang sesuatu dengan pengenal yang yakin tulus ithbat keadaannya atau nafi
2) Erti i`tiqad itu, iaitu mengenal yang yakin dengan dalil yang yakin.
Ada dua
a) I`tiqad yang mewafakat dalam hakikatnya pekerjaannya, maka iaitu
i`tiqad yang sahih seperti i`tiqad Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah radiya Allah
`anhum
b) I`tiqad yang tiada muwafakat dalam hakikat pekerjaannya, maka iaitu
i`tiqad orang falasifah dan Mu`tazilah yang sesat mereka itu
3) I`tiqad pada tahap zan yang lebih berat kepada pihak benar.
4) I`tiqad pada tahap syak yang lebih berat pada tidak benar.
5) I`tiqad pada tahap waham yang tidak benar sama sekali.
Dengan i`tiqad pada tahap zan, syak dan waham,
maka iman seseorang itu tiada sah sekali-kali.
Demikianlah batas-batas piawaian yang terlebih
dahulu dibicarakan oleh Pematan, juga Sharih dan Penghashiah. Ianya menjadi
piawaian nilai dalam pembicaraan seterusnya di dalam pembicaraan yang
melibatkan persoalan-persoalan sepereti
konsep baligh, berakal, yakin, jazam, hujah
atau bukti yang `qati` dan sebagainya. Konsep berakal ini juga
melibatkan pembicaraan tentang konsep-konsep, hukum akal, bukti, dalil, burhan,
akal dan naqal dan sebagainya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment