March 12, 2016

Konsep Agama Diperkukuhkan Dengan Islam Dan Iman


BBB, 02 Jamadil Akhir 1437 = 11 Mac 2016 (Jumaat):


Sesungguhnya banyak telah dibicarakan tentang akidah yang tentulah bagi mempastikan `Pandangan Wujud` secara betul, iaitu tentang Allah Ta`ala , manusia dan alam dan peranan-peranan kenabian yang membawa perutusan. Semuanya ini adalah pegangan !
Tuan Hussein Kedah, mengambil pendekatan tentang agama, sebagaimana pendekatan-pendekatan yang lain, termasuk pendekatan moden bagi lebih memahami konsep agama itu secara lebih mendalam. Banyak pihak membicarakan erti agama dari segi  loghah dan juga dari segi istilah. Dari segi loghah ada yang mengatakan ianya berasal dari kata `dana` bererti dekat, mudah dicapai dan senang dipelajari, ada yang mengatakan berasal dari kata `dayana` yang bermaksud sebagai `hutang` bermaksud manusia terhutang kepada Allah di atas rahmat dan kejadian diri dan seharusnya berterima kasih dan patuh kepadaNya dan lebih popular kata `Din` bermaksud sebagai `jalan` (tariq) dan `millah` (aturan).
Tuan Hussein Kedah memaksudkan `al-Din` sebagai `al-millah` dan `al-shar`a` yang kedua-duanya bersamaan makna `Menjunjung dan mematuhi aturan` yang dari menjunjung dan mematuhi aturan menerima balasan dan ganjaran.  Apa yang dipatuh dan dijunjung ialah apa yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. yang diterima dengan perantaraan Jibril dari Allah Subhanahu wa Ta`ala. Termasuklah dari segi akidah dan shariat yang melibatkan i`tiqad dan amal sebagaimana kata Tuan Hussein Kedah:
``Dan ketahui daripada ini akan tersimpan segala hukum agama itu pada i`tikad dan amal yang dinamakan keduanya itu agama dan khayr dan amal yang salih dan hasanah dan iman dan Islam.`` Lantaran itu terbahagi ilmu agama itu, pertamanya ilmu usul dan keduanya ilmu furu` (fiqh) yang sumber-sumbernya banyak terdapat di dalam Al-Qur`an.
Dengan berpegang pada agama dengan akidah dan syara` memupuk jiwa  penganutnya:
Beriman, mendirikan solat, bersifat rahmat membuat kebajikan seperti bersadakah, beriman dengan segala kitab, dan beriman dengan hari akhirat. Kesemuanya terletak di bawah i`tiqad dan amal.
Tuan Hussein Kedah membandingkan pegangan agama yang betul sebagai bandingan dengan `Shajarah Tayyibah` (Ibrahim: 24) yang bandingannya dengan usul (batang pokok) yang baik subur dan tidak berpenyakit – tidak rosak, maka menjadikan pokok subur dan rindang. Dahan-dahan bandingan bagi pecahan dari batang pokok. Bandingan sebahagian daripada dahan-dahan adalah pecahan-pecahan penting bagi akidah yang menyuburkan ranting-ranting yang diibaratkan sebagai  pecahan-pecahan ilmu furu` fiqh. Ia adalah manifestasi kebenaran pegangan yang mencerminkan kesuburan tumbuhan yang sihat dan segar. Ianya tidak saja menunjang kukuh ke dalam perut bumi, tetapi pada setiap ranting mengeluarkan bunga dan buah pada setiap musim yang memberi faedah bagi diri dan juga bagi yang lain.
Bandingan ini berinspirasikan firman Allah bermaksud:
``Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad), bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pokok yang baik yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuk menjulang ke langit.`` (Ibrahim: 24).
Begitulah bandingan bagi kebaikan, sebaliknya bandingan jiwa yang tidak beriman kufur adalah sebagai bandingan dengan pokok `Shajarah Khabithah` (Ibrahim: 26). Sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Dan bandingan Kalimah Yang Jahat`- buruk, samalah dengan sebatang pokok yang tidak berguna yang mudah terbungkas akar-akarnya dari muka bumi, tidak ada baginya tapak untuk tetap hidup.`` (Ibrahim: 26).
Konsep Din hendaklah dilengkapkan dengan istilah `Islam` itu sendiri yang maknanya lebih significant dari istilah Din itu sendiri, lantaran Islam memberi berbagai-bagai maksud positif, bahawa Din Islam, adalah yang menwarkan sebagaimana digambarkan oleh isatilah itu sendiri bererti, selamat, sejahtera, patuh dan taat. Keselamatan dan kesejahteraan dialami oleh alam secara luas, selagi ianya patuh pada aturan tabi`i yang dikenakan terhadap alam, misalnya planet-planet bergerak di atas orbitnya yang dengannya bertukar siang dan malam. Hewan dan tumbuhan di muka bumi juga selamat menurut tabi`inya dan tubuh diri kita juga selamat kerana menurut kehendak dan keperluan tabi`. Demikianlah manusia hidup menurut aturan dan kewajipan yang ditentukan Allah dari segi syariat dan akhlak adalah selamat.

Kemudian juga Din Islam dikaitkan dengan akidah yang memberi keyakinan kepada diri dengan hujah-hujah akliah dan naqliah tentang keesaan, kekuasaan dan kehendak Allah. Ini memberi ketenangan dari segi pegangan, Dengan jiwa tenang dan tidak ragu dan waswas menyelamatkan. Dalam hal ini konsep `Din` dengan `Islam` dan`Iman` adalah mempunyai hubungan yang rapat yang memberi keyakinan dan menegakkan keislaman itu sendiri. Islam dengan iman sebagai satu Din – Din al-Islam agama yang benar sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah agama Islam.`` (Ali `I,ran: 19)
Dan Allah menegaskan lagi bermaksud:
``Siapa yang mencari selain dari Islam sebagai agama, maka tidak diterima darinya.`` (Ali `Imran: 85).
Berhubung dengan jalan yang betul dan salah ini Tuan Hussein Kedah memetik sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abdullah bin Mas`ud r.a. berkata bermaksud:
``Telah mengguris kepada kami oleh Rasulullah s.a.w. pada satu hari akan satu guris, kemudian bersabda Baginda, ``Bermula ini, iaitu jalan Allah ertinya agama Allah, kemudian Baginda mengguris pula beberapa guris yang lain pada pihak kanan dan beberapa guris pada pihak kirinya, kemudian Baginda bersabda, ``Bermula ini guris sekaliannya, iaitu mithal bagi beberapa jalan dan agama yang lain daripadanya. Bermula tiap-tiap satu jalan daripadanya ada syaitan yang menyeru ia kepadanya. Kemudian membaca Baginda Rasulullah s.a.w. bermaksud, ``Inilah jalanku yang betul.``
Dapat difahami secara alegori, bahawa penerangan tentang Din, tentang, Iman dan Islam secara berterusan sejak dulu hingga sekarang adalah bagi menunjukkan garis atau `al-sirat` yang betul. Penerangan yang disertakan dengan hujah naqal dan akal sepatutnya diterima secara akur, lantaran apa yang digaris dan dianjurkan tidak lain dari jalan selamat yang memberi kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sekian.


No comments:

Post a Comment