March 17, 2016

Pembicaraan Menurut Seturut Matan Jauharat Al-Tauhid


BBB, 07 Jamadil Akhir 1437 = 16 Mac 2016 (Rabu):


Sebagaimana termaklum bahawa Matan Jauharat al-Tauhid adalah di dalam bentuk puisi Nazam. Dalam pembicaraan ini puisi berkenaan akan diterjemahkan, diikuti dengan huraian dari Pensharah dan tambahan dari Hashiah al-Baijuri (Tuhfat al-Murid), jika perlu. Teks berbahasa `Arab secara puisi itu, insya Allah dijadikan lampiran.
Bismi`l-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim
Al-Hamd li`Llah wa salla Allah `ala Khair khalqih Muhammad wa  Alih wa Sahbih wa sallam.
Berkata Syeikh Ibrahim al-Laqani sebagai Pematan:
Kemudian salam Allah dan salawatnya:         
 Ke atas Nabi yang datang dengan tauhid   *     Sesungguhnya kosong agama tanpa tauhid
Pematan Shaykh Ibrahim al-Laqani selepas puji kepada Allah, salawat dan salam kepada Rasulullah sebagai adab dan ciri permulaan bagi kepengarangan persuratan Islam, tepat menampilkan persoalan utama bagi matan dan keilmuan yang mau dibicarakan ialah persoalan akidah tauhid dan yang membawa  inti akidah keilmuan tauhid tidak lain dari Nabi Muhammad s.a.w. Ini dapat difahami persoalan tauhid dalam banyak ayat-ayat Al-Qur`an seperti di dalam Surah al-Ikhlas, Ayat al-Kursi, Al-Asma` al-Husna dan sebagainya.
Sharih (tidak diketahui nama) yang menamakan sharahnya sebagai `Sharah `Aqidat al-Iman` menambah, bahawa Rasulullah membawa akidah tauhid ini apabila Baginda dilantuk menjadi Rasul ketika usia Baginda empat puluh tahun. Menurut sharih:
``Erti ilmu tauhid itu mengifradkan yang disembah sebenarnya dengan ibadatnya serta i`tiqadkan wahdaniyyat DhatNya dan SifatNya dan Af`alNya atau ibarat daripada mengi`tiqadkan keesaan Dhat Allah dan sifatNya dan Af`alNya.``
Shaykh Ibrahim al-Bayjuri pula aebagai Penghashiah di dalam Tuhfat al-Murid mengatakan:
``Tauhid ialah menunggalkan (Iifrad) yang disembahkan dengan ibadat beserta mengi`tiqad dengan wahdahNya dan membenarkannya dari segi Dhat, Sifat dan Af`al dan tiada Dhat yang menyerupai Dhat Allah Ta`ala.
Point yang kedua di dalam bayt puisi Shaykh  Ibrahim al-Laqani, bahawa `Kosong agama tanpa tauhid`
Sesungguhnya agama pada dasarnya kepercayaan yang dengan kepercayaan menjadi pegangan. Tanpa kepercayaan, maka ianya tidak dapat dipanggil agama. Kepercayaan mungkin umpamanya bercanggah dengan Islam. Misalnya kepercayaan golongan Dahriyyun yang mempercayai alam adalah `Kekal berterusan`, maka ia adalah juga merupakan kepercayaan dan `agama` bagi mereka. Demikian juga dengan komunisme yang tidak mempercayaan Tuhan, juga adalah kepercayaan dan agama bagi mereka. Demikianlah dengan `Liberalisme dan Pluralisme` adalah merupakan kepercayaan kepada mereka. Bagi Islam Falsafah yang kukuh bagi agama Islam ialah `Akidah Tauhid` yang merupakan sebagai benteng yang kukuh bagi Islam dan tidak tercabar oleh musuh walaupun mereka terus mencabar. Sesungguhnya sesuatu kepercayaan, tanpa ada perkara yang dipercayai,  ianya bukan kepercayaan dan bukan agama. Sebaliknya kepercayaan tauhid Islam tegak dengan akidah yang dibicarakan di dalam keilmuan akidah, tauhid, usul dan Ilmu al-Kalam.
Seterusnya kata Shaykh Ibrahim al-Laqani selaku Pematan:
Baginda menunjukkan makhluk agama benar  *   Dengan kekuatan , hidayah tercapai itu benar
Sharih fokus terhadap Nabi Muhammad yang membawa akidah dan hidayah, bahawa:
Sesungguhnya Rasulullah di dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat dengan akidah tauhid Islam, Baginda  terpaksa menghadapi tentangan orang-orang kafir Jahiliyyah. Selama 13 tahun dakwah di Makkah, Baginda menghadapi sekatan dan ancaman, bahkan menghadapi ugutan untuk membunuh Baginda. Di dalam menghadapi mereka Rasulullah mengatur strategi. Antaranya berhijrah ke Madinah yang di sana Islam mendapat sambutan dan mencapai kekuatan dengan mendirikan negara Islam di Madinah. Di Madinah Baginda tidak terlepas dari menghadapi musuh kafir Quraisy dari Makkah dan  menghadapi Yahudi dan kalangan orang-orang munafik di Madinah. Dengan secara diplomasi dan adakala terpaksa menghadapi kekerasan dan peperangan, maka agama Islam dapat berkembang meluas ke Semenanjung Arab pada zaman Baginda dan diteruskan dakwah Islam dan pemerintahan oleh sahabat-sahabat hingga ke luar dari Tanah Arab.
Seterusnya kata Matan:
Nabi Muhammad akhir perutusan Tuhan  *   Keluarga sahabat dan pengikut-pengikut sekalian
Sharih menumpukan perhatian kepada membicarakan tentang latar  Rasulullah keluarga, sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda.  Kata Sharih:
``Syahadan sayugianya atas sekalian orang yang mukallaf itu mengenal yang yakin bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu manusia yang laki-laki lagi merdeheka anak Abdullah yang dizahirkan di dalam negeri Makkah dan kuburnya di dalam negeri Madinah lagi diberi wahyu oleh Allah Ta`ala kepadanya serta menyampaikannya atas sekalian makhluk dan kepercayaan serta sidq lagi bijaksana.``
Sebagaimana Pematan menyebut tentang keluarga Nabi Muhammad s.a.w. maka Sharih menyebut tentang  keturunan dan anak cucu Rasulullah. Menurut Sharih, sahabat mereka ialah, orang berhimpun dengan Nabi Muhammad ketika hidup baginda mu`min dengan adat orang yang berhimpun dan mati halnya beriman dan jikalau kecil atau buta sekalipun.
Hingga kepada peringkat ini Pematan iaitu Shaykh Ibrahim al-Laqani masih lagi pada peringkat khutbah  yang menjadi ciri dan adab di dalam persuratan Islam yang seharusnya memulakan penulisan dengan basmalah , hamdalah dan salawat dan salam ke atas Rasulullah termasuk keluarga dan sahabat. Dapat juga dikatakan semua ini adalah merupakan intro` bagi karangan atau persuratan Islam. Selepas daripada ini barulah Pensharah mulai masuk kepada topik keilmuan yang mau dibicarakan.
Point yang utama dan berkait dengan topik pembicaraan bagi bidang ialah dengan  Pematan mengaitkan Rasulullah sebagai Rasul yang membawa tauhid. Tugas Pensharah dan Penghashiah ialah mengolah apa yang ada di dalam matan dengan maklumat-maklumat tambahan yang releven dengan  persoalan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment