October 31, 2017

HAJI : PERJALANAN JASMANI DAN ROHANI


BBB,  10 Safar 1439H. = 30 Oktober 2017M. (Isnin):
Sebagaimana maklum Haji adalah rukun Islam yang kelima sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Adalah berkewajipan bagi manusia menunaikan haji bagi saiapa yang berkemampuan perjalanan kepadanya.`` (Ali `Imran: 97).
Al-Hujwiri membicarakan haji menurut seturut sebagai rukun Islam yang kelima.
Menunaikan haji melibatkan perjalanan jasmani dan perjalanan rohani yang berkait dengan pesoalan tasawuf.
Perjalanan jasmani melibatkan dua pengalaman, iaitu yang bersifat ilmu dan yang bersifat jejak realiti (pengalaman) .
Maksud melibatkan ilmu, bahawa bagi seorang Islam, khususnya yang berilmu dan mengetahui latarbelakang sejarah, walaupun sebelum pergi ke tanah suci dia tahu bahawa Makkah adalah Tanah Suci yang ada hubungan dengan Nabi Allah Ibrahim, bahkan dikaitkan dengan Nabi Adam a.s. yang bertemu dengan Saidatina Hawa di Arafah, selepas mereka diturunkan di dunia dan dari sini  berkembangnya keturunan Adam-Hawa  yang akhirnya memenuhi dunia sebagaimana kini.
Manakala Nabi Ibrahim a.s. menempatkan isterinya Saydatuna Hajar dan anak mereka Ismail di Baitullah. Peristiwa Hajar mencari air untuk anaknya Ismail menjadi lambang ibadat (haji)  kemudian, dalam mana  Hajar berlari berulang alik di antara Safa dan Marwah yang kemudian mengalir air zamazam sebagaimana ada sampai sekarang. Kewujudan air ini membawa kemakmuran kepada bumi Makkah sebagaimana dido`akan oleh Nabi Ibrahim bermaksud:
``Dan berkata Ibrahim, (wahai Tuhanku) jadikanlah negeri ini  aman. Dan jauhkanlah diriku dan anakku daripada menyembah berhala.``(Ibrahim: 35). Seterusnya kata Ibrahim:
``Wahai Tuhanku bahawa aku mendiami dan zuriatku di lembah yang tiada tumbuhan di sisi rumah Engkau – Baitil Haram. Tuhanku jadikan mereka menunaikan solat, maka jadilah hati manusia cenderung datang kepadanya dan berilah mereka rezeki daripada buah-buahan, semoga mereka bersyukur.``       (Ibrahim: 37).
Di Tanah Suci ini Ibrahim diperintah agar mengorban anaknya Ismail yang patuh kepadanya, tetapi kemudian digantikan dengan kibasy. Ianya menjadi lambang ibadat korban.
Di Tanah Makkah ini juga menjadi tapak jihad bagi Rasulullah s.a.w. mendakwah Islam selama  13 tahun. Di sini dapat dilihat Gua Hira`, tempat Baginda mula-mula menerima wahyu. Di Makkah ini Baginda menghadapi berbagai halangan, sekatan dan kepungan, bahkan pada satu peringkat kafir Qurasy berusaha membunuh Baginda, sehingga baginda mengambil keputusan berhijrah ke Masdinah dengan diiringi sahabat setianya Abu Bakar al-S*iddiq. Dari Madinah Baginda berdakwah meluaskan agama Islam sehingga dapat pula membuka Makkah dan Islam berkembang ke seluruh alam.
Menunaikan haji sebagai rukun Islam yang kelima adalah melalui proses perjalanan jasmani dan rohani. Seorang Islam yang mau menunaikan haji, khususnya bagi yang menunaikannya bagi pertama kali, bukan setakat digerak rasa ta`abbudiyyah untuk pergi menunaikan haji, tapi selama ini menyimpan keinginan dan rindu untuk ke Tanah Suci, lantaran didesak oleh kepatuhan dan kerinduan ini, hamba Allah bekerja dan menghimpunkan duit dan bekalan untuk ke Tanah Suci. Hamba yang diberi peluang bersama jama`ah yang lain yang selama ini bersabar, begitu gembira dan bersyukur di atas kurniaan dan izin Allah dapat ke Tanah Suci.
Di Makkah bila menunaikan Haji dan Juga `Umrah, mengamalkan ibadat itu dia sebenarnya secara tidak langsung menjejaki sejarah dan amalan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim, Hajar dan Nabi Ismail. Mereka bertawaf mengelilingi binaan yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail dan juga menelusuri peristiwa yang dialami oleh Hajar dan anaknya Ismail seperti sa`i  antara  Safa dan Maruah. Mereka juga mengikuti perlakuan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. bila Baginda menunaikan haji dan juga umrah. Begitu juga bila bergerak ke Arafah, tempat lambang pertemuan Adam dan Hawa dan juga sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dalam mana di sana juga baginda menyampaikan khutbah Baginda,. Begitu juga jejak diteruskan ketika ke Muzdalifah bermalam di Mina dan seterusnya apa yang dilakukan ibadat haji itu, secara tidak langsung adalah menurut jejak yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Pemergian ke Madinah adalah sebagai menurut jejak Baginda yang berhijrah ke Madinah dan di Madinah ini dapat dihayati kesan perjalanan sejarah yang didepani oleh Rasulullah dan sahabat-sahabat dalam perjuangan menegakkan Islam. Di Madinah dapat dilihat dan dihayati misanya Masjid Quba` yang pertama dibina Baginda, Masjid Nabawi yang dibina Baginda, tempat baginda menyebarkan Islam, bahkan menjadi pusat pentadbiran dan pengajaran. Bahkan di masjid dapat diziarahi maqam Rasulullah dan sahabat-sahabat.
Selain dari itu dapat ditelusuri jihad perjuangan Rasulullah dan sahabat-sahabat seperti kawasan peperangan Badar, Bukit Uhud dan kesan-kesan sejarah yang lain.
Menunaikan haji dalam kata lain bersama tujuan utama bagi beribadat kepada Allah melalui haji, sebenarnya mendekatkan kefahaman kita dengan bukti-bukti sejarah berhubung dengan perkembangan Islam sama ada di Makkah dan di Madinah. Selain dari kesan perhatian luaran, ianya resap ke dalam hati mengenai perjuangan Rasulullah. Daripada ibadat haji tentulah memberi kesan yang lebih mendalam dari segi rohani, bahawa apa yang dipelajari selama ini, kini berdepan dengan mata kepala dan meresap ke dalam jiwa. Dapat juga difahami bahawa Islam yang kita terima adalah berkesinambungan di dalam sejarah peradaban manusia dan sejarah kerohanian itu  berkesinambungan dari Nabi Adam moyang bagi semua manusia, membawalah kepada Nabi Ibrahim dan nabi-nabi lain, membawa kepada Nabi Ismail dan turun kepada Nabi Muhammad s,a,w. bahawa apa yang kita ikut adalah dari tradisi keagamaan dan kerohanian yang kukuh. Tradisi yang bersifat ilmu, rohani dan insani terus berkesinambungan hingga kini.
Umumnya  berpendapat dan bukti-bukti memperlihatkan, mengerjakan haji mentransformkan seorang hamba dari watak biasa kepada seorang yang patuh pada perintah Allah dan watak juga bertukar dari watak biasa kepada seorang haji yang jiwanya lebih murni yang menandakan hajinya adalah haji yang mabrur.

Sekian.

October 30, 2017

LANJUTAN TAKLIMAT DAN PERTAMA SOLAT BERJAMAAH


Masjid Al-Umm, BBB, 08 Safar 1439H. = 28 Oktober 2017M. (Sabtu):
Sambungan:



Taklimat seterusnya disampaikan oleh Ir. Haji Ishak bin Haji Arshad selaku Timbalan Pengerusi Pembangunan dan Pengimarahan  dan Pengerusi Bahagian teknikal Masjid al-Umm, beliau memaklumkan bahawa cadangan siap pembinaan Masjid Al-Umm oleh Tekad Nusantara  telah beberapa kali tertangguh dari jangka tarikh penyiapan awal dalam tempoh 76 minggu (20 Mei  2015) hingga Ramadhan 1438H. (Jun 2017M.), tetapi hingga kini masih belum dapat digunakan, walaupun hampir siap, tertangguh oleh faktor teknikal dan kewangan.
Menurut Tuan Haji Ishak faktor kelewatan antaranya berlaku perubahan dari plan asal. Misalnya perubahan plan masjid dari dua tingkat, kepada tiga tingkat dengan penambahan bahagian bawah tanah yang pada asalnya dijangkan untuk parkir, tetapi difikirkan sesuai dan lebih menguntungkan dalam masa jangka panjang dijadikan tingkat bawah tanah sebagai dewan serbaguna. Plan kubah di bawah Majleza kepada bentuk yang lebih besar dan menarik. Perubahan plan juga berlaku terhadap dua menara masjid kepada bentuk menara seperti menara di Masjid al-Haram. Begitu juga penutupan beberapa bahagian tempias dan perubahan-perubahan yang lain. Dengan berbagai perubahan yang dilakukan menyebabkan berlakunya peningkatan kos dari kos asal di dalam butiran projek RM10,556,800.00 meningkat antaranya dari kenaikan harga barang, cukai GST (RM800,00) kepada beberapa kali anggaran kenaikan, iaitu kepada RM12 juta, RM15 juta, RM18 juta dan terakhir kepada RM21 juta.
Menurut  Ir.Tuan Haji Arshad  ruang masjid dapat menampung jamaah
Ruang Utama  2,000 orang
Ruang lempah (sayap)  kiri-kanan  1,000 orang
Ruang Anjung hadapan   500 orang
Ruang Muslimat di atas       500 orang
Manakala ruang tingkat bawah tanah 600 orang (ruang serbaguna).
Terdapat dua bilik (mesyuarat dan persidangan  pada tingkat atas dan dua bilik (IT dan tahfiz) pada tingkat ini. Manakala pada ruang utama terdapat satu bilik pentadbiran dan bilik tarbiah dan juga  bilik bagi pengurusan jenazah.
Menurut Ir. Haji Ishak, kesemua ruang telah siap, kini dalam proses testing and commissioning , khususnya mengenai M & E. Dan sebahagian besar telah mendapat kelulusan pihak berkenaan. Beliau berharap masjid dapat digunakan dalam masa terdekat.
Sesi terakhir taklimat disampaikan oleh Tuan Haji Mohd. Noor bin Hj. Yasin selaku Bendahari Jawatankuasa Pembangunan dan pengimarahan masjid. Beliau menyatakan bahawa beliau amat terhutang budi terhadap kemurahan hati penduduk yang di dalam empat tahun terhimpun lebih dari RM20 juta. Jika dikira setiap tahun kita menerima derma sebanyak RM5 juta,dan hitung panjang setiap bulan derma yang didapati adalah sebanyaak RM450,000. satu jumlah yang amat menggalakkan. Beliau mengucapkan terima kasih. Beliau percaya masjid akan terus menerima sumbangan untuk kegiatan dan pengimarahan akan datang.



Tuan Haji Mohd. Noor turut menyebut tentang penambahan kos kerana perubahan plan, kenaikan harga baang dan GST. Selain dari perubahan plan, perkara yang tidak dijangka, berlakunya tempias yang terpaksa dilakukan penutupan ruang secara bersesuaian. Beliau juga menyebut tentang pertambahan tingkat bawah tanah yang walaupun memerlukan peruntukan tambahan, tapi menguntungkan dan menjadi sumber bagi kewangan masjid bila ditempah untuk disewa..
Tuan Haji Mohd. Noor juga menyebut meskipun pembangunan fizikal 98%  siap, tetapi dari segi pembayaran yang telah dibuat hanya  86% dan kita sedang berhutang adalah sebanyak 14%. Jumlah ini yang kita sedang usaha mencarinya. Beliau menyebut walaupun andainya pembayaran dapat dilunaskan, namun masjid memerlukan peruntukan berterusan untuk menampung kegiatan dan pengimarahan berterusan. Beliau percaya apabila masjid beroperasi, dengan kegiatan-kegiatan yang akan dilakukan orang ramai insha Allah akan terus memberi derma dan sokongan.



Majlis taklimat rapat hingga waktu `Asar. Taklimat berakhir tanpa soal jawab. Para hadirin begitu teroja  mengambil kesempatan untuk pertama kali menunaikan solat secara berjamaah di Masjid Al-Umm. Bahkan sebelum azan Asar dikumandangkan masing-masing bersolat tahiyyat al-Masjid  (sebahagian mereka membawa sajadah bersendirian, di samping sebahagian disediakan) dan apabila  azan `Asar dikumandangkan oleh Ustaz Hj. Ya`kob Mat Nor sebagai  azan permulaan, jamaah mengambil kesempatan solat sunat qabliyyah. Jama`ah lelaki yang berjumlah lebih  kurang 200 orang itu memenuhi saf-saf hadapan dan jamaah muslimat yang juga berjumlah lebih kurang 200 orang itu memenuhi saf-saf di belakang saf-saf lelaki (tidak naik ke tingkat atas). Solat `Asar berjamaah iaitu solat permulaan di Masjid al-Umm diimami oleh Al-Ustaz Nabil Fikri, Imam Rasmi yang dipilih oleh Jawatankuasa Masjid Al-Umm. Segala peralatan dari pili air,  penghawa dingin, kipas, lampu dan pembesar suara berfungsi dengan baik.



Selesai solat `Asar semua  hadirin dijemput minum petang, namun sebahagian dari jama`ah, terutama yang pertama kali datang kelihatan teroja dan terpesona dengan ciri seni bina Masjid Al-Umm yang dianggap indah. Sebahagian mereka selepas bersalam meninjau-ninjau ke hadapan dan ke kanan ke kiri bangunan, lebih-lebih lagi terpesona melihat ke bahagian atas – kubah dan hiasan-hiasan keliling. Tidak kurang pula yang mengambil gambar objek-objek yang menarik dan mengambil gambar secara beramai-ramai berlatanrbelakangkan objek-objek yang dianggap menarik.
Sesi minum petang ini agak meriah. Peruntukan kuih-kuih yang disediakan oleh masjid adalah untuk jangkaan 200 orang tamu sahaja, tetapi di luar jangka, yang hadir adalah lebih kurang 400 orang, namun adalah difahamkan ramai muslimat yang membawa kuih-kuih sebagai tambahan bagi kuih-kuih yang disediakan  -  Hidangan pada sebelah kiri (untuk muslimat) dan kanan (untuk muslimin), lantaran itu kuih-kuih yang disediakan adalah mencukupi.
Pihak Jawatan kuasa merasa gembira dan berpuashati di atas sambutan yang diberi oleh penduduk. Terima kasih di atas kehadiran mereka. Mereka juga turut menderma yang jumlahnya mendekati angka RM10,000. Terima kasih.

Sekian.

October 29, 2017

TAKLIMAT KEMAJUAN MASJID AL-UMM KEPADA PENDUDUK


Masjid al-Umm, BBB,  08 Safar 1439H. = 28 Oktober 2017M. (Sabtu):
Jam 3.00 petang hari ini 

Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid al-Umm mengadakan taklimat kemajuan pembangunan Masjid Al-Umm bertempat di anjung, bahagian hadapan masjid berkenaan. Hadir ke taklimat berkenaan ialah Profesor Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri Penaung Jawatankuasa Masjid, Pengerusi Dr. Shafie Abu Bakar, Timbalan Pengerus Ir. Haji Ishak Arshad, jawatankuasa-jawatankuasa dan penduduk yang  berjumlah lebihkurang  400 orang.


Pengacara  Majlis Dr. Sobri Harun, dalam ucapan memulakan majlis  jam 3.00 petang itu mengajak para hadirin membaca al-fatihah kepada dua orang berjasa kepada masjid dan telah pulang ke rahmatullah, iaitu Al-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung dan Penasihat Jawatankuasa Masjid Al-Umm dan  Al-Mahum  Ir. Tuan Haji Ghazali Husin ahli jawatankuasa, Dr. Sobri mengucap terima kasih kepada Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri yang baru dilantik menggantikan Al-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din kerana dapat datang. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Tuan Haji Marzuki bin Haji Che Omar dari Tekad Nusantara Sdn. Bhd. yang turut datang selaku Kontrektor Utama, kerana membenarkan penggunaan Bangunan masjid.
 Dr.Shafie Abu Bakar di dalam yang menyampaikan ucapan alu-aluan  berhubung dengan  Taklimat Kemajuan Pembangunan Masjid Al-Umm  menyatakan, dapat dikatakan pertemuan hari ini adalah merupakan lanjutan dari taklimat yang diadakan kepada pengerusi-pengerusi surau dan juga penduduk  dua minggu lepas bertempat di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) pada Sabtu 14 Oktober  2017 lepas. Tetapi taklimat hari ini lebih istimewa dengan kehadiran Penaung buat kali pertama, juga ahli-ahli jawatankuasa yang baru dilantik dan penduduk sekeliling, lelaki perempuan dan anak-anak.
Kata Dr. Shafie, ``Orang ramai termasuk tuan-tuan dan puan-puan tentulah tertanya-tanya mengapakah hingga sekarang masjid Al-Umm yang kelihatan seperti telah siap masih belum dapat digunakan``. Kata Dr. Shafie sememangnya  dari segi pembinaan fizikal Masjid Al-Umm adalah 98% siap dan pada dasarnya sudah dapat digunakan. Namun ada halangan dari segi teknikal dan procedure. Iaitu perlu mendapat certificatekelulusan  (CPC) dari pihak kontrektor dan arkitek dan (CCC) dari MPKj dan jabatan-jabatan berkenaan  (21 borang perelu lulus).Usaha sedang dilakukan bagi mendapat CPC dan seterusnya CCC. Masalah yang lain, bahawa pihak masjid menanggug hutang yang perlu dilunaskan bagi memudahkan bagi mendapat CPC dan CCC.
Pembinaan Masjid al-Umm yang bermula dari masuk tapak pada 10 Disember  2013 hingga kini hampir 4 tahun. Dari segi pentadbiran, pembangunan dan pengimarahan menurut Dr. Shafie adalah ditadbirkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Pentadbiran yang di Pengerusikan oleh Dr. Shafie Abu Bakar dengan Timbalan ialah Ir. Haji Ishak Arshad, dan jawatan-jawatankuasa. Sebuah jawatakuasa Teknikal ditubuhkan  di bawah jawatankuasa Induk berkenaan yang diketuai oleh Ir. Haji  Ishak Arshad dan dibawah jawatankuasa ini terdapat jawatankuasa Tapak. Kontrektor utama ialah Tekad Nusantara Sdn. Bhd. diketuai  oleh Tuan Haji Marzuki bin Haji Che Omar, manakala arkitek ialah Arkitek Urusbina dibawah tadbiran Ar. Haji Raja Fuaddin bin Raja Ahmad,
Seterusnya Pengerusi mengucapkan terma kasih kepada orang ramai yang telah bermurah hati menderma di samping pihak kerajaan negeri Selangor dan beberapa agensi yang lain.
Jumlah derma yang dilaporkan oleh Bendahari sehingga akhir September 2017 ialah,
RM20, 326, 380.45 dan perbelanjaan yang dilakukan hingga akhir September 2017 ialah sebanyak RM20, 232, 299.56. Baki sekadar untuk urusan pentadbiran dan pembayarean elaun pekerja-pekerja. Terima kasih kepada semua penderma yang selama ini terus menderma dan sesungguhnya 80% derma yang didapati  adalah dari orang ramai. Hasil derma inilah kita melihat bangunan masjid yang tersergam indah ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid al-Umm itu dari segi pengimarahan masjid, pihak AJK telah menyusun kegiatan pengimarahan masjid dan memilih pegawai-pegawai masjid dan bersedia beroperasi apabila masjid mulai digunakan.
Menurutnya sesungguhnya pihak masjid memerlukan kerjasama semua pihak  bagi mengimarahkan masjid dari segi berjama`ah, menyertai berbagai pengajian dan program yang diaturkan, memberi idea-idea bernas bagi kemajuan masjid dan mengharapkan pemimpin-pemimpin pelapis akan mengambilalih pentadbiran bila tiba masanya.


Ybhg.  Prof. Dato` Dr. Andul Halim Tamuri Penaung Masjid yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Bangi yang pertama kali berucap selepas dilantik menggantikan Al-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Harun Din menyampaikan beberapa pandangan dan cadangan bagi menjadikan masjid berdaya maju, bukan saja sebagai tempat ibadat, tetapi masjid sebagai Pusat Pendidikan. Fokus, katanya  adalah terhadap golongan muda, terutama anak-anak dari sekolah menengah dan rendah yang berdekatan dengan masjid. Mereka adalah generasi pelapis. Jika kita gagal mendidik mereka, kita gagal menyediakan pimpinan setempat pada masa hadapan
Dato` Dr. Abdul Halim juga berharap pihak masjid menjalin kerjasama dengan 15 surau di bawah masjid al-Umm, terutama dari segi pengajian dan pengimarahan. Menurutnya masjid dapat mengadakan kerjasama dengan pengajian-pengajian tinggi di sekitar Bangi menawarkan kursus bertaraf diploma yang berkelulusan kelak dapat menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi.
Di samping pengajian di atas, beliau mencadangkan agar diadakan pengajian secara talaqqi secara moden di dalam pengajian Al-Qur`an dan juga keilmuan-keilmuan yang berasaskan kitab-kitab tradisional seperti di dalam bidang fiqh, akidah, tafsir, hadith dan sebagainya. Beliau berharap dari pengajian sedemikian akan dapat mengeluarkan ulama yang diperlukan dalam keadaan semasa.
Walau bagaimana bagi mencapai hasrat menjadikan Masjid Al-Umm sebagai Masjid Pendidikan, katanya,  kita perlu merancang pengajian  secara teratur dengan menjemput pakar-pakar di dalam berbagai-bagai bidang berkenaan  bagi menyusun rangka pengajian dan kurikulum yang mantap, mendapat tenaga pengajar yang hebat yang dapat diikuti pengajain bukan saja dari kalangan setempat, tetapi juga dari luar dari kawasan surau-surau di bawah Masjid al-Umm, bahkan di luar dari Bangi.


Menurut Penaung itu Masjid Al-Umm yang berkedudukan agak terpinggir dari laluan utama dan  orang  ramai di Bangi perlu membina kekuatan dan jati diri, terutama di dalam bidang pengajian agar ianya dapat menarik minat orang ramai bagi menyertai kegiatan-kegiatan dan kemudahan yang disediakan oleh masjid.
Bersambung .....

Sekian.

October 28, 2017

PUASA : PENGALAMAN LAHIRI KEPADA ROHANI MENDEKATI ILAHI


BBB, 07 Safar 1439H. = 27 Oktober 2017M. (Juma`at):
Sebagaimana seturut rukun Islam selepas  zakat, maka dibicarakan oleh Al-Hujwiri tentang puasa (al-s*iyam). Ayat Al-Qur`an yang memerintah berpuasa bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman difardhukan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana difardhukan ke atas mereka yang sebelum daripada kamu, semoga kamu bertaqwa.`` (Al-Baqarah: 183).
Manakala Hadith pula sebagaimana diriwayatkan daripada Abi `Abd al-Rahman `Abdillah bin `Umar bin al-Khattab r.`anhuma berkata: ``Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda  (bermaksud):
``Dibinakan Islam di atas lima perkara, shahadah bahawa tidak ada Tuhan, melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, dan mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat, dan menunaikan haji ke al-Bayt (illah al-Haram) dan puasa Ramadhan.`` Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
 Sebagaimana solat melibatkan amalan fizikal, demikian puasa, bermaksud puasa menahan diri dari perkara-perkara membatalkan puasa seperti makan dan minum, maka ianya juga melibatkan yang bersifat rohani seperti menahani diri dari sifat-sifat keji seperti menjaga panca indera daripada perkara-perkara yang haram dan keji. Lebih daripada itu dituntut supaya menggandakan ibadat dan meningkatkan kualiti diri di dalam mendekati Ilahi.
Tidak ada ibadat yang lain yang menyediakan peluang dan ruang – nyata dan rohani yang bersifat `marathon` sebulan Ramadhan yang menyediakan peluang-peluang untuk meningkatkan ibadat dan kualiti rohani.
Tidakkah berciri dan bersifat tasawuf apa yang ditawarkan oleh bulan Ramadhan ?
Misalnya sebelum Ramadhan tiba masjid dan surau menganjurkan pengajaran bagi mendalami ibadah Ramadhan, agar Ramadhan yang ditunaikan lebih baik dari tahun-tahun yang lepas. Dan mulai petang Ramadhan pertama, masyarakat setempat kecil besar, tua muda, lelaki perempuan memenuhi masjid dan surau dengan penuh ceria dan mesra serta rasa kudus mereka menunaikan solat berjamaah dari maghrib  ke Isya` dan kemudian diikuti dengan solat tarawih yang setiap  dua rakaat bergema dengan tasbih dan tahmid memuji Allah dan salawat kepada Rasulullah  juga  membesarkan para sahabat empat. Diikuti dengan do`a-do`a. Sesungguhnya semua ini adalah manifestasi pengagungan, kesyukuran dan rasa kudus mesra terhadap Allah dan Rasulullah. Tidakkah ini semua  adalah mesra jiwa dan kasih cinta terhadap Allah. Sesungguhnya ini adalah manifestasi tasawuf yang nyata.
Tidakkah mencerminkan jiwa mesra dan rohani terhadap Kalam Allah (Al-Qur`an), bahawa pada malam dan sepanjang Ramadhan adalah digalakkan setiap orang Islam membaca Al-Qur`an. Sesungguhnya Al-Qur`an diturunkan pada malam bulan Ramadhan. Firman Allah bermaksud:
Pada bulan Ramadhan diturunkan Al-Qur`an, memberi pertunjuk kepada manusia dan menjelaskan penerangan-penerangan.`` (Al-Baqarah: 185).
Sesungguhnya adalah amat dekat dengan hati setiap muslimin, ianya bukan saja dibaca di dalam raka`at-raka`at solat, khususnya di dalam raka`at-raka`at solat tarawih – melengkapi 30 juzu`  sebulan Ramadhan. Lebih dari itu dibaca, sepanjang Ramadhan. Apa yang lebih khusyu` dan mesra dari bertilawah Al-Qur`an yang diturunkan pada bulan Ramadhan itu ?.
Manakala sepanjang Ramadhan setiap orang Islam selain dari siang bekerja – juga bersifat ibadat, mereka digalak meningkatkan ibadat. Misalnya pada pertengahan malam mereka bangun mendirikan solat tahajud dan solat-solat sunat yang lain bagi mendekati diri kepada Allah. Ramadhan adalah bulan berkat yang digandakan pahala segala ibadat yang dilakukan di dalamnya. Satu ibadat yang digalakkan pada bulan Ramadhan ialah bersedekah. Lantaran pada bulan Ramadhan ini digandakan pahala bagi mereka yang memberi sadaqah, lantaran itu kita dapati pada bulan ini orang-orang Islam menderma, baik kepada institusi-institusi seperti masjid, surau, rumah-rumah kebajikan, pusat-pusat pengajian dan berbagai yayasan yang menjalankan kegiatan bagi kebajikan masyarakat. Pada bulan ini orang Islam juga menderma kepada anak yatim, faq ir, miskin, pesakit yang mnemerlukan bantuan dan berbagai-bagai individu yang memerlukan bantuan.
Selain daripada itu berlaku pemupukan mesra antara jiran tetangga, misalnya   unjuk-mengunjuk juadah dan makanan untuk berbuka. Dengan demikian memupuk kemesraan di kalangan jiran tetangga dan mengeratkan hubungan di kalangan mereka.
Pada bulan Ramadhan ini juga setiap orang Islam diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah, zakat yang berhubung dengan diri. Antara fungsi mengeluarkan zakat fitrah ini ialah membantu dan menggembirakan mereka yang tidak berkeupayaan, untuk diberi bantuan, agar mereka sama dapat menikmati keberkatan Ramadhan dan sama menikmati kegembiraan dan kesyukuran pada hari raya.
Sesungguhnya puasa adalah ibadat yang melibatkan jasmani dan rohani. Ibadat yang bukan saja diamalkan oleh umat Nabi Muhammad s.a.w., tetapi sebagaimana yang ditegaskan oleh  Al-Qur`an diamalkan juga oleh umat-umat sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Melalui pengalaman jasmani puasa memberi keinsafan betapa menderita orang-orang yang lapar dan di dalam kesusahan. Ini memberi keinsafan dan menggerakkan seseorang kepada memberi pertolongan dengan berbagai-bagai bantuan. Lebih daripada itu ia  bersifat pendidikan terhadap jiwa, melalui pembersihan diri lahiri dan rohani di dalam mendekati Ilahi.  
Roh tasawuf melalui puasa dapat diamali dan dihayati oleh semua pihak. Puasa bukan setakat tuntutan  wajib  Ramadhan, tetapi dapat ditambah dengan berbagai-bagai sunat puasa. Puasa juga merupakan tarapi bagi jasmani sebagaimana  dari aspek  rohani.
Sesungguhnya sebagaimana solat maka demikian puisa adalah amalan fizikal dan jiwa yang meningkatkan diri dari pengujian alamiah meningkat kepada pengalaman rohaniah.

Sekian.

October 27, 2017

TENTANG ZAKAT


BBB,  06 Safar 1439H. = 26 Oktober 2017M. (Khamis):
Sebagaimana telah disebutkan pada akhir dari karangan Al-Hujwiri – Kashfu al-Mahjud, Al-Hujwiri membicarakan tentang rukun Islam. Telah dibicarakan tentang solat, maka berikut ini ialah tentang zakat.
Dapatlah dikatakan, bahawa soal zakat ini kurang dibicarakan di dalam tasawuf, kerana persoalan harta bukan menjadi prioriti di dalam tasawuf. Ini ada hubungan dengan pendekatan di dalam tasawuf yang menekankan sifat faqr yang diberi erti sebagai faqir sebagai sifat yang dipuji di dalam tasawuf. Faqr berkenaan bukan bererti tiada hartra, tetapi lebih bermakna, jiwa kesufian lebih  tertumpu kepada Allah.
Zakat dari segi bahasa ialah membersihkan juga bererti menyuburkan yang dari segi maksud tersirat bahawa Islam suka dan menggalakkan umatnya berusaha mencari harta dan dengan hartanya membolehkan seseorang memberi sumbangan kepada masyarakat, iaitu dengan mengeluarkan zakat. Zakat ini  dapat dimanfaatkan oleh para asnaf yang layak menerimanya.  Zakat dari segi istilah ialah sejumlah harta yang dapat dikumpulkan hingga melayakkannya untuk dikeluarkan zakat sebagai memenuhi tuntutan shari`at dan memberi faedah dan kebajikan bagi asnaf yang layak.
Mengeluarkan zakat adalah wajib bagi mereka yang layak. Bagi mereka yang enggan boleh dipaksakan sebagaimana dilakukan oleh Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq, apabial beliau dilantik menjadi khalifah, beliau memerangi mereka yang murtad dan enggan mengeluarkan zakat.
Dalil tentang kewajipan zakat banyak terdapat ayat-ayat Al-Qur`an yang menekankan kewajipan mengeluarkan zakat. Suruhan mengeluarkan zakat sering digandingkan dengan solat, iaitu hendaklah kamu mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Juga ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Ambillah daripada harta mereka sebahagian untuk s*adaqah (zakat) membersih mereka  dan menyucikan mereka dengannya. ``(Al-Taubah: 103);
Adapun Hadith adalah sebagaimana Hadith yang diriwayatkan oleh Sayyiduna `Umar Ibn al-Khattab tentang pertanyaan malaikta Jibri terhadap Nabi berhubung dengan rukun Islam yang lima itu.
Zakat terbahagi kepada dua, iaitu:
1)      Zakat yang berhubung dengan badan, iaitu zakat fitrah
2)      Zakat harta, iaitu:
a)      Zakat haiwan
b)      Zakat tumbuh-tumbuhan
c)       Zakat emas dan perak
d)      Zakat rikaz
e)      Zakat logam
f)       Zakat perniagaan.
Setiap daripadanya melibatkan nisab, ialah jumlah harta yang dikenakan zakat. Seperti jumlah ternakan tertentu atau emas dan perak. Juga melibatkan haul, iaitu tempoh setahun bagi perkiraan masa seperti zakat perniagaan. Manakala zakat badan iaitu dikeluarkan zakat fitrah  dalam bulan Ramadhan menjelangkan  `Id al-fitri.
Zakat bukan sekadar memungut harta dari yang layak mengeluarkan zakat dan menyerahkan kepada yang layak menerimanya, tetapi jika ditadbirkan dengan baik, seperti juga waqaf dapat menjana  ekonomi umat Islam. Berbagai faedah jangka pendek dan panjang dapat dimanfaatkan dari zakat.
Zakat membawa elemen bersih, bersih jiwa dan bersih harta sebagaimana tasawuf juga menekankan bersih. Zakat bukan setakat bersih jiwa dan harta, tetapi  memberi faedah dan kebajikan bagi masyarakat.
Al-Hujwiri menyebut, kalangan sufi kebiasaannya mereka adalah kalangan yang layak menerima zakat, tetapi sebahagian daripada mereka menerima zakat, tetapi sebahagian  pula menolaknya.

Sekian.

October 26, 2017

SOLAT IBADAT UTAMA MERANGKUMI KEROHANIAN


BBB, 05 Safar 1439H. = 25 Oktober 201`7M. (Rabu):
Al-Hujwiri memasukkan topik berkenaan solat pada peingkat akhir dari kandungan  bukunya – Kashf al-Mahjub. Mungkin ini bagi menunjukkan bahawa solat adalah `part and parcel` dari tasawuf. Tetapi jika bertujuan sedemikian, maka solat dan bahagian-bahagian lain dari ibadat sepatutnya menjadi bahagian dari pendekatan tasawuf berada pada peringkat awal sebagai dasar bagi pendekatan tasawuf.
Solat, sebagaimana dibicarakan, maknanya dari segi bahasa ialah `Do`a`  dan dari segi istilah ialah ibadat yang dari segi amalannya ialah perkataan dan perbuatan tertentu – terdiri dari rukun-rukun dan sunat-sunat yang pemulaan pembukaannya dengan takbir dan berakhir dengan salam.
Mendirikan solat adalah fardhu bagi setiap orang Islam. Banyak ayat-ayat Al-Qur`an yang menyuruh mendirikan solat. Antaranya ayat bermaksud:
`` Dan hendaklah kamu mendirikan solat dan keluarkan zakat dan hendaklah kamu ruku`  bersama orang-orang yang ruku`.`` (Al-Baqarah: 43).
Manakala Hadith sebagaimana diriwayatkan oleh Sayyiduna `Umar Ibn al-Khattab, bahawa Jibril  menemui Nabi Muhammad s.a.w. antaranya bertanya kepada Nabi dengan katanya
``Khabarkan daku tentang Islam, maka bersabda Rasulullah s.a.w.
``Islam ialah engkau mengucap, `La ilaha illa Allah wa anna Muhammadar-Rasulullah, dan engkau mendirikan solat, dan engkau menunaikan zakat, dan engkau puasa Ramadhan dan engkau menunaikan haji ke Baytillah, jika engkau berkemampuan pergi kepadanya.``  Dari Hadith al-Arba`in al-Nawawiyyah – Riwayat Muslim.
Kaedah solat dihuraikan dengan jelas di dalam kitab-kitab fiqh daripada keperluan taharah – pra mendirikan solat. Mengetahui solat-solat fardhu, waktu-waktu,  rukun dan sunat solat, solat jama`ah dan solat Juma`at, dan berbagai-bagai  solat sunat.
Sesungguhnya solat adalah ibadat yang paling utama di dalam Islam dan disifatkan sebagai tiang agama. Siapa yang mendirikannya dia mendirikan agama dan siapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.
Solat juga dapat dilihat fungsinya. Dia berfungsi sebagai hablun min Allah dan hablun min al-Nas.
Fungsi sebagai hablun min Allah, dengan bersolat dia adalah merupakan hubungan langsung antara hamba dengan Allah sebagai melahirkan rasa ta`abbudiyyah terhadap Allah, bahkan mendekati diri kepadaNya, Dia adalah merupakan munajat yang kepadaNya dipohon permintaan. Bahkan pada peringkat yang lebih tinggi solat dilihat sebagai sesi mi`raj hamba kepada Tuhannya. Jika Rasulullah s.a,w. dalam peristiwa Isra` dan Mi`raj adalah bertujuan menerima kefardhuan solat dari Allah Ta`ala yang wajib dan kita tunaikan lima kali sehari semalam bagi yang wajib dan berbagai jenis solat lagi dapat diamlkan solat-solat berkenaan bagi setiap yang menunaikannya adalah sesi mi`raj hamba di  dalam melahirkan ta`abbudiyyah dan permohonan terhadap Tuhan. Didalam hubungan dengan Tuhan ini,  solat juga adalah proses membersih hati dan memperbaiki amalan dalam hubungan dengan Tuhan yang sudah pasti menjadikan hamba seorang yang baik di dalam mematuhi perintah Tuhan. Dengan demikian solat juga sebagai  waja diri yang dapat menjcegah diri dari melakukan kejahatan, sebagai firman Allah yang bermaksud:
``Sesungguhnya solat mencegah diri dari melakukan perkara yang keji dan munkar.`` (AL-`Ankabut: 45).
Jadi dengan bersolat membentuk jiwa yang patuh, bersih, murni, baik dan wara`
Dilihat dari segi kesan kemasyarakatan pula dapat dilihat  dari unit yang kecil, bahawa keluarga yang bersolat, khususnya secara berjamaah dapat membentuk keluarga yang harmoni dan insya Allah bahagia. Dilihat dari kelompok yang lebih besar dengan melalui solat berjama`ah di surau dan masjid menjalin hubungan sosial yang baik, berkenalan dan membentuk sikap tolong menolong dan melakukan kebajikan di kalangan jama`ah dan masyarakat. Melalui kehidupan berjama`ah hidupnya tradisi pengajian yang dapt mempertingkatkan keilmuan, khususnya keislaman di tengah masyarakat.
Sebagai satu kritik hasil dari pemerhatian  kita,bahawa di dalam pendekatan tasawuf dapat dikatakan kurang mengenengahkan solat sebagai asas dan pokok utama di dalam pendekatan tasawuf, Di dalam pendekatan tasawuf misalnya melalui pendekatan maqam dan hal, tiada meletakkan peranan solat di dalam membentuk jiwa sufi dan tiada  disebut penekanan amalan solat sebagai keperluan utama di dalam membentuk jiwa sufi.
Di dalam pendekatan kesufian yang bertujuan membentuk jiwa kesufian banyak membicarakan  dari perjalanan kualiti sama ada melalui maqam dan hal yang praktik amalan tidak sejelas kaedah mendirikan solat, apa yang ditekankan ialah pada puncaknya ialah mesra dan cinta kepada Allah yang ungkapannya bersifat rhetorik, imbiguity yang pada hakikatnya tidak mungkin berlaku kemesraan, cinta  dan  penyatuan terhadap  atau dengan  Allah.
Kita lihat jika anjuran solat lebih kepada berjamaah dan bermasyarakat yang memberi faedah kepada pembinaan masyarakat itu sendiri, sebaliknya penganjuran tasawuf ke arah pengasingan, pembangunan diri dari segi rohani secara bersendiri dan kelompok berasingan  - bercanggah dari semangat dan significantnya solat. Kita tidak bertujuan merendahkan tasawuf, kerana jiwa tasawuf sebenarnya lebih lengkap dan sempurna di bawa oleh solat. Apa yang dilihat adalah pendekatan-pendekatan yang didekati di dalam tasawuf yang tidak sejelas sebagaimana pendekatan dan segala perkara yang berhubungan dengan solat adalah sempurna, jelas dan dapat diikuti dan diamalkan oleh masyarakat secara jelas.
Tasawuf sebenarnya adalah sebahagian dari jiwa keislaman, pendekatan ke arah pengisiannya berbagai-bagai. Ianya sepatutnya menjadi sebahagian daripada ibadat utama yang dapat diamalkan di dalam masyarakat oleh semua.

Sekian.

October 25, 2017

KONSEP KEBERSIHAN


BBB, 04 Safar 1439H. = 214 Oktober 2017M. Selasa:
Pada penghujung bagi kitab Kashf al-Mahjub oleh Al-Hujwiri ini dibicarakan persoalan yang berhubung dengan kebersihan. Persoalan bersih ini  sebenarnya telah dibicarakan pada permulaan membicarakan soal tasawuf, termasuk oleh Al-Hujwiri. Persoalan kebersihan ini berkait rapat dengan  istilah dan konsep tasawuf, iaitu menekankan kebersihan dan kemurniaan jiwa, bahkan dari satu segi dilihat bahawa bertasawuf itu pada keseluruhannya ialah sebagai pendekatan dan usaha bagi membersih diri bagi mendekati Ilahi. Namun pembicaraan kali ini ialah bagi mengaitkannya dengan amalan ibadat.
Dilihat dari satu segi bahawa amalan-amalan ibadat juga berhubung rapat dengan  maksud bersih. Sebagai contoh mengeluarkan zakat adalah  amalan ibadat yang membersihkan jiwa dan harta yang dikeluarkan zakat apabila cukup syarat, nisab dan haul. Puasa juga dilihat sebagai ibadat yang membersih jiwa dan  ibadat-ibadat yang dikerjakan pada bulan Ramadhan itu adalah sama bertujuan membersih diri dan jiwa. Demikian dapat dilihat  aspek kebersihan pada amalan Haji.
Walau bagaimana tumpuan pembicaraan tentang bersih dilihat dari amalan ibadat solat. yang dapat dilihat aspek kebersihan adalah dari segi lahir dan juga dari segi rohani.  Al-Hujwiri menerangkan bahawa untuk mendirikan solat, maka sebelum mendirikan solat seorang itu perlu membersihkan dirinya. Untuk bersolat hendaklah bermula membersih diri dengan mengambil wudhu`. Sebelum mengambil wudhu` dipastiakan kebersihan air. Juga dipastikan air yang boleh digunakan untuk mengangkat wudhu` dan yang tidak boleh digunakan.
Juga dipastikan bersih daripada najis dan mengenal tentang najis dan konsep membersih dan istinja`, juga dibicarakan asbab hadath dan jenis-jenis hadath  dan bagaimana  membersihkan daripada hadath besar dan kecil. Bagi orang perempuan dikenalpasti dari segi haidh, nifas dan istihadhah. Dengan mengenali semua aspek demikian kaedah bagi menunaikan ibadat, walaupun kecil dapat dipastikan betul dan dapat dipastikan kaedah mengambil wudhu` menepati dengan kehendak taharah. Ini dimaksudkan oleh Al-Hujwiri keperluan kepada kebersihan zahir dan keperluan sebelum seseorang mendirikan solat. Sebenarnya walaupun ini dikatakan sebagai kebersihan zahir, ianya juga merupakan sebagai kebersihan batin. Iamya bersih dari niat, kejiwaan yang bersifat ta`abbudiyyah, keikhlasan dan berbagai-bagai sifat kejiwaan yang terserta di dalam  kebersihan dan lebih-lebih lagi di dalam solat.
Al-Hujwiri seterusnya yang melihat kepada contoh pembrsihan lahir seperti keperluan t*aharah sebelum solat seterusnya  membawa perbandingan bahawa demikian juga bagi tasawuf, bagi memasuki tasawuf juga perlu kepada pembersihan dalaman. Permbersihan dalkaman yang dimaksudkan ialah taubat. Ia adalah cara bagi membersihkan dosa. Taubat adalah dituntut sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya Allah suka kepada mereka yang bertaubat dan suka kepada orang yang bersih.` (Al-Baqarah: 222).
Tentang taubat berkata Abu Ya`kub Yusof bin Hamdan al-Susi:
``Taubat ialah kembali daripada sesuatu yang dikeji oleh ilmu kepada sesuatu yang dipuji oleh ilmu.``
Ditanyai Sahl bin `Abdullah tentang taubat, katanya, ``Engkau  tidak lupa akan dosa engkau.`` Bermaksud dengan ingatan ianya sebagai pengajaran dan sempadan agar tidak diulangi kesalahan.
Sebaliknya Al-Junayd apabila disoal tentang taubat, maka katanya, ``Engkau lupakan akan dosa engkau.`` Bermaksud kesal dan tidak mau diingati dan berazam tidak mau dulangi perbuatan berdosa sedemikian.
Berkata Al-Nuri, taubat ialah engkau lupa daripada segala kecuali Allah.
Bagi Dzu al-Nun al-Misri, taubat ada beberapa peringkat:
Taubat bagi kalangan awam adalah taubat daripada dosa.
Taubat bagi kalangan khas ialah taubat daripada lupa dan
Taubat anbiya` daripada melihat lemahnya mereka daripada menyampaikan apa yang telah dicapai oleh yang lain.``
Sebagaimana solat perlu kepada taharah dan tanpanya tidak sempurna solat dan jika dilakukan sia-sia dan tertolak, maka demikianlah dilihat di dalam tasawuf yang perjalanan kualitinya begitu jauh, maka ianya perlu kepada persiapan yang teliti dan melengkapi. Taubah adalah asas bagi permulaan dan pra-syarat bagi tasawuf.
Bayangkan bagaimana seorang hendak melibatkan diri dalam tasawuf sedangkan seorang itu masih meneruskan amalan buruknya yang berdosa. Tentulah berlaku campur-aduk dari segi amalan yang sebenarnya bersifat sia-sia, tertolak dan tidak diterima. Taubat ertinya sudah meninggalkan kesalahan dan mau mengosongkan diri dengan bertaubat dan memulai tahap baru di dalam hidup.
Al-Hujwiri membicarakan tentang kebersihan lahir seperti perlunya taharah sebelum dan di dalam melakukan solat, bukan setakat bandingan terhadap keperluan taharah bagi solat, tetapi perlu kepada taharah bagi solat dan keperluan taubat bagi tasawuf adalah merupakan kesatuan di dalam amalan tasawuf. Bermaksud diri perlu bersih di dalam beribadat juga bersih dari segi tasawuf. Bahkan diri perlu bersih di dalam ibadat – tidak terhad kepada solat sahaja, tetapi bersih dari segi  mu`amalat, makan minum,  dari segi halal, bahkan dari segi akhlak pergaulan.
Bersih dari permulaan, bersih perjalanan dan bersih penyampaian.

Sekian.

October 24, 2017

KONSEP IMAN : BERBAGAI PENDAPAT


BBB, 03 Safar 1439H. =  23 Oktober 2017M. (Isnin):  
Seterusnya Al-Hujwiri membicarakan tentang iman. Iman adalah  perkara penting di dalam Islam. Dengan beriman menentukan keislaman seseorang, tanpa iman tidak Islam seseorang. Iman ertinya percaya, bermaksud percaya dengan  rukun iman yang enam  dan yang berhubungan dengannya tentang kewujudan, iaitu percaya kepada Allah, Rasul, Malaikat, Kitab, Hari Kiamat dan qadha` dan qadar. Dengan keimanan memberi ketenangan , keamanan dan ketenteraman.
 Iman  mempunyai hubungan yang rapat dengan  Islam. Perkataan Islam  bererti selamat, patuh, taat dan khudhu`. Islam adalah selari maksudnya dengan keseluruhan kejadian. Misalnya  bumi dan planet-planet yang lain patuh pada aturan Tuhan bergerak di atas orbit masing-masing yang dengan kepatuhan menjadikan semua aman dan selamat. Bumi juga aman dan  selamat kerana menurut perntah Allah bergerak di atas paksi (ornit), menurut edaran musim yang ditentukan menjadikan penghuni bumi turut patuh dan selamat, bahkan diri individu patuh pada aturan, seperti  makan, minum, tidur bangun dan bekerja yang dengan kepatuhan pada aturan ini menjadi semua  Islam  yang memberi erti selamat dan mempunyai kaitan dengan iman yang dengan mengikut aturan selamat, aman dan sejahtera. Dari segi Islam seorang Islam patuh menurut rukun-rukun Islam yang menjadikannya selamat bukan saja di dunia, tetapi  juga di akhirat.
Tentang iman menurut Al-Hujwiri ada yang berpendapat:
Iman adalah pengakuan dengan lisan, ada yang mengatakan,
Iman ialah pengetahuan tentang Tuhan dan menurut dari segi Sunni,
Iman adalah pembenaran.
Namun takrif selengkapnya menurut Al-Kalabadzi di dalam Al-Ta`arruf berdasarkan kepada Hadith daripada Ja`far bin Muhammad dari bapanya dari Nabi s.a.w. Baginda bersabda bermaksud:
``Iman ialah iqrar dengan lisan dan tas*diq dengan hati dan beramal dengan arkan.``
Beriman juga berkait dengan ma`rifat – kenal, faham dan beramal dengan apa yang diimani.
Mereka berpendapat: Iman seharusnya berma`rifat.
Sempurna ma`rifat  keimanan  dengan amalan, tetapi dengan ma`rifat bukan bererti ketaatan.
Namun  ta`at tanpa ma`rifat tidak berguna. Yang berma`rifat, tetapi tidak beramal adalah berdosa dan terpulang kepada Tuhan untuk membalasnya.
Mereka berpendapat iman adalah pada zahir dan batin dan batin adalah sesuatu yang satu iaitu hati dan zahir adalah sesuatu yang berlainan.
Mereka juga berkata bahawa iman bertambah dan berkurang.
Dan berkata Al-Junayd dan Sahl dan selain daripada keduanya dari kalangan sufi peringkat awal (al-mutaqaddimin), bahawa tas*diq adalah bertambah dan tidak berkurang, berkurangnya tas*diq bererti keluar dari iman, kerana tas*diq dengan khabar Allah Ta`ala dan janji-janjinya, jika ada syak padanya boleh membawa kepada kufur.. Dan bertambah dari segi kuat dan keyakinan dan iqrar lisan tidak bertambah dan berkurang. Adapun amal dengan rukun-rukun bertambah dan berkurang.
Dan berkata setengah daripada mereka itu, bertambah iman dan berkurangnya adalah dari sudut sifat, bukan dari sudut `ayn (benda), maka bertambah iman oleh kerana kemurahan, kebaikan dan kekuatan dan berkurangnya dari berkurangnya aspek-aspek berkenaan dan bukan dari `aynnya.
Disoal setengah pembesar-pembesar tentang iman, maka katanya, ``Iman daripada Allah tidak bertambah dan tidak berkurang, dan daripada anbiya` bertambah dan tidak berkurang dan daripada yang lainnya bertambah dan berkurang.
Menurut Al-Kalabadzi, iman di sisi Allah tidak bertambah dan tidak berkurang, kerana iman adalah sifat bagi Allah Ta`ala dan Dia disifatkan dengannya sebagaimana firmannya bermaksud: ``Dia bersifat salam yang mu`min lagi muhaimin` (Al-Hashr: 23). Dan sifat Allah tidak bersifat dengan bertambah dan berkurang.
Dan harus bahawa iman daripada Allah `Azza wa Jalla, kerana Dialah yang membahaginya kepada hamba sejak sebelumnya di dalam ilmuNya, tidak bertambah waktu dizahirkannya dan tidak berkurang dari ilmuNya dan dari pembahagiannya.
Dan daripada pihak anbiya` adalah pada maqam bertambah daripada Allah Ta`ala dari segi kekuatan iman, keyakinan dan mushahadah hal-hal yang ghaib, sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Demikianlah kami perlihatkan kepada  Ibrahim malakut di langit dan di bumi supaya dia bertambah yakin.`` ((Al-An`am: 75).
Adapun bagi sekalian orang mu`min bertambah iman di dalam batin dengan kekuatan dan keyakinan dan berkurang dari cabangannya dengan taqsir dari amalan fadhu dan terjatuh pada perkara yang dilarang.
Dan para anbiya` adalah ma`sum dari terjatuh kepada perkara-perkara yang ditegah, mereka memelihara dari segala kefadhuan tanpa taqsir. Mereka tidak disifatkan dengan berkurang pada sesuatu daripada sifat mereka dari segi hakikat keimanan.
Demikian berbagai pendapat tentang keimanan.
Iman adalah iqrar dengan lisan,  tas*diq dengan hati, dan amal dengan arkan.

Sekian.

October 23, 2017

KONSEP TAUHID : RASIONAL DAN WIJDAN


BBB, 02 Safar 1439H. = 22 Oktober 2017M. (Ahad):
Seterusnya perkara yang dibicarakan oleh Al-Hujwiri ialah tentang konsep tauhid. Tauhid bererti `Mengesakan` yakni mengesakan Tuhan. Ilmu ini dikenali juga sebagai, ilmu `aqidah,  usuluddin atau yang lebih tinggfi pembicaraannya dikenali dengan `Ilmu al-Kalam`.
Ilmu tauhid adalah ilmu yang penting dan merupakan kewajipan utama yang harus dipelajari oleh seorang Islam,.  Sebagaimana kata-kata di dalam keilmuan yang berkenaan:
``Seawal-awal kewajipan di atas sesaeorang Islam ialah ma`rifat Allah.``
Ayat  Al-Qur`an yang menekankan  tentang  mengesakan Allah seperti ayat bermaksud:
``Katakanlah (ya Muhammad)  Dia Allah yang Tunggal (Esa) (Al-Ikhlas: 1).
Ilmu tauhid dibicarakan di dalam ilmu `aqidah dan turut dibicarakan juga di dalam ilmu tasawuf. Pengajian ilmu tauhid atau `aqidah mempunyai pendekatan yang sistematik dan teratur, manakala pendekatan di dalam tasawuf lebih bersifat dzauq dan wijdan, intuisi dan kerohanian.
Pendekatan ilmu tauhid bertolak dari mengenali  hukum akal yang terdiri dari wajib, mustahil dan harus bagi memahami tentang Allah. Seperti mengenali sifat-sifat yang wajib bagi Allah. Antaranya sifat yang wajib bagi Allah dua puluh, yang mustahil juga dua puluh dan yang harus satu. Juga mengenali sifat wajib bagi Rasul empat,  mustahil empat dan harus baginya satu menjadikan mengetahui tentang Allah dan Rasul melalui sebanyak 50 sifat.  Juga dipelajari maksud iman dan islam. Secara lebih lanjut dibahaskan  sifat-sifat Allah bagi wajib, mustahil,  dan harus berdasarkan dalil dan burhan bagi memahami dengan mendalam.
Walaupun ilmu tauhid adalah lebih berfokus pada pembicaraan tentang Allah dan Rasulullah, tetapi secara lebih lengkap dipelajari kesemua rukun iman yang enam agar kefahaman tentang  rukun iman, keimanan dan ketauhidan lebih menyeluruh.
Tauhid dari segi tasawuf, sebagaimana telah disebut tidak ada kaedah yang teratur yang dapat diikuti bahagian demi bahagian.  Pandangan tauhid kesufian diambil dari kalangan sufi terkenal. Oleh kerana ianya diungkap oleh sufi berdasarkan dzauq dan wijdan, maka antara seorang sufi dengan sufi yang lain bnerlainan ungkapan, walaupun tujuan sama, tetapi  tidak sama dari segi ungkapan.
Menurut Al-Hujwiri, menerangkan erti tauhid dalam ungkapan dan nada biasa, bahawa:
``Tauhid itu menyatakan tentang keesaan sesuatu dan memiliki pengetahuan yang sempurna tentang keesaannya, kerana Tuhan itu esa tanpa ada sekutu dalam tindakan-tindakannya.``
Manakala tauhid di kalangan sufi diungkapkan secara dzauq dan wijdan, umpamnya:
``Berkata Yusof bin al-Husain al-Razi, seorang berdiri berdepan dengan Dzu al-Nun al-Mis*ri dan berkata, ``Khabarkan daku tentang tauhid, apa dia ?``Maka kata Dzu al-Nun al-Mis*ri,
``Engkau mengetahui bahawa qudrat Allah Ta`ala pada sesuatu tidak ada percampuran dan perbuatanNya tentang sesusuatu tanpa `ilaj dan tiada `illah di atas sesuatu yang dibuatNya dan tiada `illah  bagi perbuatanNya. Dan tidak ada di langit tinggi dan di bumi rendah Pentadbir yang lain daripada Allah. Apa jua yang tergambar di dalam waham engkau, maka Allah bersalahan dari yang demikian.
Dan berkata Al-Junayd, tatkala disoal tentang tauhid, katanya, ``Tauhid ialah menunggalkan Yang Esa dengan tahqiq wahdaniyyahNya dengan sempurna keesaanNya, dengan bahawasanya  Dialah Yang Esa yang tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dengan menafikan lawan dan keserupaan dan tidak  perbandingan dan tidak disembah selain daripadaNya. Tiada umpama dan bagaimana, tiada gambaran dan tamsilan, bahawasanya Ia Esa lagi S*amad tunggal dan tiada seumpamaNya  sesuatu dan Dia Amat Mendengar lagi Amat  Melihat.``
Dan disoal  Junayd sekali lagi tentang tauhid, maka katanya, terhapus garisan, hilang makluman, maka Allah sentiasa selama-lamanya.
Dan disoal pula Al-Junayd tentang tauhid khas, maka katanya, ``Adalah hamba bayangan (Shabhan) berdepan dengan Allah `Azza wa Jalla, berlari di atasnya larian tadbirNya menurut larian hukum qudratNya di dalam gelombang laut tauhidNya dengan fana` selain dariNya, tanpa sebarang dakwaan (pengakuan) makhluk dan mustajabnya, dengan hakikat wujud keesaanNya pada hakikat kedekatanNya dengan hilang rasa dan gerak  dengan berdiri hak sebagaimana dikehendakiNya. Dan kembali akhir hamba kepada awalnya. Maka dia sekarang sebagaimana dia setelah lalu sebagaimana sekarang. Dan dikatakan juga, `Tauhid`  ialah, ``Keluar dari kesempitan garisan zaman kepada keluasan fana` yang sarmadani.``
Mencatat Al-Kalabadzi  di dalam Al-Ta`arruf, tauhid bahawa Allah itu esa lagi tunggal, lagi S*amad, qadim, mengetahui lagi berkuasa, hidup mendengar, melihat ... seterusnya dengan segala sifat kesempurnaan.
Seterusnya dinafikan dariNya, ``Tidak berjisim, tidak bayangan,, tidak gambaran, tidak perorangan, tidak jauhar dan tidak sifat ... seterusnya menafikan segala yang tidak layak bagiNya.
 Dan  Al-Kalabadzi merumuskan, ``
``Dan secara jamaah para sufi berpendapat, bahawasanya Dia tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan mata seni, sifat-sifatNya tidak berubah dan tidak bertukar namaNya. Dia berterusan. Dia awal dan akhir, zahir dan batin. Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. Dan tiada diumpamakan sepertiNya dan Dia adalah Amat Mendengar lagi Amat melihat.
Demikian perbedaan tentang tauhid. Ilmu tauhid bagi usuluddin mempunyai penbdekatan teratur dan rasional berdasarkan hujah dan dalil naqli dan akli, manakala tauhid menurut sufi adalah berdasarkan tanggapan tokoh-tokoh sufi secara rohani, imtuitif, dzauq dan wijdan.

Sekian.

October 22, 2017

APA ITU MA`RIFAT ?


BBB, 01 Safar 1429H. = 21 Oktober  2017M. (Sabtu):
Satu dari keistimewaan kitab Kashf al-Mahjub oleh Al-Hujwiri, bahawa  selain dari membicarakan tentang tokoh-tokoh sufi yang pembicaraan sedemikian banyak dilakukan oleh penagarang-penagarang tabaqat dan bukan tabaqat, ialah Al-Hujwiri membicarakan tentang doktrin-doktrin kesufian sebagaimana telah dibicarakan. Berikut dari itu Al-Hujwiri membicarakan tentang konsep-konsep, istilah-istilah termasuk juga tentang pengibadatan.
Ma`rifat adalah istilah yang paling rapat dengan kesufian. Ma`rifat dari segi bahasa bermakna kenal, sebagaimana istilah yang dekat dengannya iaitu `ilmu` bererti `tahu..
 Menurut Al-Hujwiri  mengenal Allah ialah dengan dua cara, iaitu dengan ilmu pengetahuan (akal) dan dengan hati.
Al-Hujwiri lebih membesarkan `ma`rifat (hati)  dari ilmu (akal). Beliau berkata,
``Tidak ada theologi tanpa ma`rifat.``
Bermaksud ilmu theologi adalah bergantung pada rasional akal. Baginya ma`rifat lebih utama dari ilmu pengetahuan.
Beliau tidak bersimpati dengan akal, oleh kerana hujah-hujah Mu`tazilah berasaskan akal, dan berpendapat  (Mu`tazilah) kebenaran dapat dicapai oleh akal, walaupun misalnya tidak disampaikan wahyu.`
Kita berpendapat persoalan akai dan ma`rifat  dalam pembicaraan ini tidak ada hubungannya dengan Mu`tazilah.
Akal adalah satu alat yang dapat digunakan bagi mencapai kebenaran, sebagaimana pancaindera juga sebagai alat mencapai kebenaran di dalam had dan batasnya tertentu. Sementara akal dapat digunakan bagi mencapai kebenaran sebagaimana digunakan kaedah dalil dan burhan di dalam keilmuan theologi, namun Al-Hujwiri berpendapat kebenaran  dapat dicapai dengan hati, iaitu melalui mekanisme ilham, iaitu taraf di bawah daripada wahyu, tapi Al-Hujwiri tidak dapat menunjukkan mekanism, hati yang dapat mencapai ilham berkenaan seterusnya kepada kebenaran.
Bagi mengukuhkan pendapat tentang ma`rifat, Al-Hujwiri memetik berbagai pendapat sufi, antaranya pendapat `Abdullah al-Mubarak, iaitu sufi peringkat awal  yang menulis  tentang tasawuf. Menurut `Abdullah al-Mubarak,
``Ma`rifat   ialah kurniaan yang menakjubkan dari Allah kepada `arif yang dikehendaki tentang sesuatu persoalan yang bersifat ma`rifat.``
Manakala Shibli berpendapat, ``Ma`rifat adalah kekaguman yang terus menerus sama ada pada persoalan ma`rifat atau nilai yang terhasil darinya.``
Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi  di dalam bukunya  `Al-Luma`` banyak menampilkan pendapat tentang ma`rifat:
Kata Abu Sa`id al-Kharraz, Ma`rifat datang dengan dua wajah, dengan `ayn yang lembut (al-jud) dan secara usaha yang sungguh-sungguh.``
Disoal Abu Turab al-Nakhshabi tentang `arif, maka katanya, ``
Dia adalah yang tidak dikeruhi oleh sesuatu dan bersih dengannya oleh sesuatu.``
Dan berkata Ahmad bin`Ata`, ``Ma`rifat ada dua jenis  ma`rifat, ma`rifat haqq dan ma`rifat hakikat ma`rifat haqq. Ma`rifat wahdaniyyahNya di atas apa yang nyata dari makhluk dari segi nama-nama dan sifat-sifat. Dan ma`rifat hakikat, bahawa tiada jalan kepadaNya kerana tertegahnya secara s*amadiyyah  dan tahqiq Rububiyyah, kerana maksud firman Allah
(Wala yuhit*una bihi `ilma.``  (Taha: 110)
 bermaksud:
``Dan tidak meliputi dengannya keilmuan.``
Menurut Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi,  maksud``tiada  jalan kepadanya` di atas, yakni kepada ma`rifat secara hakikat kerana Allah Ta`ala menzahirkan kepada makhlukNya daripada nama-nama dan sifat-sifatNya daripada apa yang dikatahui untuk dicakapkannya, yang demikian kerana hakikat ma`rifat, tidak mampu  bagi makhluk dan tidak sezarrah daripadanya, kerana alam dan kandungan akan lebur melalui zarrah terawal dari nyata kebesaranNya, siapa yang mampu ma`ririfat dengan yang bersifat dengan sifat-sifat  sedemikian ?
Sebab itu adalah dikatakan, ``Aku tidak mengenal yang lain dan aku tidak mencintai selain dariNya, kerana  S*amadiyyah tertegah dariNya dilitupi ilmu dan dari idrak, kerana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan tidak meliputi dengan sesuatu dengan ilmunya.`` (Al-Baqarah: 255).
Adalah dihikayatkan  dari Sayyidina Abu Bakar al-S*iddiq, bahawa beliau berkata (bertasbih),
``Mahasuci siapa yang tidak menjadikan bagi makhluk jalan kepada ma`rifatNya, melainkan lemah daripada  ma`rifatNya.``
Dan disoal Shibli, ``Bilakah seorang `arif menyaksikan Yang Haqq ?`` Katanya
``Apabila nyata yang menyaksi,dan fana segala saksian, hilang segala pancaindera, hancur segala rasa.``
Ditanya lagi, Bila bermula perkara ini dan bila berakhirnya ?`` Maka katanya,
``Permulaan ialah ma`rifatNya dan pengakhiran adalah tauhidNya.``
Dan daripada alamat ma`rifat, bahawa dia melihat dirinya dalam genggaman Al-`Izzah dan berlari di atasnya larian qudrah. Dan daripada alamat ma`rifat ialah mahabbah, kerana siapa yang mengenalNya mengasihiNya.
Demikian antara pendapat tentang ma`rifat yang dicatat oleh Abu Nas*ral-Sarraj di dalam Al-Luma` yang lebih jelas daripada apa  yang dicatat oleh Al-Hujwiri.
Ilmu dan ma`rifat adalah mekanisme  ketahuan dan ma`rifat.

Sekian.

October 21, 2017

DOKTRIN BERCANGGAH DENGAN ISLAM


BBB,   30 Muharram 1439H. = 20 Oktober 2017M. (Juma`at):
Al-Hujwiri menyebut 12 doktrin yang mau dibicarakan. Menurutnya sepuluh daripadanya tidak bercabgah dengan Al-Sunnah, manakala dua lagi ditolak.  Doktrin Hululiyyah oleh Al-Husain Mansur (AL-Hallaj) sebagai salah satu yang ditolak, tapi tidak dibicarakan baki satu lagi.
Tentang doktrin yang diterima dan ditolak ini Abu Nas*r al-Sarraj di dalam AL-Luma`, mwnulis bahawa disamping yang diterima ada pula segolongan yang dituduh, difitnah, bahkan ada yang dianggap sebagai kufur.
Tuduhan timbul menurut Al-Sarraj oleh kerana pihak yang menuduh bukan ahli dan tidak memhami maksud yang diungkap oleh ahli sufi. Kerana tidak faham menimbulkan kekeliruan dan tuduhan yang tidak sepatutnya. Dari satu segi ada yang bermotifkan politik dan mempertahankan kedudukan. Tuduhan sengaja dilemparkan bagi menjatuhkan satu pihak agar pihak yang lain mendapat kedudukan dan kepentingan tertentu.
Menurut Al-Sarraj pihak yang menjadi mangsa tuduhan termasuklah Dzu al-Nun al-Mis*ri . Dia dituduh zindiq dan kufur. Tuduhan diangkat kepada sultan yang memerintah pada masanya. Dia menjawab segala tuduhan dengan jelas dan kekeliruan dapat di perbetulkan. Tuduhan terhadapnya ditarik balik dan dia dikembalikan kepada kedudukannya secara terhormat.
Keadaan yang sama berlaku kepada Abu Sa`id Ahmad bin `Isa al-Kharraz beliau dituduh oleh sekumpulan jamaah sebagai kufur, kerana tidak memahami kandungan  kitabnya -  Kitab al-Sirri, namun kekeliruan dan ketidakfahaman dapat dijelaskan. Selain dari dua sufi di atas terdapat beberapa kekeliruan yang lain terhadap beberapa sufi yang lain diterangkan oleh Abu Nas*r al-Sarraj.
Selain dari doktrin yang dianggap tidak bertentang dengan Islam, terdapat berbagai-bagai doktrin yang bertentang dengan Islam. Antaranya.
Pendapat yang tidak menerima wujudnya akhirat. Kepercayaan ini mempercayai hidup setakat di dunia ini sahaja. Pendapat ini wujud sejak lama. Ayat Al-Qur`an menyebut bermaksud:
``Dan mereka itu (orang-orang musyrikin) berkata bahawa kehidupan adalah setakat di dunia dan kita tidak akan dibangkitan.`` (Al-Ma`idah: 29).
Di dalam ayat di atas Allah menceritakan sikap orang-orang kafir yang menentang dakwah Nabi Muhammad s.a.w. sejak di Makkah. Mereka melahirkan penentangan mereka dengan menentang pendapat Islam yang akhirat akan tiba dan manusia akan dibangkitkan.
Pegangan sepert  ini bukan saja wujud pada zaman lepas tetapi masih wujud dan menjadi pegangan bagi setengah yang  tidak mempercayai akhirat hingga kini.
Antara doktrin yang bercanggah dengan Islam, ialah `Doktrin Ittihad`, ianya sebalik dari hulul. Doktrin hulul ialah mempercayai Tuhun turun menjelmakan dirinya di dalam makhluk, khususnya manusia sebagaimana telah dibicarakan. Sebaliknya ittihad ialah hamba, khususnya manusia yang meningkat dirinya kepada pihak tertinggi (Tuhan). Dianya bersatu dengan Tuhan dan menganggap dirinya sebagai Tuhan. Kekeliruan mungkin timbul ada yang menganggap sufi yang meningkat kualiti diri dan mencintai Allah bersatu dengan Tuhan. Jika ada kepercayaan seperti ini adalah bertentang dengan akidah Islam. Manusia atau hamba tidak mungkin meningkat dan bersatu dengan Tuhan, walau dengan apa cara sekalipun. Ungkapan-ungkapan yang mungkin termaksud ke arah itu adalah dari rasa wajdan, intuisi dan kemesraan semata-mata. Dan seharusnya tidak timbul ungkapan-ungkapan yang boleh mengelirukan.
Selain dari doktrin di atas, terdapat doktrin yang dikenali sebagai `Wahdat al-wujud`, bermaksud yang ada hanya satu yang wujud, manakala yang lain dari segi hakikatnya tidak wujud. Doktrin ini dinisbahkan kepada Muhyi al-Din Ibn `Arabi (m.1240M.). Segala yang wujud adalah bayang-bayang bagi yang hakiki. Doktrin ini banyak menimbulkan permasalahan dari segi hukum dan keakhlakan.Umumnya menolak falsafah sedemikian, kerana ia bercanggah dengan Islam.
Selain daripada itu terdapat doktrin `Serba Tuhan`, bahawa alam dan apa yang wujud di dalamnya  ini adalah `a part and parcel` daripada Tuhan. Wujudnya, walaupun akan berlaku kerosajkan adalah berterusan. Kepercayaan sedemikian juga banyak menimbulkan kekacauan antara Tuhan dan yang dipertuhankan, antara kuasa dan yang berkuasa.  Juga tidak dapat ditegakkan dari segi peraturan, hukum, nilai dan keakhlakan.
Tentulah apa yang kita bicarakan di atas merupakan sebahagian dari kepercayaan yang bercanggah dengan Islam. Sudah pasti banyak lagi kepercayaan-kepercayaan yang wujud yang bercanggah dengan Islam.

Sekian.

October 20, 2017

DOKTRIN HULULIYYAH


BBB, 29 Muharram 1439H. = 19 Oktober 2017M. (Khamis):
Doktrin Hululiyyah (Penjelmaan atau Inkarnasi) adalah dinisbahkan kepada Husain bin Mansur al-Hallaj dan pengikut-pengikutnya. Kunyahnya Abu al-Mughith. Dia berasal dari Baydha`, Parsi. Dia terdidik di Wasit* dan Iraq. Dia bersahabat dengan Al-Junayd, Abi al-Husain al-Nuri, `Umar al-Makki dan al-Fut*i  dan lain-lain.
Dari segi doktrin, bahawa Al-Hallaj membawa  `Doktrin  al-Hulul` , dalam mana pihak Tertinggi (Tuhan) boleh turun menjelma di dalam makhluk, terutamanya manusia. Perbahasan penjelmaan ini ada berkaitan dengan roh sebagai mekanisma penjelmaan. Dan soal roh ini diperbahaskan adakah abadi  atau makhluk. Hujjah yang dipegang berkait dengan firman Allah bermaksud:
`` Engkau ya Muhammad akan ditanya berhubung dengan roh, katakanlah roh adalah dari perkara Tuhanku.`` (Al-Isra`: 85).
Dipersoalkan apakah roh itu kekal atau baharu.
Jika dikatakan kekal, maka ada yang kekal lebih dari satu. Jika berlaku penerunan ertinya lebih dari satu. Ianya tidak mungkin.
Dan dari segi akidah, tidak mungkin Yang Kekal turun menjelma di dalam yang baharu.
Antara kata-kata Al-Hallaj yang dipersoalkan,  ``Bahawa Al-Hallaj masuk ke Makkah dan menemui `Amrin bin `Uthman, seorang pemuda menayakan Al-Hallaj, ``Dari mana ?``Maka berkata Al-Hallaj, ``Kalaulah penglihatan engkau dengan Allah, nescaya engkau melihat tiap-tiap suatu pada tempatNya dan adalah Allah melihat tiap-tiap sesuatu.`` Kata-kata ini amat tidak disenangi oleh `Amru Ibn `Uthman. Dia tidak bersamanya lagi.
Begitu juga  pada satu hari Al-Hallaj masuk ke Is*fahan, dia diterima oleh `Ali bin Sahl. Ali bersama Al-Hallaj bercakap tentang ma`rifah. Maka berkata Husain bin Mansur (Al-Hallaj),
``Wahai Sufi, ``Engkau bercakap tentang ma`rifat sedangkan aku hidup !
Maka berkata `Ali bin Sahl, ``Ini  adalah zindiq. Lantas orang ramai berhimpun dan mengeluarkannya.
Dan beberapa contoh yang lain (Jamharat al-Awliya` Jil 2,,1387H.’1967: 165).
Dengan berbagai-bagai bukti kezindiqannya dia telah dihukum bunuh pada zaman Khalifah Ja`far bin al-Mu`tadhid  pada tahun  309H.
Dengan pegangan Husain bin Mansur yang memberi  makna Hulul, pegangannya ditolak oleh kebanyakan shaykh sufi. Mereka tidak menerimanya  sebagai sufi. Namun menurut Al-Sulami di dalam Tabaqat al-Sufiyyah antara sufi menerimanya  seperti Abu al-Abbas bin `At*a`, Abu `Abdullah Muhammad Khafif, Abu al-Qasim  Ibrahim bin Muhammad  al-Nas*r Abadzi. Mereka memujinya, sehingga Muhammad bin Khafif mengatakan, ``Al-Husain bin Mansur `alim Rabbani``. Menurut Al-Hujwiri  Al-Hallaj mempunyai pengikut yang memperkembangkan doktrinnya seperti Faris dan Abu Ja`far Shaydalani dan Abu Hulman  yang masing-masing mempunyai pengikut-pengikut.
Antara kata-kata Al-Hallaj yang dihimpun oleh Al-Sulami.
Aku mendengar `Abdul Wahid bin Bakar berkata, aku mendengar Ahmad bin Faris berkata, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Dilindungi dengan nama, maka mereka itu hidup, kalau dizahirkan kepada mereka itu ilmu-ilmu qudrat nescaya luluh-cair mereka, kalau dibukakan kepada mereka hijab tentang hakikat nescaya mereka mati.``
Katanya, dan adalah Al-Hallaj berkata, ``Ilahi, Engkau mengetahui kelemahanku daripada berbagai tempat kesyukuranku kepada Engkau, maka bersyukurlah akan diri Engkau daripadaku, kerana syukur tidak ada yang lain.``
Katanya berkata Al-Hallaj, ``Siapa yang memerhati pekerjaan dilindung daripada yang kena amal baginya dan siapa yang memerhati yang kena amal baginya, terlindung daripada melihat amalan.``
Aku mendengar `Abdul Wahid berkata, aku mendengar Ahmad bin Faris berkata, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Nama-nama Allah Ta`ala  daripada sekira-kira dapatan tentang nama dan daripada sekira-kira haqq ialah hakikat.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain berkata, ``Lintasan haqq ialah yang tidak menghalanginya sesuatu.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain berkata, ``Apabila diberi kepada manusia maqam ma`rifat Allah mewahyukan kepadanya lintasan-lintasan baginya dan dijaga rahsianya hingga tidak dimasuki lintasan yang tidak benar.``
Katanya aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Al-Haqq dialah menjadi maksud kepadanya dengan beribadat, dan maksud kepadanya ialah dengan taat, tidak disaksi dengan yang lain dan tidak didapati selainnya dengan menjaga berdirinya sifat-sifat dan dengan semuanbya didsapati kerehatan.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Siapa yang dimabuki oleh cahaya tauhid, terlindung daripadanya ibarat tajrid,  bahkan siapa yang dimabukkan oleh cahaya tajrid, dia bertcakap daripada hakikat tauhid, kerana kemabukan  dialah bercakap dengan sesuatu yang tersembunyi.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Siapa yang mencari kebenaran dengan nur iman adalah seumpama orang menuntut matahari dengan cahaya planet-planet.``
Demikian antara ungkapan Al-Husain bin Mansur yang kontroversi dari segi tasawuf. Kebanyakan kalangan sufi menolaknya, namun ada yang mempertahankannya.

Sekian.

October 19, 2017

DOKTRIN SAYYARIYYAH

 BBB, 28 Muharram 1439H. =  18 Oktober 2017M. (Rabu):
Doktrin Sayyariyyah dinisbbahkan kepada pengikut-pengikut Abu al-`Abbas al-Sayyari yang namanya Al-Qasim bin al-Qasim bin Mahdi ibn Bint Ahmad bin Sayyar.
Dia adalah berasal dari Marwi dan shaykh bagi mereka itu. Dan dia adalah jurucakap mereka itu tentang hakikat ahwal. Dia bersahabat dengan Abi Bakr Muhammad bin Musa al-Farghani al-Wasit*i dan kepadanya dinisbahkan ilmu-ilmu bagi golongan  ini.  Dia adalah sebaik-baik jurucakap pada waktunya. Dia bercakap tentang ilmu tauhid menurut Ahl al-Sunnah. Dia juga mendalam dalam ilmu fiqh. Dia menyalin Hadith dan meriwayatkannya. Dia meninggal tahun 342H.
Dari segi doktrin Abu al-`Abbas al-Sayyari mengemukakan Doktrin `Jama` dan Tafriq` bermaksud `Menghimpun dan Memecahkan.``
Jama` juga memberi makna ``Pertambahan dan berkeselarasan` ` dan tafriq ` bereti `Pecah dan Perbedaan.``
Doktrin ini bergantung dengan angka, jumlah dan bilangan dan juga disebut dengan ilmu.
Konsep jama` lebih bermaksud kepada perkara yang baik. Misalnya  sesuatu pendapat yang benar, adalah semakin kukuh dengan ramai dan samanya pendapat dan ianya makin berkembang. Ini dapat dicontahi dari konsep `Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah`. Asas dan pendapat benar Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah` didukung ramai oleh pendukung semasa, tetapi kebenaran dan kebaikannya terus diolah dan berkembang berterusan dan secara jama` ianya terus hidup dan berkembang. Kebenaran ini ditegak oleh ilmu yang memperkembang dan yang mendukungnya.
Adapun `tafriq` yang bermaksud, pemecahan, penyimpangan, kelainan terjadi sebalik dari jama`. Penyimpangan terus berlaku, antaranya dalam batas kawalan, maksudnya dikawal oleh ilmu yang membendungnya jika bersifat menyeleweng dan jika betul, ianya boleh diterima. Ini antara maksud dalam setengah hal, ikhtilaf sebagai rahmat. Namun maksud tafriq di sini lebih kepada pentyelewengan. Tafriq pada dasarnya sesuatu yang makin mengecil, lantaran ia adalah sebahagian yang pada awalnya jama`. Penyimpangan yang menyeleweng akan ditentang dengan ilmu oleh pihak jama` sehingga akhirnya ia pupus dan ditolak. Jadi pada hakikatnya proses jama` dan tafriq ini berterusan berlaku. Yang benar terus hidup dipertahan dan diperkembangkan, manakala yang bersifat tafriq ditentang dan dibasmikan melalui ilmu.
Antara pendapat  Abu al-`Abbas al-Sayyari:
Berkata Abu al-`Abbas, bahawa hakikat ma`rifat ialah tidak terlintas di hati selain daripadaNya.
Berkata Abu al-`Abbas,  ``Siapa mengenal Allah tunduklah kepadaNya segala sesuatu, kerana Dialah yang menjaga dan memiliki semua.``
Berkata Abu  al-`Abbas, ``Tidak bercakap seseorang tentang `Al-Haqq`, melainkan sesuatu yang sebelumnya terlindung.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Siapa yang dsipelihara hatinya bersama Allah tentang kebenaran, maka mengalirlah dari hatinya hikmat-hikmat kalam.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Al-Khat*rah (lintasan) bagi para anbiya`, dan al-waswasah bagi awliya, dan al-fikrah bagi awam dan azam bagi pemuda.``
Disoal Abu al-`Abbas  firman Allah bermaksud: ``Dia melazimkan mereka itu dengan kalimah taqwa dan merekalah berhak dengannya dan ahlinya`` (Al-Fath*: 28).
 Maka katanya, merekalah ahli sejak azali dengan taqwa, maka zahir pada  mereka pada waktu itu kalimah iman dan ikhlas.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Tidak istiqamah iman seorang hamba sehingga dia sabar dengan kehinaan seperti dia sabar di atas kebaikan.
Didengar `Abdul Wahid bin `Ali berkata, `` barkata Abu al-`Abbas, ``Al-Rububiyyah meluluskan  perkara, kemahuan, taqdir dan qadhiyyah dan Al-`Ubudiyyah ialah mengetahui yang disembah dan menunaikan apa yang dijanjikan.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Pakaian hidayah bagi am, pakaian haibat bagi `arifin, pakaian hiasan bagi ahli dunia, pakaian pertemuan bagi para awliya` dan pakaian taqwa bagi ahli al-hudhur. Firman Allah Ta`ala bermaksud, ``Dan palaian taqwa yang sedemikian lebih baik``. (Al-A`raf: 26)
Berkata Abu al-`Abbas,  dikatakan bagi setengah hukama`, ``Dari mana sumber kehidupan engkau ? Katanya, ``Daripada orang sempit kehidupan diberi kepada yang dikehendaki tanpa `illah dan Dia meluaskan kepada sesiapa yang dikehendaki tanpa `illah.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Siapa yang teliti pandangan tentang perkara agamanya Allah meluaskan jalan baginya, siapa yang meluaskan pandangan pada perkara agamanya disempitkan jalan pada waktunya, siapa yang cuai hak-haknya terhadap hak Allah dia menerima  kesusahan dan akibat.
Dan berkata Abu al-`Abbas al-Sayyari,
``Tidaklah Allah Ta`ala menzahirkan sesuatu, melainkan sesuatu yang tersembunyi dan Dia melindungi keburukan sesuatu daripada sesuatu hingga tidak sama dua makluman dan tidak dua ma`rifat dan tidak dua qudrat.``
Demikian pendapat Abu al-`Abbas al-Sayyari yang dapat direnungi.

Sekian.

October 18, 2017

DOKTRIN KHAFIFIYYAH - KEHADHIRAN DAN KETIDAKHADHIRAN


BBB, 27 Muharram 1439H. = 17 Oktober 2017M. (Selasa):
Doktrin Khafifiyyah adalah dinisbahkan kepada pengikut-pengikut Abu `Abdullah bin Khafif yang namanya ialah Muhammad bin Khafif bin Ispakshad  al-S*abba di muqim Shiraz. Ibunya dari Naisaburiyyah. Dia diibaratkan sebagai shaykh kalangan shaykh-shaykh pada masanya.
Dia bersahabat dengan Ruym dan Al-Jariri dan Abu al-`Abbas bin `At*a`, dan Tahir al-Maqdisi  dan Abu `Amrin al-Dimashqi. Berkesempatan bertemu dengan Al-Husain bin Mansur. Dia alim di dalam ilmu zahir dan ilmu haqiqat. Dia mengarang berbagai risalah di dalam berbagai cabang ilmu tasawuf. Pendeknya dia shaykh tunggal pada masanya dari segi hal, ilmu dan akhlak. Dia meninggal tahun 371H.
Gambaran yang diberi terhadap Abdullah al-Khafif jauh berlainan dari Al-Hujwiri yang tidak munasabah sebagai watak sufi. Dia seolah-olah  sebagai watak di dalam cerita Seribu Satu Malam. Dikatakan dia adalah berketurunan raja dan berkahwin dengan 400 perempuan. Kemudian terlibat dalam tasawuf dan bertaubat.
Doktrinnya ialah tentang konsep kehadhiran dan ketidakhadhiran.
Maksud hadhir ialah kerinduan hati kepada Tuhan antara kesampaian dan ketidaksampaian. Menurutnya ketidakhadhiran  adalah dalam menuju kehadhiran dan akhirnya antara kehadhiran  dan ketidakhadhiran adalah sama.
Kehadhiran dan ketidakhadhiran adalah merupkan hal dalam perjalanan kualiti dalam menuju Ilahi. Ianya bersifat maknawi dan bukan hakiki dari segi kehadhiran. Ianya adalah merupakan pengalaman bersifat rohani bersifat intuitif, wujdan dan kehambaan. Apa yang disifatkan kehadhiran dan ketidakhadhiran adalah nisbi, relatif dan bukan hakikli sama ada hadhir atau tidakhadhir. Akidah Sunni membataskan antara hamba dan Tuhan, bahawa tidak mungkin kehambaan walaupun dengan apa kaedah dikatakan  bersama,  apalagi bersatu dengan Tuhan.
Antara ungkapan-ungkapan  Abu `Abdullah Muhammad bin Khafif yang dicatat oleh Al-Sulami di dalam Tabaqat al-Sufiyyah, amtaranya:
Mengkhabarkan kami Muhammad bin Khafif sebagai menurunkan ijazah, bahawasanya dia disoal tentang tasawuf, maka katanya:
``Membersih hati  dari sifat keinsanan (yang keji), memisahkan dari tabiat keji, memadamkan sifat keji kemanusiaan, menjauhi dakwaan-dakwaan diri, meningkatkan sifat-sifat kerohanian,  cenderung dengan ilmu-ilmu yang bersifat hakikat dan mengikut Rasulullah s.a.w. dari segi shari`ah.
Berkata Muhammad bin Khafif, ``Kemabukan jiwa, ialah gelora hati di dalam suasana dzikir kepada Allah.``
Dan berkata Muhammad bin Khafif, ``Iman ialah membenarkan hati daripada apa yang diberitahu tentang haqq berhubung dengan perkara-perkara ghaib.``
Berkata Muihammad bin Khafif, ``Takut  ialah kegoncangan hati mengetahui tentang kekuasaan yang disembah.``
Berkata Muhammad bin Khafif, ``Taqwa ialah menjauhi apa yang menjauhkan engkau dari Allah Subhanahu wa Ta`ala.``
Berkata Muhammad bin Khafif, ``Tawakkal ialah memadai dengan jaminanNya dan menggugurkan tohmah tentang qadha`Nya.``
Dan berkata Abu `Abdullah Muhammad bin Khafif, ``Hakikat iradat ialah berterusan usaha dan meninggalkan rehat.``
Dan berkata Abu `Abdullah.  ``Tuntutan berbagai-bagai.
Maka tuntutan iman, apa yang menunjukkan engkau kepadanya dengan tas*diq yang benar dari janji baik dan janji jahat.
Dan tuntutan ilmu apa yang menerangkan kepada engkau hukum-hukumnya, maka zahirlah dalil-dalilnya.
Dan tuntutan kebenaran dengan menggunakannya.
Dan tuntutan yang hak ialah apa nyata tentang kenyataan dan engkau cenderung mempertahankannya.``
Disoal  Abu `Abdullah Muhammad bin Khafif daripada kedekatan, Kedekatan engkau kepadaNya dengan melazimkan muwafakat dan kedekatanNya kepada engka u dengan berterusan taufik.``
Dan berkata Abu `Abdullah, ``Yang sampai ialah siapa yang berhubung dengan yang dikasihinya, tanpa yang lain daripadanya. Yakni ghaib yang lain dariNya.``
Dan berkata Abu `Abdullah, ``Rindu ialah yang terbakar di dalam ingatan dan tertegah dari pengaduan.``
Dan berkata Abu `Abdullah, ``Himmah tarikan penyaksian yang mendorong pergi ke arahnya.``
Ungkapan-ungkapan pada bahagian akhir membayangkan maksud dari apa yang diistilahkan sebagai `Kehadhiran dan ketidakhadhiran`  itu yang membayangkan apa yang dianggap kehadhiran adalah dari segi  intuitif  dan  wajdan dan bukan dari segi hakikat sebenarnya, lantaran itu dikatakan pada peringkat tertinggi kehadhiran dan ketidakhadhiran adalah bersamaan.


Sekian.