August 15, 2018

FOKUS DAN TUJUAN KOMUNIKASI MASJID


FOKUS DAN TUJUAN KOMUNIKASI MASJID
BBB, 02 Zulhijjah 1439H. = 14 Ogos 2018M. (Selasa):
Setelah membincangkan konsep komuniukasi masjid secara khusus dari segi khutbah dan ceramah dan  secara luas yang melibatkan pentadbiran, pegawai-pegawai masjid dan guru-guru yang mengajar berbagai pelajaran, timbul pertanyaan apakah fokus dan tujuan semua yang dilakukan ?
Semua yang dibicarakan tidak lain dari berfokus kepada jama`ah yang lebih luas tidak lain dari mesyarakat umat itu sendiri.
Masjid adalah institusi umat dan masyarakat. Merekalah yang mendirikan masjid. Masjid didirikan bukan sekadar lambang ianya penanda bahawa peduduk setempat sempurna dari segi kependudukan sebagai sebuah kariah, pekan atau bandar. Jika demikian ia mungkin menjadi bangunan, walaupun indah tetapi adalah sebuah kekosongan  yang tidak seharusnya mendukung nama dan imej sebagai sebuah masjid. Masjid adalah sebuah bangunan yang merupakan alat dan infra-struktur yang digunakan bagi mengimarahkan umat dan masyarakat setempat. Konsep `imarah hendaklah dilihat dalam maknanya yang luas. Konsep `imarah bermaksud ma`mur, pembinaan, pembangunan, bahkan peradaban dan tamadun bagi masyarakat. Inilah merupakan fokus dan tujuan bagi komunikasi dari masjid yang dituju tidak lain dari `insan` atau manusia, umat dan masyarakat. Bertujuan bagi mengangkatkan martabat manusia dengan bantuan berbagai infra-struktur  bagi peningkatan kepada darajat. Contoh ketara dari sejarah yang telah berlaku, bagaimana fungsi masjid yang telah didirikan oleh Rasulullah s.a.w. di Madinah yang dapat meningkatkan umat Islam kepada  darajat dari segi ibadat, pembelajaran, pentadbiran dan kemasyarakatan, sehingga masjid Madinah dilihat sebagai pusat segala kegiatan bagi meningkatkan umat Islam kepada umat yang mentadbir, memerintah dan metadbir sebuah negara yang asalnya bernama yathrib kepada sebuah negara kota yang dikenali dengan Madinah.
Masjid bagi sebuah masyarakat umat adalah sebagai pusat bagi pendidikan dan pembangunan umat sejak dari anak-anak membawa kepada remaja dan dewasa.
Masjid dilihat di dalam konteks Bandar Baru Bangi, walaupun tidak dapat dilihat sebagai pusat `Imran`  bagi peradaban bangsa dan umat sebagai masjid di Madinah pada peringkat awal pembangunan dan umran umat, tetapi dari segi fungsinya adalah merangkumi dari segi inspirasi, semangat dan tujuan. Masjid Al-Umm kini  menjadi institusi masyarakat yang dikunjungi oleh semua kalangan masyarakat. Ianya menjadi tempat kehadiran anak-anak dari sekolah rendah dan menengah. Dilihat secara sepintas lalu anak-anak ini datang  ke masjid sebagai tempat  transit dan berihat sebelum memasuki kelas pada sesi pagi dan sesi petang, tetapi kini mereka telah dididik turut sama beribadat dan solat waktu bila tiba masa. Sebahagian daripada mereka duduk-duduk di berbagai ruang mengkaji pelajaran dan berdiskusi sesama mereka. Antara mereka dibimbing  oleh pembimbing-pembimbing mempelajari Al-Qur`an. Kini ruang legar masjid dijadikan tempat guru membimbing pelajaran murid-murid dan pelajar-pelajar mereka. Kini waktu-waktu solat seperti zohor dan asar dipenuhi oleh mereka di samping jama`ah biasa. Masjid sebagai tempat membimbing generasi muda mendekati masjid dapat dicapai, Cuma dari segi penggunaan ruang dan pengisian mungkin dapat diperbaiki dan dipertingkatkan. Perlu kepada perbincangan bagi pendekatan.
Fokus dan tujuan komunikasi masjid terhadap golongan generasi ibu bapa dan orang tua, sebagaimana telah dibincangkan berlaku bukan saja melalui ibadat solat setiap waktu, tetapi pengisian dengan berbagai pengajian pada waktu maghrib hingga Isya`, tazkirah waktu subuh dan bimbingan  dan berbagai pengajian pada waktu siang ialah bagi memenuhi  masjid sebagai pusat ibadat dan pengajian. Segala kegiatan yang dilakukan adalah bagi meningkatkan keilmuan di kalangan jama`ah. Dengan demikian mereka bukan saja dapat menambahkan keilmuan yang bersifat agama, tetapi meningkatkan kualiti ibadat dengan peningkatan keilmuan yang dipelajari.
Sebenarnya pengisian pengajian kepada jama`ah Masjid Al-Umm adalah lebih mencabar. Mereka adalah dari  kalangan masyarakat yang berada di Bangi Bandar Ilmu, tarap pendidikan dan ekspektasi pengajian yang diberi harus bersesuaian dengan mereka yang dianggap dari kalangan intelektual. Cabaran ini dihadapi terutama dari kalangan guru-guru yang mengajar yang seharusnya memyampaikan pengajaran yang sesuai bagi taraf keilmuan dan kebolehan mereka di dalam berbagai-bagai bidang keilmuan. Bukan setakat itu kalangan mereka terutama dari kalangan muslimat terkenal sebagai mereka yang rajin belajar. Mereka mahir di dalam bidang keilmuan yang dipelajari dan mendalam dari segi keimuan tajwid dan bacaan Al-Qur`an. Mereka yang menjadi imam perlu baik dari segi pembacaan hingga kalau dapat tidak keluar kritikan tentang kelemahan imam, dari segi bacaan. Sebagai mereka yang rajin belajar guru-guru juga seharusnya berhati-hati dalam pengajaran sehingga tidak menimbulkan kritikan, Sesungguhnya ada guru yang terpaksa menarik diri bila menyedari mereka tidak disenangi dari segi pengajaran. Dari satu segi suasana ini adalah baik, kerana ia mengingatkan kepada merekla yang terlibat berhati-hati dalam pengajaran dan juga dari segi ibadat dan bacaan. Perkara ini juga menjadi cabaran kepada pentadbir yang menjalankan tadbiran seharusnya dapat memenuhi piawan yang diharap oleh jama`ah yang  sekaligus sebenarnya menuntut satu piawan yang tinggi bagi Masjid Al-Umm di dalam barbagai bidang agar ianya menjadi masjid yang sesuai berada di Bangi Bandar Ilmu yang menjunjung keunggulkan ilmu.
Sekian.

1 comment:

  1. tahniah dr. telah lama saya mencari nukilan sebegini oleh ilmuan semalaya...jujurnya jalan dakwah yang murah, bersahaja dan simple hanya melalui musolla

    ReplyDelete