MASJID BUKAN UNTUK ORANG TUA SAHAJA
BBB, 15 Zulhijjah 1439H. = 27 Ogos 2018M.
(Isnin):
Adalah menjadi tanggapan umum dan menjadi realiti bagi setengah masjid yang
seolah-olah masjid sebahagian besar
pengunjung atau yang menjadi para
jama`ah adalah terdiri dari kalangan orang tua – yang sebahagian daripada
mereka adalah orang yang telah bersara
dan tiada aktiviti tetap, lantaran itu mereka hadir menjadi jama`ah masjid.
Kalangan yang berpencen dan yang lanjut usia yang hadir ke masjid bagi memenuhi
masa lapang sementara sebelum meninggal yang tempohnya semakin mendekat.
Pandangan ini jika sebahagiannya benar, perlu dirubah dan ditambah.
Dalam konsep Takmilah antara `Ilmu Dan
`Amal` wujud konsep `Keseimbangan`
seperti antara ilmu sebagai mengetahui sesuatu, maka dengan ilmu itu dia dapat
melakukan sesuatu amal itu dengan betul dan menepati apa yang diketahui melalui
ilmu berkenaan. Dengan demikian ilmu yang dipelajari dapat dipraktik dan
dimanfaatkan dan kualiti amalan adalah meningkat.
Konsep keseimbangan juga perlu bagi semua
mereka yang hadir ke masjid. Yang hadir tidak semata-mata dari kalangan orang tua.
Masjid adalah institusi ummah dan masyarakat. Ianya adalah mempunyai tempat
dari anak kecil, anak sekolah rendah, sekolah menengah, para remaja – lelaki
dan perempuan, ibu bapa, para pekerja dari yang biasa membawalah kepada
professional, orang awam membawalah kepada pemimpin, ahli dan pemimpin
persatuan dan NGO, guru, `ulama`, imam hinggalah kepada kalangan berumur dan orang-orang tua.
Soalnya bagaimana masjid dari segi Takmilah
keseimbangan dapat memberi tempat dan ruang kepada semua kategori masyarakat
dan penduduk yang diperkatakan di atas dan soalnya juga bagaimana seharusnya
semua kategori umat dan masyarakat di atas mengambil peluang dan ruang
berpartipisati di dalam mengimarahkan masjid. Perlu ada daya menggerakkan
secara bertimbalbalik.
Fungsi Masjid terhadap umat dan mesyarakat,
bukanlah sesuatu yang baru, ianya lebih merupakan kembali kepada fungsi asal
masjid. Menelusuri sejarah dan fungsi masjid dapat ditelusuri kepada sejak
permulaan masjid didirikan di dalam Islam.
Masjid Quba`, lebih-lebih lagi Masjid Madinah yang dikenali dengan Masjid
Nabawi, maka fungsi Masjid Madinah ini mempunyai fungsi yang luas.
Masjid Madinah adalah Pusat Ibadat, Pusat
Pendidikan, Pusat Da`wah, Pusat Pentadbiran, Pusat Kebajikan, Pusat Kaunseling,
Pusat Pertahanan dan Pusat
Kemasyarakatan.
Dalam kata lain masjid pada zaman Rasulullah
s.a.w. bukan sebagai tempat solat dan beribadat semata-mata, tetapi pusat bagi
kepelbagaian tujuan membina masyarakat
dan negara Islam yang pertama – Negara Madinah.
Memanglah diakui dalam konteks zaman kini,
kepelbagaian fungsi di atas dipisah dan mempunyai
bahagian yang berasing dari masjid, misalnya soal pentadbiran negara dan
pertahanan negara mempunyai bahagian khusus di dalam pentadbiran negara, begitu
juga dengan pertahanan negara. Tetapi masjid tetap mempunyai fungsi penting dan
dominan dalam hubungannya dengan umat dan masyarakat, bahkan sehingga masa kini
dan terkini. Masjid masih menjadi pusat yang dapat dilibatkan semua lapisan
masyarakat.
Soalnya bagaimanakah pendekatan dan penyusunan yang dapat
melibatkan umat dan masyarakat.
Berinspirasi sirah dan sejarah umat Islam dan kekinian
masjid, khususnya Masjid Al-Umm
hendaklah berfungsi sebagai institusi yang menjangkau seluas mungkin bidang
pendidikan, pengibadatan, da`wah, kaunseling dan bimbingan, kebajikan dan
kemasyarakatan. Ianya hendaklah melibatkan semua kategori dan lapisan
masyarakat sebagaimana telah dibincangkan.
Bagi melibatkan semua pihak perlu ada
persediaan dan pendekatan yang releven yang menarik, meyenang bahkan
menggembirakan pihak berkenaan. Sebagaimana orang tua disediakan di masjid
misalnya ilmu-ilmu yang dapat membetul dan mendekatkan diri dengan Allah,
demikian dengan pihak-pihak yang lain.
Misalnya bagi Anak sekolah selain dari pendidikan dan amalan agama, disediakan
bimbingan dan kelas tuisyen, juga kegiatan bersifat kreasi dan sukan. Bagi
golongan remaja diadaklan kursus-kursus yang bersifat kerjaya dan bimbingan
serta kerja-kerja yang bersifat gotong royong dan kebajikan.
Bagi golongan ibu dan suri rumah tangga diberi
kursus yang berhubung dengan ekonomi dan rumah tangga, konsep keluarga bahagia,
manakala bagi golongan dewasa ditambah dengan keilmuan yang meningkatkan kerjaya mereka sebagai
mereka yang berjaya. Masjid juga perlu dan sering mengadakan kegiatan
kemasyarakatan yang menarik semua seperti Hari Keluarga, Hari Ilmu, sambutan
berbagai-bagai hari perayaan yang melibatkan semua dan berbagai kegiatan
kemasyarakatan yang lain.
Perkara yang penting yang perlu difikirkan,
bagaimana mendapat tenaga bagi menyusun semua
pengajian,pendekatan, penyusunan kursus, bimbingan dan berbagai aktiviti yang hendak
dilaksanakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment