KHUTBAH KOMUNIKASI WAJIB DI MASJID
BBB, 25 Zulkaedah 1439H. = 08 Ogos 2018M.
(Rabu):
Penulis kertaskerja `Komunikasi Masjid: Satu Penilaian` oleh profesor Dr. Mohd. Yusof
Hussain di dalam kertaskerjanya memberi penekanan tentang `Komunikasi Masjid`
ialah terhadap `Khutbah` yang menjadi syarat
sah bagi mendirikan Juma`at. Khutbah adalah disampaikan kepada jama`ah pada
setiap hari Juma`at. Ini bererti khutbah seharusnya didengar oleh setiap yang
datang bersolat Juma`1at pada hari
Juma`at. Jama`ah adalah diberi ingatan
oleh Bilal sebelum khatib menyampaikan khutbah supaya semua jama`ah memberi
perhatian terhadap khutbah dengan menyebut sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan
oleh Abu Hurairah r.a. bermaksud:
``Apabila engkau mengatakan kepada sahabat
engkau, sedang khatib sedang berkhutbah ``Diam !` sekalipun, maka laghalah (hilang)
pahala Juma`at.``
Ini menunjukkan betapa pentingnya khutbah,
tanpanya tidak sah Juma`at, yang mencuai
dari memberi perhatian dengan bercakap
menghilang pahala dan sia-sia solat Juma`at.
Ini memberi erti konsentrasi jama`ah
dikehendaki dan memahaminya adalah
dituntut. Ia juga bererti bahawa khutbah adalah saluran menyampaikan maklumat,
pengajaran dan nasihat adalah penting.
Khutbah adalah tradisi komunikasi penting di
dalam masyarakat `Arab sebelum Islam lagi. Dua medium penting sebelum Islam bagi orang
`Arab dan menjadi khazanah peradaban dan sastera ialah, khutbah dan berpuisi.
Khutbah yang menjadi fokus pembicaraan biasanya disampaikan oleh pemimpin `Arab
bagi peristiwa-peristiwa penting. Khutbah-khutbah yang penting, sebagaimana
puisi dihafal dan diwarisi oleh generasi.
Elemen tradisi yang baik ini diwarisi di dalam Islam, Khutbah menjadi
salah satu warisan tradisi budaya dan keilmuan di dalam Islam seperti khutbah
Rasulullah s.a.w, pada Hari `Arafah dan khutbah pada Hajjatul Wada`. Namun
penerimaan khutbah yang wujud pada zaman sebelum Islam diterima dan diwarisi
dengan pengubahsuaian dengan ciri-ciri keislaman. Misalnya di dalam khutbah
selain dari mesej yang hendak disampaikan yang harus menjadi fokus pendengaran
jama`ah, di dalam khutbah diwajibkan menyertakan didikan, iaitu menyebut perkara-perkara
yang menjadi rukun khutbah iaitu:
1) Memuji Allah
2) Bersolawat kepada Rasulullah
3) Membaca petikan dari Al-Qur`an yang biasanya
mencerminkan topik pembicaraan dalam khutbah
4) Bewasiat agar bertakwa kepada Allah
5) Duduk antara dua khutbah
6) Berdo`a
Dalam kata lain dalam meyampaikan mesej
tertentu di dalam khutbah, jama`ah dididik dengan pendidikan keislaman dan
menerima mesej di dalam khutbah berorientasikan Islam. Khutbah pada dasarnya
seharusnya sampai kepada setiap lelaki dari kalangan umat setempat sebagaimana
di tempat-tempat yang lain. Dengan demikian mesej adalah menyeluruh disampaikan
kepada umat pada setiap minggu. Kini komunikasi melalui khutbah adalah lebih
meluas, kerana ianya disalurkan melalui media letronik yang dapat diikuti oleh
berbagai pihak.
Pentingnya khutbah di dalam Islam, konsep
khutbah, bukan saja khutbah yang disampaikan oleh khatib-klhatib melalui mimbar-mimbar
masjid, tetapi juga menjadi sebahagian dar kepegarangan. Bermaksud bagi
mengarang sebuah kitab, maka pada permulaan bagi sebuah karangan seperti kitab secara
tradisi mestilah juga disertai dengan khutbah. Lantaran itu bila kita membaca
permulaan bagi sesebuah karangan kitab, maka pada permulaannya ada aspek
khutbah dan apa yang seharusnya ada di dalam sesebuah khubah sebagaimana telah
disebutkan, bahkan konsep khutbah ini berlaku juga bagi ucapan-ucapan, walaupun
tidak disertai dengan rukun-rukun khutbah sepenuhnya. Biasanya ada pujian
kepada Allah, salawat kepada Rasulullah dan penyebutan ayat-ayat Al-Qur`an.
Lantaran itu dari segi rukun khutbah adalah
bersamaan di mana-mana jua khutbah disampaikan, tetapi mesej yang hendak
disampaikan berbeza mengikut situasi,
isu dan kepentingan setempat. Hal inilah yang mau disampaikan oleh
pembentang di dalam kertas kerja yang akan dibicarakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment