KOMENTAR TERHADAP KERTASKERJA `KOMUNIKASI MASJID` - MASALAH ISTILAH
BBB, 03 Zulhijah 1439H. = 15 Ogos 2018M.
(Khamis):
Kertaskerja yang dibentang oleh Profesor Dr.
Yusof bin Hussain bertajuk ``Komunikasi Masjid: Satu Penilaian` di Bilik
Seminar Masjid Al-Umm pada Sabtu 15
Zulkaedah 1439H. bersamaan 28 Julai 2018 itu diulas oleh Profesor Dr. Mahyuddin
bin Yahaya dari Universiti Islam Sultan Ali (UNISA) Brunei. Profesor Mahyuddin
secara kebetulan pulang bercuti ke Bangi ). Beliau Mantan Pensyarah Sejarah
Islam, di Jabatan Sejarah, UKM) sebelum ke Brunei. Penulis mendekatinya dan
memohon persetujuan darinya untuk mengulas kertaskerja yang yang dibentangkan
oleh Prof. Yusof, al-hamdulillah beliau bersetuju.
Sebelum membuat ulasan beliau membincangkan
dari segi istilah. Beliau meyebut bahawa istilah `Masjid` adalah istilah murni
yang memang terdapat di dalam banyak tempat di dalam Al-Qur`an dan terakam
dalam sejarah. Masjid adalah institusi yang awal diberi tumpuan oleh Rasulullah
s.a.w. apabila Baginda dan sahabat-sahabat berhijrah ke Madinah dengan membina
Masjid Quba` dan Masjid Madinah. Dan institusi masjid menjadi inatitusi yang
penting di dalam pembangunan ummah. Masjid bukan saja sebagai tempat ibadat,
tetapi juga pusat bagi penbdidikan, pentadbiran dan kegiatan kemasyarakatan.
Prof. Mahyuddin bertanya, `Masjid` bererti
`Tempat Sujud`, kalau di dalam bahasa `Arab isim makan, seharusnya disebut
`Masjad`, tetapi di dalam Al-Qur`an dan dalam sirah disebut `Masjid`, mengapa ?
Menurut Profesor Mahyuddin, ini menunjukkan bahawa
`Masjid` adalah nama khas yang bukan saja bermaksud tempat sujud, tetapi
berbagai-bagai kegiatan dilakukan di masjid sebagaimana berlaku dalam sirah dan
tamadun dan peradaban ummah. Ianya membedakan dari semata-mata sebagai isim
makan (Masjad), tetapi nama bagi tempat yang mempunyai konsepsi yang luas
(Masjid).
Dengan menanggapi erti masjid dengan konsepsi
yang luas, menurut Profesor Mahyuddin, membuka ruang yang luas bagi kita
memhami erti masjid dan kaitannya dengan `komunikasi` yang berhubung dengan
`Masjid` dengan erti kata yang luas itu.
Berhubung dengan istilah yang berhubung dengan
masjid juga, Profesor Mahyuddin juga menyatakan ketidaksenangan beliau
berhubung dengan istilah `Sembahyang`, iaitu salah satufungsi dan aktiviti yang
berlaku di masjid.
Menurut Profesor Mahyuddin, jika penggunaan
istilah sembahyang itu digunakan, lantaran pada peringkat permulaan – dalam keadaan
mencari-cari istilah, bolehlah diterima secara sementara.
Menurutnya `Sembahyang` adalah dari istilah
Sanskrit yang merujuk kepada kegiatan:
Sembah
= Menyembah
Yang
= Roh nenek moyang
Jadi di dalam istilah `Sembahyang` bercampur
aduk yang di dalamnya ada unsur, Sanskrit, Hindu-Buddha dan animisma.
Elemen-elemen di atas adalah tidak sesuai
dikekalkan sebagai istilah keislaman.
Sememangnya menurut Profesor Mahyuddin,
istilah `Sembahyang` boleh diguna dan memang diguna sebagai istilah ibadat di
dalam upacara keagamaan dalam agama Hindu dan Buddha dan amalan keagamaan yang
lain.
Beliau menekankan bahawa istilah yang paling
tepat ialah istilah `Solat`. Istilah ini termaktub di dalam Al-Qur`an dan
digunakan di dalam tradisi keilmuan, pengajaran dan amalan ibadat keislaman.
Beliau berharap iatilah `Solat` ini sahaja digunakan di dalam ibadat ibadat
solat.
Istilah ini tidak diterjemahkan kepada kata
yang lain dan tidak ada istilah yang tepat yang menggambarkan ciri ibadat `Solat`
yang melibatkan lahiri dan rohani.
Istlah `Solat` diberi takrif oleh ulama` fiqh sebagai:
``Kata-kata dan perbuatan yang bermula dengan dengan
takbir dan berakhir dengan salam.``
Takrif yang lebih lengkap dengan ditambah
elemen rohani adalah:
`Komunikasi lahiri dan rohani antara hamba
dengan Allah, dengan kata-kata dan perbuatan menurut rukun-rukun bermula dengan takbir dan
berakhir dengan salam.``
Dengan istilah-istilah yang tetap dan tepat memurnikan ibadat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment