KOMUNIKASI
KEPERLUAN KEHIDUPAN
BBB, 19 Zulkaedah 1439H. = 01 Ogos 2018
(Rabu):
Manusia yang hidup bermasyarakat tidak
terkeluar dari berkomunikasi. Komunikasi berlaku misalnya antara seorang dengan
kawannya, dengan keluarga, dengan sama sepelajar, dengan yang sama sekerja,
dengan sama sejama`ah di masjid dan di mana saja. Komunikasi berlaku adalah
menurut normal aturan sosial. Misalnya
komunikasi seorang kawan dengan kawannya mungkin secara santai, ada elemen
gurauan, ketawa, bersahaja dan sebagainya. Komunikasi seorang anak dengan
ibubapa adalah secara hormat dan mesra, manakala komunikasi seorang guru dengan
pelajar adalah dengan cara terus terang, menjelaskan dan mesra. Dan
berbagai-bagai komunikasi yang lain yang antara satu dengan yang lain ada kelainan bergantung misalnya dengan
kedudukan dan taraf sosial, norma dan nilai antara dua hala atau berbagai hala
yang dihadapi atau dialami oleh mereka yang berinteraksi.
Penerapan nilai di dalam berkomunikasi adalah
ditentu dan dipengaruhi oleh taraf, adat, nilai,aturan dan prinsip-prinsip
pegangan keagamaan.
Komunikasi antara sahabat dengan sahabat yang
lain secara spontan, bersahaja, santai, tiada tekanan dan mesra kerana ada
keterbukaan, tiada batas halangan sosial dan jujur di dalam konteks `kawan
benar`.Berlainan dengan komunikasi `Tuan Rumah` dengan orang gaji yang
berstatus sosial berlainan. Tuan rumah mungkin bersifat tegas mengarahkan orang
gaji melakukan sesuatu pekerjaan seperti menggosok, mencuci pinggang mangkuk,
membajai pokok-pokok bunga dan menyiram. Orang gaji yang berstatus sosial lebih
rendah dari Tuan Rumah adalah menghormati Tuan Rumah, akur dengan segala
suruhan dan menyempurnakannya.
Di dalam masyarakat beradat, maksud adat
adalah aturan dan nilai yang baku dan dterima pakai di dalam masyarakat sebagai
aturan dan nilai adat. Misalnya adat
yang mengutamakan anak perempuan dari anak lelaki di dalam pembahagian harta
pesaka, larangan berkahwin sesama sepupu
di dalam adat Perpatih di Negeri Sembilan yang masih dipakai, walaupun dilihat
bercanggah dengan nilai Islam.
Dari segi nilai yang bersifat universal
misalnya anak menghormati ibu bapa dan ibu bapa menzahirkan kasih sayang
terhadap anak-anak dan keluarga, Nilai-nilai sedemikian terlahir di dalam
komunikasi, misalnya seorang anak berlemah lembut bercakap dengan ibu bapa
dengan penuh hormat dan ibu bapa pula berinteraksi dengan penuh kasih sayang.
Adapun
dari segi `aturan` bahkan `undang-undang`, ia adalah bersifat formal kerana
terikat dan perlu mematuhi aturan-aturan yang ditentukan. Misalnya komunikasi
dengan pihak trafik di jalan raya yang mengawal lalulintas. Isyarat-isyarat
yang dilakukan oleh pihak trafik lalulintas perlu difahami dan dipatuhi. Jika
tidak dipatuhi dan bertindak bercanggah dengan aturan boleh berlaklu kemalangan
yang bukan saja terhadap yang tidak mematuhi aturan jalanraya, tetapi juga
terhadap pemandu-pemandu lain dan juga orang ramai. Jika tidakpun berlaku
kemalangan pemandu yang melakukan kesalahan atau tidak mematuhi aturan boleh diambil tindakan dengan dikenakan hukuman
denda dan sebagainya. Dapatlah dikiaskan dengan peraturan-peraturan yang lain
bila berdepan dengan penguatkuasa, maka berlaku pematuhan pada aturan atau
sebaliknya dengan dikenakan hukuman dan sebagainya. Di sini dapat difahami
bahawa komunikasi tidak hanya melalui saluran percakapan, tetapi juga isyarat
atau memahami keadaan situasi tertentu yang memerlukan seorang bersikap dan
bertindak secara tertentu.
Islam adalah `Din` cara hidup dan mati bagi individu dan
masyarakat Islam, baik hubungan sesama Islam dan hubungan dengan bukan Islam.
Konsep komunikasi di dalam Islam dikenali dengan konsep;
Hablun min Allah, dan
Hablun min al-nas,
Iaitu Hubungan dengan Allah seperti ibadat dan
kerohanian yang tidak dibicarakan di sini.
Yang lebih diberi tumpuan di sini, ialah
`Hubungan dengan manusia`. Namun dalam hubungan dengan manusia itu tidak
terpisah dari `Nilai Tertinggi`, kerana
nilai-nilai keislaman adalah menurut hukum dan nilai keislaman sebagaimana
terakam di dalam Al-Qur`an dan Hadith Nabi. Kosep nilai dan hubungan terdapat
di dalam Al-Qur`an. Misalnya hubungan
individu dengan pemerintah, dengan
keluarga dan ibu bapa, hubungan dengan guru, dengan pekerja, sesama kawan dan
hubungan dengan haiwan dan alam terdapat
aturan yang digariskan oleh Islam. Komunikasi Masjid adalah komunikasi
berasaskan nilai Islam yang berhubung
dengan masjid
Sekian.
No comments:
Post a Comment