WIBAWA GURU DALAM MENGIMARAHKAN MASJID
BBB, 30 Zulkaedah 1439H. = 12 Ogos 2018M.
(Ahad):
Selain daripada imam dan pegawai-pegawai
masjid, pengerusi atau nazir merupakan sebagai kalangan penting yang seharusnya berwibawa di dalam
mengimarahkan masjid, guru-guru adalah sama pentingnya berperanan di dalam
mengimarahkan masjid. Masjid sebagaimana dikatakan bukan sahaja sebagai pusat
ibadat, tetapi juga adalah pusat pengajian dan kegiatan kemasyarakatan.
Daya tarikan bagi jama`ah untuk datang
berjama`ah di masjid antaranya, kerana pihak pentadbiran dapat mengendalikan
pentadbiran masjid dengan baik, manakala imam-imam dan pegawai-pegawainya dapat
menjalankan tugas dengan baik – seperti imam-imam yang baik dari segi bacaan
yang menyebabkan jama`ah tertarik untuk datang.
Antara daya tarikan yang kuat ialah dengan
adanya pengajaran-pengajaran yang diatur dengan baik. Maksud diatur dengan baik
oleh pihak pentadbiran, umpamanya pengajian meliputi dengan berbagai pengajian
yang seharusnya diatur di masjid, misalnya ada pengajian-pengajian yang
berhubung dengan Al-Qur`an. Ada pengajian aqidah, fiqh, tasawuf, tafsir , hadith, sirah, ekonom Islam, tahfiz
dan sebagainya. Yang paling penting di dalam pengajian ini, bahawa guru-guru
bukan saja berkelayakan dari segi kelulusan di dalam berbagai-bagai mata
pelajaran yang dianjurkan, tetapi guru-guru bersifat mursyid yang mendalami
ilmu yang diajarkan, tetapi mempunyai kemampuan dan daya tarikan yang
menyebabkan jama`ah ingin datang mengikuti pengajian-pengajian yang
disampaikan.
Bagi pihak pentadbir sememangnya berusaha bagi
mendapat guru-guru terbaik di dalam pengajaran bagi setiap pengajian. Mereka
dipilih berdasarkan prestasi mereka yang sudah dikenali di dalam kalangan
guru-guru. Pihak pentadbir sememangnya inginkan guru-guru terbaik dan inginkan
agar ramai jama`ah yang hadir mengikuti pengajian. Semakin ramai yang datang,
biasanya makin tinggi mendapat sumbangan dari jama`ah yang hadir mengikuti
pengajian.
Sebenarnya pihak pentadbiran yang menganjurkan
pengajian-pengajian kadang-kadang menghadapi dilema. Andainya guru yang datang
mengajar, kurang mendapat sambutan, maka kurang jama`ah dan kurang derma yang
didapati, sedang guru berkenaan terpaksa dibayar menurut rate yang ditentukan.
Jika berterusan ianya menjadi beban bagi pihak masjid. Tetapi dari pegalaman
yang dialami, untuk mendapat guru yang baik dan terkenal di dalam pengajaran,
misalnya di dalam mengajar qira`at Al-Qur`an, maka guru sedemikian mendapat
tawaran untuk mengajar diberbagai-bagai tempat, lantaran itu sukar untuk
mendapat ruang masa yang dapat dihadiri, bagi yang dapat hadir, biasanya tidak
dapat memenuhi jadual sebagaimana diaturkan, bahkan lebih banyak tak datang dari
datang, menyebabkan berlaku kekosongan jadual. Dengan ini tidak menyenangkan
para jama`ah. Satu masalah yang dihadapi berhubung dengan guru terkenal, bahawa
mereka sebenarnya diberi imbuhan oleh pihak masjid tertentu yang kuat dengan
kewangan dengan bayaran tinggi setiap kali datang mengajar. Bagi masjid,
katakan seperti Al-Umm tidak mampu membayar guru-guru terkenal dengan kadar
bayaran yang tinggi dengan secara berterusan. Dari pengalaman mereka yang
sedemikian akan hadir untuk satu dua kali dan selepas itu tidak datang lagi.
Dalam hal ini pihak masjid rela mendapat guru
yang dapat mengekalkan kehadiran menurut jadual yang ditentukan dan mereka
secara ikhlas mengajar dan menerima imbuhan secara sederhana dan bersesuaian.
Dengan keadaan ini masjid dapat menawarkan pengajian secara berterusan megikut
jadual yang diaturkan dan para jama`ah hadir sebagaimana biasa bersolat jamaah
dan mengikuti pengajian secara berterusan. Adalah diharap dengan
pengajian-pengajian yang ada dan diusahakan peningkatan dapat menarik jama`ah
dan mengharapkan pertambahan.
Satu dilema yang dihadapi masjid, selain dari
menyediakan tempat yang selesa, imam yang berwibawa dan pengajaran-pengajaran
yang tetap dan mantap, kesukaran mendapat tambahan jama`ah , ialah kerana
keliling kawasan masjid dan berdekatan terdapat – bagi Masjid al-Umm ada tujuh surau
sekelilingnya. Setiap surau mempunyai kegiatan dan pengimarahan. Bagi penduduk
setempat mereka mempunyai sentimen bagi
memajukan surau masing-masing, sebab itu selain sebahagian dari penduduk datang
berjama`ah di Masjid Al-Umm, maka sebahagian besar menjadi jama`ah tetap di
surau masing-masing.
Walau bagaimana kita bersyukur kerana
sebahagian daripada mereka datng ke Masjid Al-Umm, ada yang datang secara
bergilir-gilir di samping sebahagian
menjadi jamaah di surau masing-masing. Walau bagaimana masjid akan terus
berusaha menyediakan tempat dengan imam dan pegawai yang baik dengan tadbiran
teratur dan mengadakan pengajian-pengajian terbaik dari guru-guru yang baik
bagi menarik minat jama`ah datang memakmurkan Masjid Al-Umm dengan ibadat dan
pengajian secara berterusan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment