August 24, 2018

USAHA MENUNAIKAN QURBAN PARA JAMA`AH


USAHA MENUNAIKAN QURBAN PARA JAMAAH
BBB,  11 Zul-Hijjah 1439H. = 23 Ogos 201`8M. (Khamis):
Sebagaimana telah disebutkan Masjid Al-Umm buat pertama kali menganjurkan ibadat qurban kepada para jama`ah yang ingin menyertainya. Mesyuarat telah diadakan sebulan lebih awal dan mengambil keputusan, buat permulaan Masjid Al-Umm menganjurkan qurban dengan lima ekor lembu  untuk disertai. Al-Hamdulillah jumlah penyertaan dapat dipenuhi pada awal Zulhijjah dan bayaran dapat dibuat keseluruhannya seminggu sebelum tiba tarikh qurban (11 Zul-Hijjah = 23 Ogos).
Sebelum dari tibanya Hariraya Eidul-Adhha, semua persediaan dilakukan dari pemasangan khemah di kawasan lapang pada sebelah kiri masjid dan semua peralatan bagi memotong daging dan pengagihan . Juga bagi mengadakan jamuan malam juga disediakan.
Sejak jam 7.00 pagi Tuan Haji Annuar bin Nordin dengan beberapa pembantu telah bertolak ke Penyembelihan High Tech.  di Pekan Bangi – Pembekal lembu-kambing dan mempunyai tempat penyembelihan yang canggih. Penulis juga dengan beberapa yang lain turut ke tempat penyembelihan. Menurut Tuan Haji Zainuddin Pemilik Syarikat yang membekalkan ternakan lembu-kambing, pada hari ini dikhaskan bagi penyembelihan dari Masjid Al-Umm sahaja. Jadi tidak perlu berebut, bagi mendapat giliran lebih awal. Lebih kurang 15 orang yang datang ke rumah penyembelihan bagi membantu membawa balik sembelihan.
Adalah dilihat bahawa lembu-lembu yang disediakan kali ini adalah agak besar dan gemuk. Tiap ekor ditimbang selepas dilapah kulit seberat antara 120 – 140 kilo. Penyembelihan melalui kaedah mesin dan dilakukan penyembelihan oleh Tuan Haji Zainuddin sendiri. Terdapat 10 orang pembantunya yang mengurus dari mengiringi lembu ke tempat sembelihan dan melapah. Penyembelihan pertama dapat disiapkan kira-kira jam 9.00 pagi dan diikuti seekor demi seekor, lebih kurang setengah jam selepas satu-satu.
Manakala di kawasan masjid di bawah khemah terdapat 40 pekerja gotong royong menunggu untuk membantu melapah kepada bahagian yang lebih kecil. Manakala pada bahagian dapur terdapat 10 muslimat yang menyediakan bahan-bahan untuk memasak.
Untuk kerja melapah di masjid tidak perlu tunggu kesemua lima ekor disembelih kesemua untuk diangkut daging sembelihan. Sebaliknya bila siap dua ekor dilapah dan dipotong bahagian-bahagian utama, terutama tulang, maka untuk dua ekor pertama penulis danpengiring membawa pulaang terlebih dahulu ke masjid (jam 10.30), kemudian berpatah balik dipandu oleh yang lain mengangkut kali kedua dengan sebuah lagi kenderaan . Kira-kira jam 11.30 semua daging korban dapat dibawa pulang.
Semasa menunggu urusan penyembelelihan mereka yang datang dibekalkan dengan makanan dan minuman oleh pihak Syarikat, demikian juga mereka yang menunggu melapah daging di pekarangan masjid disediakan  oleh masjid. Kerja melapah dengan peserta lebihkurang 30 orang dapat disiapkan sebelum solat zohor. Pembahagian daging kepada yang berkorban, faqir miskin dan hadiah  juga dapat dilakukan sebelum solat zohor. Kerja-kerja dapat dijalankan dengan licin berdasarkan kepada pengalaman yang lepas yang pengurusan dilakukan oleh Tuan Haji Annuar bin Nordin yang juga Timbalan Bendahari Masjid. Manakala pembantu-pembantu sepertyi Tuan Haji Din dan Ustaz Anas dari segi pembahagian  dapat  dijalankan dengan licin. Pendek kata sebelum solat zohor pengagihan selesai dilakukan. Manakala pada sebelah petang, kalangan muslimat dan pembantu-pembantu menguruskan masakan bagi majlis pada malam nanti.


Mulai maghrib para jama`ah mengikuti kuliah sehingga selepas `Isya` (9.30 malam). Berikut dari itu para jama`ah dijemput ke aras bawah tanah bagi menyertai makan malam yang menu utamanya ialah sop, di samping nasi atau roti dengan bahan-bahan makanan tambahan yang lain.
Tergambar terutama kepada ahli jawatankuasa dan petugas-petugas dan mereka yang hadir ke jamuan rasa puas, bahkan mesra antara satu sama lain.


Pendek kata program qurban yang kali pertama dianjur di Masjid Al-Umm berjalan lancar dan memuaskan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment