FORUM KOMUNIKASI POPULAR
BBB, 25 Zulkaedah 1439H. = 07 Ogos 2018M.
(Selasa).
Salah satu komunikasi popular yang turut diadakan
di masjid-masjid ialah `Forum`. Dimaksud
forum adalah majlis ilmu (atau maklumat)
yang terdiri dari beberapa orang ahli forum yang biasanya antara 2 hingga empat
orang ahli forum (biasanya tiga) yang
berada di hadapan khalayak pendengar yang agak ramai. Jika di masjid, maka
majlisnya berlangsung di hadapan – ruang solat utama, biasanya para peserta
berada di atas kerusi sebarisan pada
meja berhadapan dengan jama`ah. Bersama dengan para panel atau ahli forum ini
ialah seorang moderator yang mempengerusikan forum tersebut. Jika forum diadakan
di luar masjid, ianya mungkin didirikan khemah-khemah dengan ahli forum berada
di atas pentas berhadapan pendengar yang duduk di atas kerusi-kerusi yang
disediakan. Forum juga diadakan di di dewan-dewan atau bangunan-bangunan,
bahkan di hotel-hotel yang dapat memuatkan peserta dalam jumlah yang ramai.
Forum di dalam masjid juga dilakukan dengan
ahli-ahli panel duduk di hadapan pada bahagian hadapan bagi ruang solat di
masjid dan para jamaah berada pada ruang berhadapan dengan moderator dan
ahli-ahli panel. Forum-forum adalah satu bentuk penyampaian maklumat popular
yang biasa diadakan pada pengajian-pengajian tinggi yang ahli-ahlinya terdiri
dari para ilmuan yang memperkatakan sesuatu topik popular yang dapat menarik
minat orang ramai atau pelajar-pelajar menghadirinya. Masa forum tidak panjang,
ahli panel akan membicarakan isu penting, menarik, ilmiah, berfakta dan
kadang-kadang disertakan dengan sesuatu yang mencuit perasaan pendengar. Bagi
setiap ahli panel diberi peluang bercakap dua kali (round) diakhiri dengan
kesimpulan dan penutup.
Kini forum menjadi media komunikasi popular
yang menarik minat masyarakat mengikutinya. Popularnya forum ialah sejak
saluran tv Satu memulakan forum hal ehwal Islam yang dikenali dengan `Forum
Perdana`. Sejarah Forum Perdana ialah bermula pada awal tahun 1990an dan kekal
popular hingga sekarang. Pada awal tahun 1990 ini lantaran ada seorang tokoh
PTD yang cenderung kepada bidang agama dan sering berucap saecara menarik di
dalam majlis-majlis keagamaan, termasuk di masjid-masjid berqiyam al-lail dan
majlis-majlis khas. Akhirnya tercetus
ruangan yang dikenali dengan `Forum
Perdana` yang segera menjadi popular yang biasanya diadakan mulai jam 8.30-0.30
pada setiap malam Juma`at.
Popularnya slot Forum perdana ini kerana
adanya tokoh pada peringkat permulaan ini iaitu Dato` Dr. Hasan Ali PTD. Dato`
Dr. Haron Din tokoh akademik dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan
Malaysia dan Dato` Ismail Kamus selaku
pendakwah bebas. Ketiga-tiga mereka mempunyai karisma tersendiri. Dato` Dr.
Hasan Ali Pegawai PTD yang begitu petah bercakap, Dato` Dr. Haron Din ahli
akademik dan terkenal sebagai tokoh perubatan Islam, begitu juga Dato` Ismail
Kamus (Lepasan UKM), pendakwah bebas da juga selaku tokoh perubatan Islam. Pada
ketika itu mereka tidak menonjolkan diri dalam politik kepartian. Gandingan
ketiga-tiga orang ini begitu mantap dan menarik minat melalui forum perdana
yang diadakan mengenai berbagai-bagai topik yang dipilih. Dato` Dr, Hasan Ali
terkenal dengan kelancarannya bercakap dan bersemangat, Dato` Dr. Haron Din
dengan keilmuan agamanya dan Dato` Ismail Kamus dengan ucapan-ucapan yang
sering mencuit hati dan ungkapan dan komen-komen spontanya. Mereka membina imej
Forum Perdana hingga menjadi satu rancangan paling popular dan diikuti penonton
seluruh Nusantara. Forum perdana terus popular, walaupun ahli-ahli pemulanya
mulai mengundurkan diri, antaranya kerana keterlibatan diri dengan politik yang
tidak sealiran dengan pemerintah dan anataranya uzur kerana sakit. Tapi slot
Forum Perdana terus popular kerana terus dapat diisi dengan tokoh-tokoh baru
yang mampu bercakap dengan lancar dan menarik dan wujudnya moderator yang
berwibawa.
Popularnya bentuk forum menjadi pendekatan
yang digunakan di dalam menyampaikan pengajaran, bahkan bagi menarik minat peserta-peserta
bagi menghadiri majlis-majlis sambutan seperti Sambutan Maulid al-Rasul dan
majlis-majlis keagamaan yang lain. Namun popularnya majlis komunikasi secara
berforum ini bergantung kepada:
a) Popularnya ahli forum bagi sesuatu forum –
termasuklah moderatornya
b) Menarik atau
tidaknya topik forum yang diadakan
c) Isu semasa yang
melibatkan orang ramai.
Selain dari forum ada beberapa pendekatan komunikasi
yang bersifat ilmu seperti konvensyen yang merluukan perhimpunan lebih besar
mungkin seharian atau lebih yang di dalamnya berbagai upacara seperti majlis
pembukaan, ucapan-ucapan, persidangan, ceramah, forum dan sebagainya.
Pendekatan ini jarang digunakan sebagai medium komunikasi di masjid, walau
bagaimana Masjid Al-Umm ada menyediakan
ruang konvensyen yang digunakan oleh masjid bila bersesuaian atau disewa oleh
orang luar bagi mengadan konvensyen. Selain dari konvensyen ialah kolokium yang
merupakan majlis ilmu yang lebih khusus mengenai aspek keilmuan khusus dan jumlah
peserta terhad hanya kepada mereka yang
meminati majlis keilmuan terhad tersebut. Ianya bersifat akademik dan biasanya
diadakan pada pengajian-pengajian tinggi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment