March 10, 2017

ABU HUSAIN BIN BANNAN: UNGKAPAN PANCARAN TA`ABBUDIYYAH DAN SENI ROHANI


BBB, 10 Jamadil-Akhir 1438H. = 09 Mac 2017 (Khamis):
Telah diperkatakan bahawa kepatuhan dan ta`abbudiyyah ialah situasi dan hal pencapaian jiwa di dalam  mendekati Allah, khususnya melalui ibadat contoh solat.  Kepatuhan  dicapai oleh yang mengalaminya berbagai-bagai peringkat seperti melalui tahap takut,  khusyuk, tama`ninah,  taqwa dan berbagai lagi. Semuanya melambangkan kualiti perjalanan  jiwa melalui ibadat di dalam mendekati Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Di samping elemen-elemen pengibadatan di atas,  timbul  apa yang pernah kita katakan ialah pengalaman halus rohani, yang kita katakan sebagai  `seni rohani`. Ianya juga merupakan perjalanan dan peningkatan dari aspek  seni rohani  atau bauran dari semua. Misalnya dari sifat kagum, terharu, terpesona, merasa indah, mesra dan cinta adalah merupakan elemen-elemen seni rohani yang dalam meningkatkan perjalanan rohani adalah merupakan pengalaman kudus, halus, mesra dan cinta Ilahi. Antaranya diistilahkan seperti  raja`, qurb, shauq, mahabbah, fana dan sebagainya.
Sebelum menulis tentang Abu al-Husain al-Bannan, dengan membaca sepeintas lalu , dapat dikesan getaran rohani yang dialami oleh Abu al-Husain al-Bannan yang menandakan pengalaman seni rohani menjiwai dirinya dan berbaur dengan elemen ta`abbudiyyah.
Abu al-Husain bin Bannan ialah dari kalangan Shaykh sufi di Mesir yang tinggi kedudukan, bersahabat dengan Abi Sa`id al-Kharraz. Dia meninggal di Al-Tayh, iaitu tempat antara Ubullah dan Misr, Laut Qalzum dan Gunung  Al-Sarrat daripada bumi Sham. Situasi alam dan geografi dan latar keberadaannya dapat ditanggapi dari ungkapan dan luahan katanya yang hangat dengan elemen seni.
Berkata Ibn Bannan, ``Tiap-tiap sufi mudah rezeki, ibarat kalbunya laut Qalzum madu yang dekat dengan dirinya. Hatinya tenang kepada Allah. Dia meyakini apa yang di `Tangan Allah` bagi apa yang ada pada tangannya.``
Mesej yang  dibawa jelas berjiwa tasawuf yang kental tentang keyakinan terhadap pemberian Allah, berpegang pada takdir dan ketentauan Allah. Terlihat latar bandingan  tentang alam di mana dia berada di tepi pantai laut Qalzum  yang dapat ditanggapi keindahannya dan menggetarkan jiwa sufi dan seni rohaninya.
 Jelas  Abu al-Husain al-Bannan seorang yang berpegang teguh pada ketinggian nilai akhlak, sebagaimana katanya.
Dan dia berkata, ``Jauhi kehinaan akhlak sebagaimana engkau menjauhi perkara yang haram.``
Namun dari satu segi mempamerkan dirinya yang berjiwa seni.
Aku mendengar Aba `Uthman al-Maghribi berkata, ``Adalah Abu al-Husain berwajdan dan Abu Sa`id bertepuk tangan.``
Dapat dibayangkan di dalam  situasi meningkat mesra jiwa, tergerak dan keluar ungkapan-ungkapan seni dan mesra sebagaimana,
Dihikayatkan oleh Abu `Uthman juga berkata, adalah  Abu al-Husain berkata, ``Manusia adalah dahaga di daratan, dan aku dahaga, sedangkan aku dahaga di tebing sungaii Nil !``.
Ungkapan ini tidak lain dari ungkapan seni yang indah yang membawa unsur kontradik yang mengindahkan ungkapan dan memesrakan pendengaran yang menyentuh minda dan kerohanian.
Katanya, berkata Abu  al-Husain ``Kemerdekaan bahawa  adalah `al-sirri` juga merdeka,  kecuali dalam memperhambakan diri kepada Tuannya, sah baginya yang demikian `ubudiyyah bagi yang Haqq dan merdeka daripada makhluk.``
Jiwa Abu al-Husain bin Bannan adalah berbaur dengan elemen seni rohani dan ta`abbud diri kepada Ilahi sebagaimana ungkapan-ungkapan di bawah.
Katanya, dan berkata Abu al-Husain, ``Dzikir kepada Allah dengan lisan mewarithkan (meningkatkan) darajat dan mendzikirnya dengan hati mewarithkan (menjadikan/meningkatkan) kedekatan.``
Katanya, dan berkata Abu al-Husain, ``Al-wihdah  adalah teman bagi para siddiqin.``
Dari elemen ta`abbudiyyah beriringan pula elemen seni rohani.
Katanya,  dan aku mendengar Aba al-Husain berkata,
``Kesan mahabbah apabila timbul nyata, dikesan anginnya apabila bergoyang, mematikan kaum, menghidupkan kaum, memfanakan kerahsiaan, mengekalkan kerahsiaan, kesan yang dapat dirasa kepelbagaian, tersembunyi rahsia tertutup, membuka  ahwal yang tertutup dan dia bernasyid sebagai kesan daripadanya:
Apabila angin dalam perjalanan mendesah  berhembusan
Menggerakkan yang kaku dan menggoyang penyeberang.
Jelas dari ungkapan di atas dapat dirasa getaran seni rohani terkeluar dan terlontar dari jiwa yang kental dengan pengalaman seni  dan jelas ianya diungkapkan di dalam bentuk puisi.
Katanya, dan aku mendengar Aba al-Husain berkata,
``Tidak dibesarkan qadar para auliya` kecuali orang yang membesarkan qadar di sisi Allah Ta`ala.``
Apa yang dapat dikatakan, bahawa Abu al-Husain adalah seorang sufi yang kukuh dengan akidah dan kuat dengan ibadat dan saeorang yang berpegang teguh dengan nilai akhlak keislaman. Lebih daripada itu Abu al-Husain bin Bannan adalah seorang seniman sufi yang kental jiwa dan rohani dengan elemen-elemen seni rohani. Kedua-dua elemen – ta`abbudiyyah dan seni rohaninya terpancar dari  jiwanya silih berganti bahkan berbaur antara keduanya yang mencerminkan identi jiwanya yang taabbudiyyah dan berseni rohaniyyah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment