March 29, 2017

PENDAPAT ABU H*AFS* AL-NAISABURI


BBB, 29 Jamadil-Akhir 1438H. = 28 Mac 2017 (Selasa):
Dengan pembicaraan terhadap Abu `Abdullah al-Rudzbari di atas, maka lengkaplah pembicaraan trerhadap tokoh-tokoh sufi yang disenaraikan oleh Al-Qushairy di dalam kitabnya yang berjudul Al-Risalat al-Qushairiyyah, iaitu berjumlah seramai 83 orang.
Penulis berhasrat melengkapkan pembicaraan kepada jumlah 100 orang dengan menambahkan sebanyak 17 orang tokoh lagi yang didasarkan kepada kitab Tabaqat al-Sufiyyah oleh Abdul Rahman al-Sulami yang membicarakan terhadap lima generasi sufi yang dipecahkan kepada lima bahagian yang setiap generasi sebanyak 20 orang, kecuali generasi kelima 23 orang.
Pembicaraan seturut yang dilakukan oleh penulis adalah seturut sebagaimana yang disusunkan oleh Al-Qushairy. Walau bagaimana pembicaraan yang dilakukan oleh Al-Qushairy bagi setiap tokoh adalah ringkas dan pendek, maka sejak awal lagi penulis membuat penambahan yang banyak kepada setiap tokoh adalah berdasrkan maklumat dan sumber yang didapati dari kitab Tabaqat al-Sufiyyah oleh Al-Sulami. Cara penyusunan dibuat oleh Al-Qushairy tidak sama dari segi seturut sebagaimana yang dibuat oleh Al-Sulami.  Walaupun sebahagian besar tokoh yang disusun oleh Al-Qushairy terdapat di dalam Tabaqat al-Sufiyyah oleh Al-Sulami. Sebagai judul bagi kitab diberi judul T*abaqat – `Generas`, lantaran pembahagian dibuat kepada lima pecahan  lima generasi.
Bagi tokoh tambahan pertama ialah sebagaimana judul di atas, iaitu Abu H*afs* al-Naisaburi.
Nama lengkap bagi Abu H*afs* al-Naisaburi ialah `Amru bin Salam dan dikatakan `Amru bin Salamah, iaitu lebih sahih insha Allah. Contoh riwayat dengan nama `Salamah`:
Kata Al-Sulami, maka sesungguhnya aku melihat tulisan datukku Isma`il bin Nujaid, kata Abu `Uthman bin Isma`il, aku bertanya guruku Aba H*afs* `Amran bin Salamah`.
Abu H*afs* adalah berasal dari kampung yang dipanggil `Kurdabadz` menghala ke pintu masuk ke bandar Naisabur, apabila engkau keluar untuk ke Bukhara.
Abu Hafs bersahabat dengan `Abdullah bin Mahdi al-Abiyurdi dan `Ali al-Nas* r Abadzi. Dia juga rapat dengan Ahmad bin al-Khadhrawayh al-Balkhi. Dia adalah salah seorang imam dan yang berkedudukan. Cenderung kepada Shah bin Shuja` al-Kirmani, Abu `Uthman, Sa`id bin Isma`il. Dia meninggal pada tahun (m. 270H.) dan ada yang mengatakan pada tahun (m. 267H.).
Aku membaca khat Abi `Amrin Hamdan, berkata, aku mendengar bapaku berkata, berkata Abu H*afs*
``Maksiat bertambah hingga kepada kufur, sebagaimana hidup bertambah kepada maut.``
Katanya, berkata al-Mukhammas al-Julab, aku bersahabat dengan Abi Hafs* selama dua puluh dua tahun, aku tidak melihatnya berdzikir kepada Allah sampai had lalai dan santai. Dan dia tidak mendzikir melainkan di atas keadaan hadir, membesar dan menghormati, dan apabila dia berdzikir kepada Allah berubah halnya. Ini disaksikan oleh mereka yang hadir bersamanya.
Katanya dan berkata Abu H*afs*,  Daripada memandang rendah terhadap dunia, bahawa tidak bersifat bakhil terhadap seseorang dan tidak bakhil terhadap diri, kerana merendahkannya dan merendahkan diriku juga.
Katanya, berkata Muhammad bin Bahr al-Shajini, saudara kepada Zakariyya, ``Adalah aku takutkan kefaqiran, sedangkan aku memiliki harta. Maka kata Abu Hafs* kepadaku pada satu hari,
``Kalau Allah mengqadha`kan engkau menjadi faqir, tidak ada suatu yang berkuasa mengkayakan engkau selain daripada Allah. Maka hilang ketakutan faqir dalam hatiku keseluruhan.``
Aku mendengar datukku r.h.a. berkata, ``Adalah Abu Hafs* bila marah, dia bercakap tentang keelokan akhlak hingga marahnya hilang dan ia kembali kepada percakapan.``
Aku mendengar bapaku berkata, aku mendengar Aba al-`Abbas al-Dinauri berkata, berkata Abu H*afs*,``Tidak masuk di dalam hatiku haqq dan tidak batil sejak ku mengenal Allah.``
Aku mendengar Muhammad bin Ahmad bin Hamdan berkata, aku mendengar bapaku berkata, aku mendengar Aba H*afs*  berkata, ``Aku meninggalkan amal dan aku kembali kepadanya, kemudian meninggalkan daku oleh amal, maka aku tidak kembali kepadanya.``
Katanya, dan berkata Abu H*afs*, ``Siapa yang menghirup segelas cinta dia  kemabukan rasa, tidak dia pulih, melainkan ketika berjumpa dan bertemu muka.``
Katanya dan berkata Abu H*afs*, ``Apabila engkau melihat yang bercinta tenang dan hening, ketahuilah dia diziarahi kelalaian, kerana cinta tidak menjadikan pencinta dalam tenang, bahkan  dalam kebimbangan antara dekat dan jauh dan antara pertemuan dan perpisahan.``
Katanya, dan berkata Abu H*afs*. ``Tasawuf keseluruhannya adab, tiap-tiap waktu ada adab, dan tiap-tiap maqam ada adab. Siapa melazimkan adab-adab waktu, dia sampai kepada tahap ketokohan (al-rijal). Siapa yang mencuaikan adab, dia jauh daripada sangkaan dia dekat, dan dia tertolak dari harapannya diterima.``
Aku  mendengar Aba `Amrin bin Hamdan berkata, aku dapati pada kitab bapaku, berkata Abu H*afs*, ``Hal tidak terpisah daripada ilmu, tetapi tidak menyertai kata.``
Aku mendengar Aba al-Hasan bin Miqsam di Baghdad berkata, aku mendengar Aba Muhammad bin al-Murta`ish berkata, aku mendengar Aba Hafs berkata, ``Tidak layak dinamakan pemurah, kalau dia menyebut-nyebut tentang pemberian atau menayang-nayangkannya.``
Katanya, dan disoal Abu H*afs* tentang firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Hendaklah kamu bermu`asharah dengan mereka (isteri-isteri/keluarga perempuan kamu) dengan secara ma`ruf.`` (Al-Nisa`: 19).
Mu`asharah dengan ma`ruf bererti baik akhlak bersama keluarga , walaupun ada perkara yang tidak menyenangkan, tetapi dilayan secara baik dan menginsafkan.``
Katanya, disoal Abu H*afs* tentang ``Siapa orang yang berakal ? Katanya, tuntutan terhadap diri bersifat ikhlas.``
Katanya, dan berkata Abu H*afs* ``Keelokan adab zahir mencerminkan keelokan adab batin, kerana Nabi s.a.w. bersabda bermaksud:
``Kalau khusyuk hatinya, nescaya khusyuk anggota-anggotanya.``
Hadith dhaif diriwayatkan oleh Muhammad bin `Ali, al-Hakim al-Tirmidzi daripada Abi Hurairah r.a. –Al-Jami` al-S*aghir – Catatan kaki.
Demikianlah antara pendapat Abu H*afs* al-Naisaburi untuk diteliti.

Sekian.

No comments:

Post a Comment