August 22, 2018

PERSEDIAAN MENYAMBUT EIDUL-ADHHA


PERSEDIAAN MENYAMBUT EIDUL AL-ADHHA
BBB, 09 Zul-Hijjah 1439H. = 21 Ogos 2018M. (Selasa):
Sejak penggunaan Masjid Al-Umm pada 16 Disember 2017, beberapa program penting telah diadakan di Masjid Al-Umm, bermula dengan Sambutan Maulid al-Rasul pada 16 Disember 2017 bersamaan dengan 27 Rabi`ul-Awwal 1439H., berikutnya diimeriahkan dengan sambutan Ramadhan 1439/ Jun2018 dan mengadakan solat Eidul Fitri berikutnya.
Kini diadakan pula Sambutan Eidul Adhha yang akan jatuh pada 10 Zul-Hijjah 1439H. bersamaan  22 Ogos 2018.
Bagi persediaan menyambut Eidul Adhha termasuk mengadakan ibadat qurban, bagi  persediaan menyambut Eidul-Adhha maka lebih dari sebulan sebelumnya telah diadakan persediaan. Misalnya pihak Jawatankuasa Ibadat telah mengadakan mesyuarat awal bagi persediaan ialah pada 17 Julai 2018 bersamaan 3 Zulkaedah 1439H. Turut dijemput wakil dari Jawatankuasa Induk, Bahagian Ibadat, termasuk imam-imam, pemuda, muslimat dan mereka yang sebelumnya terlibat dengan tugas-tugas berqurban di Surau Al-Umm. Perkara yang dibincangkan ialah berkenaan mengadakan solat Eidul Adhha yang melibatkan tarikh, khatib dan imam dan masa. Dengan adanya solat Eidul Adhha, maka wajar turut diadakan ibadat qurban yang selama ini setiap tahun diadakan semasa di bawah Surau Al-Umm, maka dengan adanya  solat Eidul Adhha di Masjid Al-Umm tidaklah munasabah tidak ada ibadat Qurban. sebagaimana  tradisi di Surau Al-Umm mengadakan ibadat qurban pada hari kedua Raya Eidul Adhha, maka demikian  Sambutan Eidul Adhha bagi pertama kali di Masjid Al-Umm juga diadakan ibadat qurban. Adalah disetujui jumlah lembu yang akan dibuka untuk disertai mereka yang mau berqurban ialah 5 ekor. Tuan Haji Annuar bin Haji Nordin yang selama ini mengurus pembelian lembu yang kini sebagai Timbalan Bendahari Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm ditugaskan membuat kepastian dari segi harga lembu dan berapa harga bagi satu bahagian qurban. Selepas itu beliau telah menghubungi pihak High Tech Syarikat di Pekan Bangi bahawa seekor lembu berharga RM4,900/=. Ini bererti harga bagi satu bahagian ialah RM700/= dengan tambahan RM50/= untuk pengurusan bagi setiap bahagian. Ini bererti bayaran bagi setiap bahagian ialah sebanyak RM750/=. Berikut dari keputusan itu, pihak Jawatankuasa Ibadat telah mengiklankan  jumlah lembu dan pemiliihan (7 bahagian) bagi setiap lembu. Al-Hamdulillah hingga minggu terakhir semua bahagian dipilih oleh peserta-peserta. Tempat penyembelihan dan pemotongan secara kasar dilakukan di High Tech Peyembelihan. Kemudian bahagian-bahagian lembu yang disembelih diangkut – bawa pulang ke Masjid Al-Umm.
Perkara lain yang dibincangkan ialah mengenai peralatan,  gotong royong bagi melapah daging, kategori pembahagian dan penghantaran.  Tempat melapah dan pembahagian adalah di bahagian aras bawah tanah bagi Masjid Al-Umm. Satu pasukan kerja bagi melapah, membuat kategori pembahagian dan pembahagian serta penghantaran dikenalpasti. Mereka adalah pasukan yang berpengalaman yang mengendalikan pengurusan qurban pada setiap tahun.
Adalah dibincangkan juga, sebahagiankecil dari daging dan tulang akan diminta keizinan dari mereka yang berkorban untuk dimasak sop untuk jamuan. Adalah secara kebetulan hari qurban pada tahun ini (Raya Eidul Adhha Kedua) jatuh pada hari Khamis dan pada malam Juma`at menjadi kebiasaan ada jamuan kecil di Masjid Al-Umm selepas baca Yasin dan Tahlil selepas Maghrib. Maka pada siang hari Khamis pihak muslimat dan muslimin membantu gotong royong memasak yang pada malam Juma`at selepas Isya` akan diadakan jamuan. Tempat jamuan akan diadakah di Dewan Serbaguna Aras Bawah Tanah. Makanan tambahan juga diadakan.
Apa yang dimesyuaratkan  di atas dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm bagi mendapat kelulusan. Mesyuarat pada Selasa 24 Julai 2018. Mesyuarak Kali Kedua, bagi mempastikan segala persediaan berjalan lancar diadakan pada 14 Ogos 2018 (Selasa) bersamaan 2 Zulhijjah 1439. Pada mesyuarat ini semua yang mengambil bahagian qurban (dua orang ber`aqiqah = 3 bahagian dari 35 bahagian) diminta datang bagi urusan mewakilkan aqad jual beli dan penyembelihan kepada Tuan Haji Annuar  bin Haji Nordin. Ini bererti yang mengambil bahagian qurban tidak perlu hadir ke tempat penyembelihan, tetapi kiranya mereka mau sama hadir adalah dialu-alukan. Mereka perlu hadir ke masjid untuk mengambil daging bahagian qurban dan digalak sama hadir pada malam jamuan untuk sama bertakbir an mengihya`kan sambutan Eidul Adhha.
Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepada pihak AJK Masjid Al-Umm menguruskan urusan qurban secara khusus dan Sambutan Eidul Adhha secara  menyeluruh.
Sekian.

1 comment:

  1. Sayang sekali carpet tidak dibentang di ruang limpah kiri & kanan. Carpet ada tapi disimpan. Imam & Bilal pun masih belum ada jubah yg seragam walaupun ada bajet disediakan....

    ReplyDelete